Setelah menghalau tetamu tidak diundang itu, Li Sicheng membuka bungkusan makanan yang dibawanya. Dia meletakkannya di hadapan Su Qianci sambil berkata perlahan, "Makanan tengah hari."
Su Qianci melihat makanan di hadapannya dan menyedari kesemuanya makanan diet terapi. Hanya daripada bungkusannya Su Qianci sudah dapat mengagak ia makanan yang mahal. Kesemuanya dimasak menggunakan ubat Cina yang bernilai tinggi, tetapi baunya membuatkan wajah Su Qianci berkerut.
"Kamu tak suka?"
Sudah tentulah dia tidak suka! Siapa yang suka makan makanan begini?
Li Sicheng menyedari wajah Su Qianci yang berkerut dan menyambung, "Kamu tetap perlu makan. Atuk yang suruh."
"Atuk?"
Li Sicheng mengangguk.
"Di mana dia…"
Kapten Li amat menyukai Su Qianci, jadi dia tertanya mengapa datuknya itu belum datang melawatnya sejak dia berada di hospital itu.
"Atuk pergi ke Wilayah G beberapa hari lepas. Dia telefon saya untuk pastikan saya beli ini untuk kamu. Dia akan datang esok."
Patutlah. Su Qianci tahu Li Sicheng tidak mungkin sanggup pergi jauh ke luar bandar semata-mata demi membelikan makanan untuknya. Sudah tentu ia idea datuk.
"Okey…" Su Qianci berasa sedikit kecewa. Wad itu tiba-tiba diselubungi kesunyian yang janggal. Walaupun mereka suami isteri, mereka tidak rapat antara satu sama lain. Su Qianci berasa kurang selesa apabila berada bersama Li Sicheng berbanding ketika dia bersama Lu Yihan.
Li Sicheng menyedari Su Qianci berkelakuan janggal dan terus berkata, "Makanlah."
"Okey, saya tahu. Nanti saya makan," kata Su Qianci. Dia dapat merasakan Li Sicheng sedang merenungnya lalu menyambung, "Kamu ada banyak kerja di pejabat, kan? Pergilah dulu."
Li Sicheng menjeling makanan yang masih tidak terusik itu dan berkata tegas, "Atuk kata saya perlu tengok dan pastikan kamu habiskan semua ini."
"Bagitahu saja atuk saya dah habiskan. Nanti saya makan."
Mata Li Sicheng merenungnya tajam, "Kamu ingat saya dan atuk mudah ditipu?"
Apa maksud lelaki ini? Dia memang mahu lihat saya makan?
Su Qianci tidak dapat memaksa dirinya. Seleranya serta merta hilang sebaik menghidu bau makanan itu tadi. Dia berasa kecewa. "Tolonglah saya. Bagitahu atuk saya dah makan. Tolong ya, Encik Li."
Encik Li? Wanita ini memanggilnya dengan panggilan itu lagi? Ia membuatkan mereka kelihatan seperti tiada apa-apa hubungan. Li Sicheng berasa agak marah.
Wanita ini perlu menjadi orang asing dengannya?
"Kamu tak panggil saya begitu sebelum ini."
Betul? Seingat Su Qianci dia selalu memanggil lelaki itu Encik Li. Tambahan pula pada kehidupan lepas, Li Sicheng sangat benci apabila Su Qianci memanggilnya dengan namanya sahaja. Su Qianci merasakan lelaki itu bertambah pelik dari sehari ke sehari. Dia merungut di dalam hati lalu bertanya, "Jadi, apa patut saya panggil kamu?"
Mata Li Sicheng kelihatan bertambah dingin apabila dia berkata dengan nada marah, "Apa-apa sajalah. Makan."
Nampaknya perbualan mereka kembali ke topik makan itu. Sambil mencebikkan bibirnya, Su Qianci berkata, "Atuk takkan tahu. Saya betul-betul tiada selera sekarang."
"Kamu mahu saya suapkan?" Li Sicheng mengugut.