Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 848 - Ou Ming Tidak Beri Wang kepada Kamu?

Chapter 848 - Ou Ming Tidak Beri Wang kepada Kamu?

Ou Ming memandang Yu Lili sekilas pandang, tetapi tidak meminta maaf. Yu Lili turut diam. Selepas makanan yang dipesan tiba juga, hanya Li Sicheng dan Ou Ming berbual dengan ceria. Apabila mereka selesai makan, waktu sudah hampir senja.

Li Sicheng dan Ou Ming pergi ke tempat lain untuk menyambung berbual, manakala Su Qianci menarik Yu Lili pergi ke pusat membeli-belah. Yu Lili melihat jenama-jenama terkenal yang digemarinya dahulu dan terpaku di hadapan kedai pakaian. Dia merasakan seolah-olah dirinya kembali ke masa lalu.

Su Qianci mengambil satu demi satu pakaian dan meletakkannya pada badan Yu Lili.

"Ini cantik, sesuai untuk kamu!"

"Hei, ini boleh tahan!"

"Wah cantiknya!"

Yu Lili berdiri di hadapan cermin bersama begitu banyak pakaian di hadapannya. Matanya bersinar-sinar. Tetapi wajahnya terasa panas di hadapan Su Qianci. Akhirnya Su Qianci menyerahkan satu timbunan pakaian kepadanya. Yu Lili memegang pakaian-pakaian itu dengan wajah yang bertambah merah.

Su Qianci menolaknya lembut dan berkata, "Pergilah. Cuba pakai dan lihat sama ada sesuai."

Yu Lili memandang sekeliling dan melihat pekerja butik itu berdiri agak jauh dari mereka, lalu dia mendekati Su Qianci dan berbisik, "Qianqian, saya tak ada wang. Pakaian di sini amat mahal, saya…"

Su Qianci terkejut mendengar pengakuan itu. Dia memandang Yu Lili dan bertanya, "Ou Ming tak beri kamu wang?"

Yu Lili berasa agak malu dan menggeleng sambil memandang ke bawah.

"Tak apa. Kamu patut cubanya dulu. Saya akan beli yang sesuai untuk kamu." Su Qianci melihat pakaian di tangan Yu Lili dan berkata, "Semuanya cantik dan sesuai dengan kecantikan kamu."

"Saya tak perlu baju-baju ini…"

"Tak apa. Cuba dulu." Su Qianci menolaknya perlahan ke dalam bilik persalinan. "Cuba pakai dan lihat sama ada ia cantik."

Yu Lili masuk ke dalam bilik persalinan itu dengan teragak-agak. Akhirnya dia menanggalkan pakaian dan memakai sepasang baju bersama skirt hitam. Dia melihat tanda saiz pada baju itu. Ia saiz kecil, tetapi apabila dipakainya, baju itu kelihatan besar dan longgar.

Terlalu besar…

Selepas memakainya, barulah dia tersedar dia telah menjadi amat kurus. Tubuhnya seperti seorang gelandangan. Tidak hairanlah Su Qianci memandangnya dengan sedikit pelik.

"Lili, tunjukkan kepada saya selepas kamu siap pakai!" jerit Su Qianci dari luar.

Yu Lili menyahutnya dan membuka pintu lalu keluar.

Su Qianci melihatnya dan berkata, "Bagus!" dengan riak wajah yang sedikit dibuat-buat.

Menipu betul!

Tetapi Yu Lili tetap tidak dapat menahan diri daripada tersenyum dengan reaksi itu. Dia memandang pakaian yang longgar itu di hadapan cermin sambil memikirkan riak wajah Su Qianci. "Betul?"

Pekerja butik segera mendekatinya dan berkata, "Ya, Cik nampak cantik, tapi tubuh Cik agak kurus. Nak cuba size XS?"

"Okey. Tolong ambil dan berikannya kepada kami."

Pekerja butik itu segera mengambil saiz yang lebih kecil. Sambil diperhatikan Su Qianci, Yu Lili masuk ke dalam bilik persalinan dan memakai saiz yang baru itu. Muat. Di luar jangkaan, pakaian itu padan dengan saiz tubuhnya.

Kali ini reaksi Su Qianci tidak lagi dibuat-buat, tetapi jelas ikhlas dari hatinya. Su Qianci memuji berkali-kali. "Cantiknya!!"

Yu Lili ketawa melihat reaksi itu. Kemudian dia terus mencuba beberapa lagi pakaian. Akhirnya dia memilih tiga pasang pakaian di butik itu untuk dibeli.

Kesemuanya berjenama mahal dan Yu Lili masih teragak-agak ketika Su Qianci membayar bilnya.

Related Books

Popular novel hashtag