Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 92 - Kerja yang Bagus

Chapter 92 - Kerja yang Bagus

Kedua-dua wanita itu terkejut lalu memalingkan kepada mereka ke arah suara itu.

Ou Ming memakai baju kasual yang ketat, membuatkan dirinya kelihatan biasa-biasa dan kurang menyerlah. Dia lelaki yang kacak, tetapi pada masa yang sama cukup berbahaya. Tidak seperti Li Sicheng yang wajahnya selalu tegang, Ou Ming sedang tersenyum. Walau bagaimanapun, anginnya sekarang jelas kelihatan tidak berapa baik.

Sebaik melihat Ou Ming, wajah Yu Lili terus berubah. Dia kelihatan risau dan meramas tangannya sendiri. Setakat mana Ou Ming sempat dengar? Hanya "penaja"? Atau lebih daripada itu?

Ou Ming berjalan masuk ke wad itu sambil menjeling Yu Lili, lalu meletakkan tangannya pada bahu wanita itu. "Mengumpat saya?" Dia berbisik ke telinga Yu Lili dengan nada menakutkan.

Yu Lili terkaku dan menggelengkan kepalanya.

"Jadi kenapa kamu nampak gelisah?"

"Mana ada…"

"Sayang, kamu tak pandai menipu."

Jantung Yu Lili seperti ingin tercabut. Dia semakin keliru. Setakat mana dia sempat mendengar perbualan mereka?

Su Qianci turut merisaukan perkara yang sama lalu cuba mengalihkan topik. "Jadi kamulah Ou Ming?"

Ou Ming memandang Su Qianci dan bertanya, "Kamu masih ingat saya? Kita cuma jumpa sekejap sewaktu majlis kahwin kamu. Mesti sukar untuk lupakan saya, bukan?"

Su Qianci bingung seketika. Dia terlupa Ou Ming seorang buaya darat.

Tiba-tiba Ou Ming menghampirinya dan bertanya, "Saya dengar kamu mahu bercerai dengan Li Sicheng?"

Su Qianci menjadi keliru. Bagaimana lelaki ini dapat tahu?

Ou Ming dapat membaca reaksi Su Qianci dan tersenyum. "Jadi betullah. Kerja yang bagus."

Su Qianci tersenyum pahit dengan riak wajah keliru.

Bukankah dia kawan baik Li Sicheng? Kenapa pula dia gembira jika Li Sicheng akan bercerai?

Selepas Ou Ming berkata begitu, tiba-tiba kepalanya dilempar dengan sesuatu. Ou Ming terpaku sebelum memalingkan kepalanya dan menjerit marah, "Siapa!" Kemudian dia melihat wajah seseorang yang kelihatan sedingin ais.

Sebaik melihat Li Sicheng, kemarahan Ou Ming terus hilang. Su Qianci dapat mendengar suaranya menjadi lebih lembut. "Kau rupanya."

Li Sicheng tidak menghiraukannya dan terus masuk bersama bungkusan makanan di tangannya. Dia menjeling Su Qianci yang sedang tersenyum dan berkata perlahan, "Kamu dah kelihatan makin sembuh." Su Qianci menyedari jelingan tajam lelaki itu lalu senyumannya hilang. Dia mula berasa tidak selesa.

Lelaki itu kelihatan tidak gembira. Adakah disebabkan topik perceraian tadi?

Ou Ming sempat menjeling logo pada bungkusan makanan yang dibawa oleh Li Sicheng. Dia menyilangkan tangannya dan mengusik, "Malam semalam ada orang cuba nafikan sesuatu. Tapi kemudian dia sanggup memandu jauh ke luar bandar demi membeli makanan untuk isterinya. Sungguh mengejutkan!"

"Berambus!"

"Aku cuma cakap perkara yang benar."

"Aku dapat tanah Kampung Xu."

Gurauan Ou Ming terus terhenti dan dia bertanya dengan wajah tidak percaya, "Betulkah?"

"Kau tak nak?"

"Mestilah aku nak."

"Jadi berambus."

"Baiklah!"

Ou Ming terus beredar dari situ sambil menarik Yu Lili bersamanya. Itulah kali pertama Yu Lili melihat Ou Ming menurut perintah seseorang. Dia tidak dapat mengelak daripada memandang Li Sicheng, dan matanya bertentang dengan mata dingin lelaki itu.

Yu Lili berasa seram sejuk.

Related Books

Popular novel hashtag