Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 904 - Kamu Gadis Penipu!

Chapter 904 - Kamu Gadis Penipu!

Walaupun takut dengan jawapan yang akan didengarinya, Yu Lili tetap bertanya, "Kamu… di rumah ibu bapa kamu?"

Ou Ming menjawab tenang, "Ya, saya masih di sini. Tidur awal dan jangan lupa makan ubat."

Hati Yu Lili runtun. Fikirannya buntu dan mulutnya menjadi kering sehingga tidak dapat berkata apa-apa buat beberapa ketika.

Akhirnya dia berkata, "Okey, saya tahu. Pergilah teruskan apa yang sedang kamu lakukan." 

"Selamat malam!"

"Selamat malam!"

Yu Lili meletakkan telefonnya ke bawah. Bilik itu sunyi seperti kubur. Seakan Ou Ming telah menarik semua kebahagian yang dirasakannya sejak beberapa hari ini. Perasaannya kosong dan sunyi. Dia berbaring dan merenung siling buat masa yang lama sebelum mencampakkan telefonnya merentasi bilik itu lalu menyelubungkan kepalanya dengan selimut.

Satu lagi malam tanpa tidur.

.....

Masih banyak makanan yang berbaki daripada hidangan yang disediakannya semalam. Yu Lili tidak mempunyai banyak wang, jadi makan malam itu disediakan mencukupi untuk dirinya dan Ou Ming. Disebabkan Ou Ming tiada untuk makan bahagiannya, lebih separuh makanan itu disimpan di dalam peti. Yu Lili memanaskan makanan itu menggunakan ketuhar gelombang mikro dan makan apa yang mampu ditelannya.

Kepalanya terasa sedikit pening tetapi dia tidak mengantuk. Yu Lili berfikir mungkin senaman dapat membantunya berasa lebih baik. Dia menukar kepada pakaian sukan dan keluar untuk berjoging.

Pangsapuri Ou Ming ialah antara perumahan yang paling elegan dan mewah di bandar itu. Terdapat banyak taman dan dataran berhampiran pangsapuri itu, tetapi Yu Lili masih dapat mendengar kesibukan kota pada awal pagi itu.

Jam baru menunjukkan pukul sembilan pagi ketika Yu Lili kembali ke pangsapuri itu. Dia telah berlari mengelilingi dataran bandar sebanyak dua kali dan masih tercungap-cungap ketika sedang menunggu lif.

Dia mendengar seseorang menarik bagasi di belakangnya, tetapi tidak menghiraukannya. Tiba-tiba kedengaran suara terkejut dari seorang lelaki. "Kamu kah itu?"

Yu Lili tidak tahu jika ia hanya khayalannya, tetapi dia merasakan seperti pernah mendengar suara itu. Dia menoleh dan melihat seorang lelaki berumur dalam pertengahan 20-an sedang berdiri berdekatan dengannya. Lelaki itu kelihatan kemas. Dia memakai sut merah jambu, rambutnya disisir dengan bergaya dan dia sedang tersenyum penuh ceria kepadanya. Yu Lili memandang lelaki itu dan merasakan pernah melihatnya sebelum ini, tetapi dia tidak dapat mengingati bila dan di mana.

Lelaki itu sedang memandang Yu Lili dengan wajah terkejut. Dia menuding jarinya ke arah Yu Lili dan berkata, "Betullah kamu! Tak guna! Kamu tipu saya hidup-hidup! Gadis penipu!"

Saya ada berjumpa lelaki ini sewaktu saya bekerja di bar kah?

Adakah dia salah seorang yang saya tipu?

Yu Lili cepat-cepat berpaling ke arah lain dan berpura-pura tenang ketika berkata, "Kamu mesti silap orang. Saya tak kenal kamu."

"Kamu pasti? Saya yakin saya pernah jumpa kamu sebelum ini. Kamu ialah… er… apa nama kamu? Li Xiaoyu? Betul kan? Betullah kamu!" Shen Zhilie merenung Yu Lili dan berkata dengan yakin, "Saya yakin memang kamu. Li Xiaoyu pasti hanya nama samaran. Apa nama sebenar kamu?"

Yu Lili berasa jengkel. Dia berpaling ke arah lelaki itu dan berkata dengan marah, "Kamu bodohkah? Saya tak kenal kamu!"

"Kamu pasti? Saya masih simpan lagi arak 82 of Lafite itu." Shen Zhilie semakin tertarik dan menyambung, "Jangan salah faham. Saya bukan mahu balas dendam, saya cuma mahu berkawan dengan kamu. Mari kita mulakan dari awal. Hai, nama saya Shen Zhilie, umur 26 tahun dan saya baru berpindah ke sini. Kamu tinggal di sini?"

Yu Lili tidak mahu membuatkan Shen Zhilie marah tetapi dia juga tidak mahu bercakap dengannya. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak mengendahkan lelaki itu. Sebaik sahaja lif tiba, Yu Lili terus masuk tanpa berkata apa-apa.

Shen Zhilie turut masuk ke dalam lif yang sama. Selepas menekan butang lif, dia berkata, "Kamu tinggal di tingkat berapa? Rumah yang baru saya sewa berada di tingkat 20."