Satu juta dolar? Berani dia minta sebanyak itu! Su Qianci ketawa, "Kamu dah gila?" Walaupun dia mempunyai wang sebanyak itu, tidak mungkin dia akan memberikannya kepada Lin Wanting tanpa sebab munasabah.
Lin Wanting sudah menjangkakannya. Dia teragak-agak sebentar sebelum berkata, "Saya tahu disebabkan si celaka Yu Lili itu, kamu dah berubah fikiran tentang saya. Tapi saya nak kamu tahu saya masih kawan lama kamu yang sama. Saya sentiasa anggap kamu kawan saya dan mahu rapat dengan kamu."
Rapat dengannya? Dan melayannya seperti si bodoh? Su Qianci hanya menggelengkan kepalanya.
"Saya dapat tahu Liu Anan berpakat dengan sepupunya untuk mengenakan kamu malam ini."
"Jadi?" Su Qianci bertanya acuh tidak acuh.
Mendengar jawapan itu, Lin Wanting berasa terdesak dan menyambung, "Saya curi-curi masuk ke bilik Liu Anan dan jumpa maklumat penuh berkaitan perancangan mereka. Bukankah berbaloi untuk satu juta dolar?"
Sudah tentulah ia berbaloi. Jika pada kehidupan lalu Su Qianci mempunyai peluang untuk mengetahui perancangan mereka, dia sanggup membayar walau sepuluh juta dolar. Tetap dia telah melalui perkara yang akan berlaku malam ini dan tidak perlu membayar apa-apa untuk mengetahuinya. Apa yang lebih penting, dia tidak mahu Lin Wanting menang.
"Su Qianci, percayalah saya. Ia sangat berbaloi. Kamu akan gembira jika dapat tahu perancangan mereka terlebih dahulu."
"Tapi kenapa saya perlu percayakan kamu?"
Lin Wanting tergamam seketika. "Qianci?"
"Kenapa saya perlu percaya kamu? Kamu kawan baik Liu Anan. Macam mana saya nak tahu kamu tidak lakukan perkara ini untuk bantu dia, tetapi saya?"
Ia telah berlaku pada kehidupannya yang lalu. Lin Wanting dan Liu Anan telah menghancurkan hidupnya. Tidak mungkin dia akan percaya kepada Lin Wanting lagi.
Mendengar kata-kata itu, Lin Wanting terus berkata, "Percayalah. Jika kamu tak percayakan saya, kamu pasti akan menyesal."
Su Qianci mengangkat sebelah keningnya lalu terus memutuskan talian.
Sejak kejadian buruk di pusat latihan itu, tempat itu telah ditutup disebabkan disyaki menjadi tempat penyeludupan dadah. Sekarang cuti musim panas dan Su Qianci tiada tempat untuk pergi, jadi dia mula menonton televisyen. Dia membuka saluran Seni Antarabangsa dan menonton seorang lelaki yang sedang bermain piano. Lelaki yang berumur dalam lingkungan 40-an itu masih kelihatan segak.
Song Yifan. Satu-satunya ahli Persatuan Piano Antarabangsa berbangsa Cina, dan merupakan salah seorang yang amat diminati Su Qianci. Khabar angin mengatakan sejak teman wanita Song Yifan meninggal dunia, dia tidak pernah berkahwin. Pada kehidupan lalu, Su Qianci telah pergi ke salah satu konsertnya dan jatuh cinta kepada piano disebabkan olehnya. Selepas itu, Su Qianci belajar piano selama lima tahun.
Apabila melihat Song Yifan, Su Qianci terasa ingin bermain piano. Dia tahu Li Sicheng mempunyai piano yang diletakkan di halaman belakang rumah. Lelaki itu akan bermain pianonya sekali-sekala, tetapi kebiasaannya tiada sesiapa akan menyentuh piano tersebut. Su Qianci berjalan ke halaman belakang dan melihat satu pondok kecil yang diselubungi bunga-bungaan dengan daun yang berjuntai. Satu piano putih kelihatan megah berdiri di dalamnya.
Pada masa yang sama, Li Sicheng sedang memandang ke luar tingkap dari bilik kerjanya. Dia melihat satu susuk tubuh wanita berpakaian putih sedang berjalan menghampiri pianonya. Mentari pagi seakan menambah satu aura pada susuk tubuh itu. Walaupun bunga-bungaan di sekeliling piano itu tidak berkembang mekar, tetapi pemandangan itu masih kelihatan seperti satu pemandangan sempurna dari alam mimpi.