Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 784 - Dia Seperti Maharaja

Chapter 784 - Dia Seperti Maharaja

Bagi menjimatkan wang, Yu Lili tidak tinggal di dalam kampus apabila sesi pengajian sudah bermula.

'Jika saya tidak tinggal di dalam kampus, saya boleh berjimat sebanyak lebih 1000 yuan untuk satu semester,' fikirnya.

Jadi dia terus tinggal di vila Ou Ming. Lelaki itu juga mengatakan rumah itu kosong.

Yu Lili tidak tahu vila yang didudukinya itu jauh lebih mahal sehinggalah setelah lama tinggal di situ. Dia tidak tahu tentang harga rumah ketika itu. Di dalam vila yang besar itu, dia tinggal berseorangan selama separuh semester pengajiannya dan tiada sesiapa tahu dia tinggal di situ. Walau bagaimanapun, pada suatu hari sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Selepas pulang dari kelas, Yu Lili terus ke restoran tempat dia bekerja separuh masa. Pada jam 9 malam barulah dia selesai bekerja.

Sambil membawa beberapa bungkus mi segera, Yu Lili membuka pintu vila itu dan melihat sepasang kasut lelaki di atas rak kasut. Ketika sedang terkejut, dia terhidu bau yang amat sedap dari dalam vila itu.

Sedapnya bau! Ia berbau seperti makanan Barat di restoran yang selalu Ou Ming membawanya makan. Baunya sungguh enak…

Yu Lili menjerit, "Encik Ou? Encik Ou kah itu?"

Kedengaran bunyi perlahan dari dalam , kemudian diikuti suara lelaki, "Ya, saya."

Yu Lili berasa lega lalu masuk selepas menanggalkan kasutnya.

Ou Ming sedang duduk di meja makan dan sedang membuka bungkusan makanan.

Yu Lili menghampiri meja makan lalu menghidu dan berkata, "Sedapnya bau. Kamu yang beli?"

"Ya. Basuh tangan kamu dan makan." Ou Ming membuka penutup makanan yang dibelinya. Dia tersenyum melihat Yu Lili tersengih gembira, kemudian melihat beg plastik yang dipegang gadis itu. "Apa yang kamu beli?"

"Mi segera." Yu Lili mengangkat beg plastik itu dengan wajah yang bangga. "Saya selalu lapar pada tengah malam. Kalau itu terjadi saya boleh makan mi segera. Dengan itu saya boleh jimat tenaga dan wang."

Ou Ming mengambil beg plastik itu dari tangan Yu Lili dan meletakkannya ke tepi. "Kamu makan benda ini kalau lapar? Bukankah kamu bekerja? Kenapa perlu simpan duit?"

Pipi Yu Lili kemerahan dan dia berkata perlahan, "Saya perlu simpan wang supaya dapat bayar kamu balik bila dah cukup."

Riak wajah Ou Ming kembali tenang lalu tersenyum memandang gadis itu. Senyumannya yang menarik dengan sedikit aura jahat itu membuatkan Yu Lili berasa malu. Kemudian Ou Ming mengarah, "Pergi basuh tangan."

Yu Lili mengangguk. Selesai membasuh tangan, dia mengambil garfu yang dihulurkan oleh Ou Ming.

Yu Lili terus makan spaghetti yang dibeli oleh Ou Ming dengan lahap kerana sedang kelaparan. Dia juga sudah lama tidak makan makanan sebegitu, jadi dia makan dengan amat rakus.

"Perlahan-lahan." Bibir Ou Ming mengukit senyuman kecil. Dia turut mengambil sebekas lagi spaghetti dan makan dengan elegan. Walaupun Ou Ming seorang lelaki, dia telah dibesarkan dalam keluarga yang kaya. Makanan yang biasa seperti itu juga kelihatan seperti santapan mewah apabila dimakan olehnya. Dia seakan seorang maharaja yang menikmati santapannya dengan gaya bangsawan.

Pipi Yu Lili bertukar kemerahan. Dia merendahkan kepalanya dan makan spaghetti itu dengan lebih perlahan. Dia memerhatikan Ou Ming dan cuba mengikuti gaya makan lelaki itu.

Ou Ming menyedari perkara itu tetapi tidak berkata apa-apa. Selesai makan, dia mengambil napkin dan manyapu mulutnya sebelum berkata, "Gadis seperti kamu perlu jaga diri dengan baik. Kalau kamu berisi sedikit pasti lebih cantik."

Wajah Yu Lili hanya sebesar tapak tangan. Matanya besar tetapi kosong dan jelas memperlihatkan tidurnya yang tidak cukup. Wajah kecilnya kemerahan sebaik mendengar kata-kata Ou Ming. Dia tunduk dan berkata perlahan, "Terima kasih."

Ou Ming ketawa kecil dan tersenyum, tetapi senyumannya seakan mengandungi sesuatu makna di sebaliknya.

Related Books

Popular novel hashtag