Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 97 - Elegy

Chapter 97 - Elegy

Susuk tubuh yang ramping dan berkulit putih itu kelihatan bagai bidadari. Pandangan mata Li Sicheng yang tajam berubah menjadi lembut apabila melihatnya. Dia tidak mampu untuk mengalihkan pandangan.

Cantik!

Dia tidak pernah mengetahui perempuan itu akan kelihatan sebegitu sempurna di hadapan piano. Seakan-akan dia dilahirkan untuk memainkannya. Perempuan itu sentiasa ada sesuatu yang mengejutkannya.

Su Qianci yang tidak menyedari seseorang sedang memerhatikannya membuka penutup piano itu dengan berhati-hati.

Alat muzik ini sungguh cantik.

Piano yang hebat ini merupakan hasil kerja terakhir seorang pakar pembuat piano yang telah bersara. Ia dibeli oleh Li Sicheng pada harga yang tinggi sewaktu pembidaan. Pada kehidupan lalu, Su Qianci sentiasa memerhatikan piano ini. Dia amat ingin menyentuhnya tetapi bimbang kebencian Li Sicheng terhadapnya akan bertambah lagi. Lagi pula, Tang Mengying sendiri tidak dibenarkan untuk menyentuhnya.

Walau bagaimanapun, sekarang Li Sicheng sudah pergi ke pejabatnya, dan ia bermakna dia tiada di rumah. Su Qianci berjanji pada dirinya untuk bermain hanya buat seketika. Jarinya yang runcing mula menyentuh kekunci piano itu dan menghasilkan bunyi yang merdu. Su Qianci berasa seolah-olah dia telah jatuh cinta. Piano ini lebih baik daripada semua piano yang pernah disentuhnya sepanjang dua kehidupannya. Sungguh rugi jika piano seperti ini tidak dimainkan.

Jari Su Qianci mula menari di atas kekunci piano itu. Dia memainkan lagu Für Elise, iaitu hasil karya agung Beethoven.

Sewaktu Li Sicheng berjalan mendekatinya, dia mendengar alunan muzik itu berubah. Pada mulanya, dia menyangka Su Qianci melakukan kesilapan dan berasa agak jengkel kerana piano yang sebegitu hebat tidak dimainkan dengan betul. Walau bagaimanapun, ketika terus berjalan ke arah Su Qianci, dia mendapati sangkaannya meleset. Ia bukan satu kesilapan. Muzik itu beransur-ansur menjadi sayu, seakan-akan satu rayuan yang tragis dan menyedihkan. Sebaik mendengar muzik tersebut, langkah Li Sicheng terhenti dan dia mendengar muzik yang dimainkan isterinya itu dengan teliti.

Su Qianci tidak menyedari Li Sicheng berada berhampiran dengannya. Matanya memandang papan kekunci sambil jarinya memainkan muzik yang telah diciptanya sendiri. Pada kehidupannya yang lalu, bayinya yang belum lahir telah dibunuh oleh Tang Mengying, dan dia beberapa kali diperangkap oleh perempuan itu. Tang Mengying juga telah menyebabkan wajahnya terbakar. Kapten Li sentiasa menyebelahinya dan melarang Li Sicheng menceraikannya. Walau bagaimanapun, semua orang dalam keluarga Li memilih untuk memeranginya. Tiada sesiapa yang percaya kepadanya. Kesedihan dan perasaan putus asanya telah memberi inspirasi kepada Su Qianci bagi mencipta alunan lagu yang digelar Elegy. Tiada sesiapa pernah mendengarnya kecuali Kapten Li, dan sudah tentu, tiada siapa yang memahaminya.

Matanya memandang kekunci piano itu, tetapi fikiran Su Qianci melayang kepada kehidupannya yang lalu. Walau bagaimanapun, dia sudah terlalu mahir sehinggakan tiada kesilapan dilakukan. Lagipun ia merupakan lagu yang diciptanya sendiri.

Wajah Li Sicheng bertukar muram ketika mendengar lagu tersebut. Dia tidak pernah mendengar lagu itu sebelum ini. Ia kedengaran seperti lagu yang menceritakan perasaan sedih, tetapi harapan masih ada. Apa yang telah dilalui pencipta lagu ini hingga berjaya menghasilkan alunan sebegitu? Li berfikir dalam hatinya. Dia hanya berdiri di belakang Su Qianci dan tidak mahu mengganggunya.

Di bawah daun wisteria yang berguguran, pasangan itu kekal di tempat masing-masing, dan tenggelam dalam fikiran mereka yang tersendiri.