Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 94 - Bermesra di Hadapannya

Chapter 94 - Bermesra di Hadapannya

Li Sicheng merenung Su Qianci tajam dan tanpa disangka, dia mengambil mangkuk dan mengisinya dengan sup daripada bungkusan yang dibawanya tadi. Satu perkara yang paling Su Qianci takuti ialah minum ubat. Tidak kira ia ubat Cina atau Barat, ia satu penyiksaan bagi Su Qianci untuk menelannya. Dia melihat sup itu dan terus menggelengkan kepalanya. "Kamu mesti ada kerja penting untuk diselesaikan, bukan?"

"Minum!"

Su Qianci mencebik sebelum memaksa dirinya untuk minum sup itu, dan menyedari ia tidak seteruk yang disangkanya. Dia menjeling Li Sicheng yang sedang merenungnya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Dia mengambil mangkuk sup itu dari tangan Li Sicheng dan berkata, "Saya boleh minum sendiri. Kamu pergilah."

"Betul nak saya pergi?"

"Ya!" Su Qianci mengangguk pantas. Jika lelaki itu tidak pergi, bagaimana dia mahu membuang segala makanan itu? Dia melihat lelaki itu memandangnya dengan curiga lalu menambah, "Kamu kan banyak kerja, sekarang kamu perlu jaga saya pula. Saya cuma nak bertolak-ansur."

Li Sicheng menggangguk faham dan menjawab, "Saya akan pergi lepas kamu habiskan makanan ini."

"Tak mungkin… Makanan ini terlalu banyak. Saya tak mungkin dapat habiskan…"

"Tak apa. Ambil masa kamu."

"Kamu kan sibuk. Mesti semua pekerja sedang tunggu kamu."

"Banyak betul alasan kamu ya?"

Su Qianci berasa malu dan menundukkan kepalanya. "Makanan ini tak sedap."

"Ia makanan terapi, supaya kamu cepat sihat."

"Tapi…"

"Baiklah. Kita beli makanan lain. Kamu nak makan apa?"

"Kamu nak pergi beli?"

"Saya akan suruh orang hantarkan."

Su Qianci berasa kecewa. Dia menyangka lelaki itu akan pergi membelinya sendiri. "Tak apalah. Lama pula nanti kena tunggu. Saya makan ini saja." Dia minum sup itu dengan wajah berkerut. Selepas dia makan beberapa suap makanan lain daripada bungkusan itu, masih banyak makanan yang tidak terusik.

"Dah kenyang?"

"Ya…" Mata Su Qianci terkebil-kebil meminta simpati, kelihatan seperti seorang budak yang dibuli.

"Qianqian, cuba tengok ini." Kedengaran suara Lu Yihan yang sedang membuka pintu. Langkahnya terhenti sebelum dia menyambung, "Oh, Encik Li pun ada." Lu Yihan mengangkat bungkusan makanan yang dibawanya dan berkata, "Tepat pada masanya. Jom makan bersama. Saya ada masak banyak makanan yang Qianqian suka."

Qianqian? Sungguh mesra.

Satu lagi, dia sendiri tidak tahu apa yang isterinya suka. Bagaimana budak lelaki hingusan ini boleh tahu? Sebaik sahaja Lu Yihan membuka bungkusan makanannya, Li Sicheng menjadi semakin sakit hati. Budak ini membuat semua makanan ini sendiri?

Mata Su Qianci bersinar-sinar. Terasa kecur air liurnya sebaik menghidu bau makanan yang dibawa Lu Yihan. "Ayam cincang, daging masam manis…"

"Hidung yang bagus." Lu Yihan menghampiri Su Qianci dan ternampak makanan yang kebanyakannya masih tidak terusik. Dia mengeluh, "Patutlah…"

Li Sicheng memerhatikan Lu Yihan mengeluarkan satu demi satu makanan dari bungkusan yang dibawanya. Walaupun makanannya biasa-biasa, tetapi ia tetap kelihatan sedap.

"Sedapnya bau. Masakan kamu dah semakin bagus!"

"Mestilah. Jauh lebih bagus daripada masakan kamu!"

Perbualan biasa itu kedengaran berbeza bagi Li Sicheng. Mereka bermesra di hadapannya? Dia merasakan seperti ada gunung berapi yang bakal meletup di dalam hatinya. Dia tiba-tiba teringat tentang kontrak perceraian yang telah ditandatanganinya dan berasa semakin marah. Tetapi, dia tahu dia tiada sebab untuk marah. Bukankah dia sendiri yang menandatangani kontrak itu dan bersetuju untuk melepaskan Su Qianci? Jadi, apa sebabnya untuk dia marah?

Related Books

Popular novel hashtag