Sekolah tamat.
Ye Wan Wan mengeluh dalam perjalanannya pulang ke hostel.
'Hubungan aku dengan Si Ye Han baru sahaja stabil; kenapa perkara ini berlaku sekarang!'
Dia masih lagi dalam tempoh percubaan, jadi dia tidak boleh menolak watak itu sewenang-wenangnya. Satu-satunya cara untuk memaksa Si Xia adalah dengan meminta pertukaran.
'Hmm, aku nak beri dia "kejutan" esok. Solekan yang disimpan di dalam laci itu belum dikeluarkan lagi!'
Ye Wan Wan merangka strategi sambil membawa pakaiannya masuk ke bilik mandi.
Selepas menanggalkan mekapnya dan mandi dengan air panas, dia rasa segar-bugar.
"Wah~ Siapa si cantik yang ku lihat ini~ Rupa-rupanya bayangku sendiri~ Apa yang sejuk dan mengelilingi leherku ini~ Rantai emasku bernilai lebih daripada $2,000~ Aku bersyukur kepada Tuhan setiap hari~ Setiap hari hatiku dipenuhi rasa kesyukuran apabila aku bangun~ Aku tak dapat tahan daripada menyayangi diriku~ Ya aku tidak perlukan orang lain~~~"
Ye Wan Wan bersenandung lagu tersebut sambil mengeringkan rambutnya dan membuka pintu bilik air tersebut.
"Wanita cantik sepertiku~ Wanita comel sepertiku~ Ramainya orang menggodaku, jika mereka beratur boleh sampai ke Bima Sakti… Yeah…"
Sebaik sahaja dia membuka pintu tersebut, Ye Wan Wan tergamam serta-merta.
Seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi berlakuer murahan di sebelah meja.
Lelaki tersebut sedang melentokkan kepalanya ke sisi dengan malas; gayanya bersahaja, jarinya yang runcing dan cerah sedang memegang kertas ujian yang dia terima hari ini. Seperti biasa, dia memakai sut hitam yang lebih gelap berbanding langit malam. Leher bajunya berjalur perak gelap bersinar dengan kilauan dingin dan matanya yang dalam kelihatan bagaikan ia direndam dalam kolam ais selama bertahun-tahun, tanpa sedikit pun kemanusiaan.
Hostel perempuannya yang biasa tiba-tiba kelihatan bagaikan di neraka 18 tingkat dengan beratus-ratus hantu yang sedang bersiul dan kerusi yang diduduki lelaki tersebut pula bukan lagi kerusi berlakuer murahan yang sama, tetapi bagaikan takhta raja naga yang disulami dengan ular sawa hitam gergasi…
Si… Si Ye Han!!!
Pom — Ye Wan Wan menutup pintu bilik mandinya dengan kuat.
'Ini mesti sebab cara aku buka pintu!
'Macam mana tiba-tiba saja jadi neraka dalam sekelip mata!'
Sesaat berlalu…
Dua saat berlalu…
Tiga saat berlalu…
Jantung Ye Wan Wan berdegup laju, darahnya mengalir ke arah bertentangan dan mindanya tidak dapat berfungsi.
Selepas seminit, dia akhirnya melegakan mindanya sedikit dan menyelak sedikit pintu bilik mandi dengan perlahan-lahan.
Namun akhirnya, dia terkejut yang amat dengan hanya sekilas pandang!
Bukan sahaja Si Ye Han masih di situ, tetapi dia kelihatan lebih menakutkan selepas melihat dia menghempas pintu tersebut dalam ketakutan. Seluruh hostel itu bagaikan sudah beku dengan sepasang matanya yang dingin dan gelap. Dia sampaikan dapat melihat api biru terang yang muncul daripada kepala syaitan itu.
'Tolong —'
Disebabkan gerak hatinya untuk hidup dan kerana ketakutan sudah mula meresap ke dalam tulangnya, reaksi pertama Ye Wan Wan adalah berlari menuju ke pintu.
Walau bagaimanapun, apabila jari-jemarinya baru sahaja memegang tombol pintu, fikirannya kembali waras walaupun dia masih lagi diselubungi ketakutan –– dia tidak boleh lari!
'Tak guna! Apa yang patut aku buat sekarang!'
Manik-manik peluh mula membasahi dahi Ye Wan Wan dan mindanya ligat berfikir.
Dengan cepat, dia mengalihkan tombol pintu ke arah bertentangan dan sebaliknya mengunci pintu tersebut.
Setelah menarik nafas secara diam-diam, Ye Wan Wan cuba menahan ketakutan dari muncul pada matanya. Kemudian, dia berpaling dan berjalan menuju ke arah Si Ye Han…
Di bawah renungan lelaki tersebut yang hampir boleh membekukan tulang manusia, Ye Wan Wan berhenti di hadapannya. Dia duduk di atas ribanya, memaut lengan di lehernya dan mencium bibirnya yang sejuk beku…