Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 905 - Helah Mengelirukan

Chapter 905 - Helah Mengelirukan

Yu Lili mula naik darah. Dia memandang Shen Zhilie dengan jengkel dan berkata, "Kenapa kamu terlalu banyak bercakap?"

Shen Zhilie terus terdiam. Yu Lili merenungnya tajam sebelum menekan butang tingkat 26.

Shen Zhilie tidak lagi berkata apa-apa, tetapi secara diam-diam menghafal nombor yang ditekan Yu Lili. Sebaik sahaja lif itu tiba di tingkat 20, Shen Zhilie keluar bersama bagasinya. Dia tersenyum seperti watak kartun remaja yang kacak.

"Saya pergi dulu untuk mengemas rumah, tapi saya akan jumpa kamu lagi nanti."

Yu Lili bukan sengaja tidak mengendahkan lelaki itu, tetapi dia tahu tindakannya adalah untuk kebaikan semua. Dia menekan butang untuk menutup lif itu dan naik ke tingkat 28.

Tiba di rumahnya, Yu Lili berasa amat mengantuk. Dia menukar pakaian lalu naik ke atas katil dan terus tertidur sambil memeluk selimut.

Dia tertidur sehingga tengah malam.

Ketika Yu Lili terjaga, Ou Ming telah berada di sebelahnya dan sedang tidur nyenyak. Lelaki itu memakai jubah mandi dan memeluk pinggangnya. Yu Lili menyukai cara Ou Ming tidur ke arahnya. Dia tidak dapat menahan dirinya daripada menangis. Kemudian dia melentokkan kepalanya pada lengan Ou Ming dan berasa selesa dengan bau Ou Ming yang biasa dihidunya. Dia menutup matanya dan tidur dengan hati yang tenang.

*****

Apabila Yu Lili datang ke tempat kerjanya pada hari Isnin, dia dihantar ke kaunter hadapan untuk bertugas sebagai penyambut tetamu sementara. Dia masih melakukan kerja itu sehingga tiga hari berikutnya. Pada hari keempat, dia sudah tidak tahan lagi. Dia berjalan ke pejabat ketua penyunting dan mengetuk pintu.

"Masuk."

Ketua penyunting itu tahu ada sesuatu yang tidak kena hanya dengan melihat riak wajah Yu Lili. Dia bertanya, "Ada apa?"

"Puan Zhou, saya ditemu duga dan diterima bekerja sebagai pembantu penyunting, bukan penyambut tetamu. Adakah saya akan terus berada di kaunter hadapan atau saya akan dibenarkan membuat kerja saya yang sebenar?"

Ketua penyunting Zhou membetulkan kaca matanya dan berkata dengan bersahaja, "Sebagai pekerja baru, kamu mesti tahu yang kita bekerja sebagai satu pasukan dan akan membantu satu sama lain ketika perlu. Kaunter hadapan kekurangan pekerja buat masa sekarang, jadi saya perlukan kamu bantu mereka selama beberapa hari. Esok akan ada penyambut tetamu baru yang akan menggantikan kamu, jadi esok kamu boleh kembali kepada tugas asal kamu."

Itu kedengaran agak tidak munasabah. Shan Yu juga ialah pekerja baru. Kenapa dia mahu saya yang bekerja di kaunter hadapan dan bukannya Shan Yu?

Yu Lili tidak percaya dengan kata-kata itu, tetapi dia tidak dapat memikirkan kata-kata yang tidak akan membuatkan dia menghadapi masalah dengan ketua penyunting Zhou.

Keesokan harinya, Yu Lili tidak pergi ke kaunter hadapan. Sebaliknya dia kembali ke pejabatnya dan memulakan kerjanya sebagai pembantu penyunting. Editor Zi Yu datang ke mejanya dan bertanya, "Bukankah kamu sepatutnya bekerja di kaunter hadapan? Kenapa kamu ada di sini?"

"Saya dah bercakap dengan ketua editor Zhou semalam. Dia kata saya boleh kembali kepada tugas saya sebagai pembantu penyunting hari ini. Dia beritahu akan ada penyambut tetamu yang baru di kaunter hadapan."

Zi Yu mengangguk lalu berkata, "Kalau begitu, kamu boleh bermula dengan memeriksa lukisan-lukisan asal ini."

"Baik," kata Yu Lili. Dia mula bekerja dan berazam untuk melakukan yang terbaik.

Lebih kurang satu jam kemudian, ketua penyunting Zhou datang ke pejabatnya. Wanita itu kelihatan berang dan menjerit, "Di mana Yu Lili, mana dia?!"

Yu Lili menjenguk dari mejanya. Dia mengangkat tangan dan berkata, "Saya di sini."

"Tiada sesiapa di kaunter hadapan! Posmen dah tunggu lama dan sekarang dia sangat marah. Pergi ambil surat-surat itu dan lakukannya dengan cepat!"

Yu Lili kebingungan dan berkata, "Puan Zhou, apa kaitannya dengan saya? Bukan saya yang perlu uruskan seorang posmen yang sedang marah. Kelmarin Puan beritahu saya tak perlu bekerja di kaunter hadapan lagi."

Ketua editor Zhou kelihatan amat berang dan berkata, "Saya ada cakap begitukah? Kenapa kamu degil sangat? Kamu tak boleh buat kerja yang saya suruh?!"

Adakah ini bermakna saya akan dibuang kerja?

Related Books

Popular novel hashtag