Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 810 - Mulai Saat Ini, Gadis Ini Sudah Menjadi Dewasa

Chapter 810 - Mulai Saat Ini, Gadis Ini Sudah Menjadi Dewasa

Bagi mereka yang ditinggalkan di rumah anak-anak yatim, tiada sesiapa tahu tarikh lahir sebenar mereka. Semua orang menjadikan tarikh mereka ditemui sebagai tarikh lahir mereka.

Yu Lili ditemui pada hari kelima bulan qamari pertama. Disebabkan tarikh istimewa itu, dia selalu dibayar tiga kali ganda apabila bekerja pada waktu itu. Oleh itu selama 17 tahun, dia tidak pernah menyambut hari jadinya. Kebiasaannya pada tarikh itu dia akan bekerja di restoran ataupun taman tema. 

Dia menyangka hari lahirnya yang ke-18 juga akan sama seperti biasa, tetapi rupa-rupanya tahun ini berbeza.

Ding Dong!

Sebaik sahaja loceng pintu itu berbunyi, Yu Lili melompat turun dengan gembira dari sofa lalu berlari ke pintu dengan seliparnya sebelum terus membuka pintu itu.

Sebaik melihat perkara itu, Ou Ming mengerutkan dahinya dan berkata, "Kamu selalu buka pintu tanpa tanya dahulu. Apa kamu akan buat kalau orang jahat yang ada di luar ini?"

"Ia tak akan berlaku!" kata Yu Lili dengan ceria. Mata gadis itu terpaku ke arah tangan Ou Ming yang memegang sekotak kek besar. "Wah, memang ada kek lah! Haha! Berikan kepada saya!" kata Yu Lili dengan gembira.

Yu Lili mengambil kek itu dari tangan Ou Ming. Dia menghidunya lalu membawanya masuk ke ruang tamu. Melihat perkara itu, Ou Ming menutup pintu dengan wajah gembira. Dia masuk ke dalam rumah dan menanggalkan kotnya lalu meletakkannya di atas sofa."

"Selamat hari jadi sayang," kata Ou Ming sambil duduk di sebelah Yu Lili. "Kamu dah berusia 18 tahun dan dah jadi dewasa sekarang."

Yu Lili mengangguk dengan mata bersinar dan kelihatan teruja. Dia meneguk air liurnya sebaik melihat kek coklat yang besar di hadapannya. Kemudian dia menoleh ke arah Ou Ming dengan mata yang bersinar-sinar. "Wah, bolehkah kita habiskan kek sebesar ini?"

Ou Ming ketawa dengan gembira. Dia membantu Yu Lili mencucuk 18 batang lilin di atas kek itu. Selepas menyalakan kesemuanya, dia berkata, "Buat hajat kamu."

"Apa? Terus buat hajat…" Yu Lili memandang Ou Ming dengan wajah kecewa dan berkata, "Nyanyikan lagu hari jadi untuk saya boleh? Tolonglah."

"Nyanyi lagu hari jadi terlalu kebudak-budakan," kata Ou Ming sambil menepuk-nepuk perlahan kepala Yu Lili. "Tiup lilin itu dan buat hajat cepat."

Yu Lili menggumam sesuatu dan wajahnya kelihatan kemerahan di bawah cahaya lilin kek. Kemudian dia ketawa dengan ceria dan membuat hajat, "Saya harap saya dapat makan kek pada hari jadi saya yang akan datang juga." 

Hajat yang ringkas itu membuatkan hati Ou Ming terasa pedih. Tangan besarnya menyentuh kepada Yu Lili. Matanya merenung gadis itu dengan lembut dan dia berkata, "Ada. Akan ada kek untuk setiap hari jadi kamu yang akan datang."

"Betulkah?" Yu Lili memandang Ou Ming dengan mata bersinar dan senyuman ceria. Kemudian dia meniup kesemua lilin itu dan berkata, "Saya tak pernah makan kek sebesar ini. Saya mahu makan bunga aising ini!"

"Semuanya milik kamu. Makan perlahan-lahan." Ou Ming memandang Yu Lili sambil tersenyum. Senyuman itu berbaur memanjakan seorang gadis dan tersirat makna mendalam yang tidak dapat difahami oleh Yu Lili.

Ou Ming telah tinggal bersamanya selama lebih sembilan bulan. Selama itu, mereka semakin rapat antara satu sama lain. Mereka berkongsi katil dan tidur bersama-sama, tetapi Ou Ming tidak pernah melakukan apa-apa. Ou Ming hanya menciumnya dengan lembut di dahi tanpa sebarang perlakuan yang keterlaluan.

Akhirnya masa yang saya tunggu sudah tiba. Mulai saat ini, gadis ini sudah menjadi dewasa.

Mata Ou Ming tersirat pelbagai makna. Dia hanya memerhatikan Yu Lili membuang lilin-lilin dan memotong kek itu dengan berhati-hati dan penuh teruja.