Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 785 - Mari Tidur Bersama

Chapter 785 - Mari Tidur Bersama

Dia sungguh kacak…

Pipi Yu Lili masih kemerahan dan dia berasa agak sukar untuk bernafas kerana gementar. Ketika mengemas meja, dia tidak berani untuk mengangkat mukanya. Selepas kembali dari membuang sampah, Yu Lili melihat Ou Ming sudah tiada di meja makan.

Lelaki itu juga tiada di ruang tamu dan membuatkan Yu Lili berasa agak kecewa. Walau bagaimanapun, ketika masuk ke dalam biliknya, tiba-tiba dia mendengar bunyi tapak kaki. Yu Lili terkejut dan bertanya dnegan kuat, "Siapa tu?"

Ou Ming mengeluarkan kepalanya dari sebalik pintu almari sambil memegang jubah mandi di tangannya. "Siapa lagi?"

Yu Lili terkejut dan matanya terkebil-kebil melihat jubah mandi yang dipegang Ou Ming. "Kamu…"

"Saya akan tinggal di sini bermula hari ini."

"Tapi… ini bilik saya." Selepas mengatakannya, Yu Lili berasa agak malu.

Vila ini kepunyaan Ou Ming dan dia hanya menumpang di sini untuk sementara.

Ou Ming tidak mengendahkannya dan membawa jubah mandi itu ke bilik air.

Yu Lili cepat-cepat berjalan ke arah almari itu dan melihat separuh ruang telah dipenuhi dengan baju lelaki. Dia berpaling ke belakang dan melihat cadar katilnya telah ditukar kepada cadar berwarna gelap gaya lelaki.

Bantalnya pula telah tiada dan diganti dengan dua bantal lain.

Adakah… Ou Ming mahu tinggal bersama-samanya?

Yu Lili kebingungan dan tiba-tiba berasa jijik.

Rupa-rupanya Ou Ming melayannya dengan baik kerana mempunyai niat tertentu. Lelaki itu mahukan… tubuhnya.

Yu Lili berasa kecewa. Sementara Ou Ming sedang mandi, dia mengeluarkan toto dan bantal simpanan dari almari dan membawanya ke ruang tamu. Vila itu mempunyai banyak bilik, tetapi kebanyakannya kosong kecuali bilik tidur utama yang mempunyai katil.

Jika Ou Ming tinggal di sini, saya akan tidur di sofa.

Ketika Yu Lili sedang menghampar toto, Ou Ming keluar sambil mengeringkan rambutnya. Pandangan matanya kelihatan mendalam apabila melihat perkara yang sedang dilakukan gadis itu, kemudian dia tersenyum. "Yu Lili."

"Ha?" Yu Lili hampir melompat kerana terkejut. Dia berpaling ke belakang dan melihat Ou Ming yang memakai jubah mandi berwarna hitam yang menonjolkan tubuhnya yang sasa dan kacak. Pipi Yu Lili terus berubah kemerahan lagi. Dia cepat-cepat berpaling ke hadapan kembali dan berkata, "Macam mana… macam mana kamu tahu nama saya?"

Seingatnya dia memberitahu namanya ialah Li Yu…

Ou Ming ketawa kecil mendengar pertanyaan itu. Dia berasa soalan itu agak kelakar tanpa sebab. Dia mendekati Yu Lili sambil menjeling toto yang telah dihampar kemas pada sofa dan berkata, "Saya akan demam kalau tidur di sini. Saya tak biasa tidur di atas sofa."

Yu Lili bertambah malu dan melambaikan kedua-dua tangannya, "Tak, tak. Bukan saya suruh kamu tidur di sini. Saya yang akan tidur di sini. Kamu tidurlah di dalam bilik, saya tidur di sofa ini."

"Perempuan tak boleh tidur di atas sofa. Mari kita tidur bersama-sama." Ketika mengatakannya, Ou Ming terus menarik tangan Yu Lili tanpa menghiraukannya bantahan gadis itu. Kemudian dia mengerutkan hidungnya dan bertanya, "Di mana kamu bekerja?"

"Saya…" Yu Lili cuba menarik tangannya kembali. "Di sebuah restoran Kantonis."

"Teruk betul baunya. Pergi mandi dan jangan bekerja di tempat itu lagi selepas ini."

"Tak boleh, saya perlu bekerja untuk dapatkan wang!" Yu Lili menarik tangannya dari genggaman lelaki itu dengan kuat. Wajah kecilnya bertukar kemerahan. "Saya perlu kumpul wang kerana saya hutang kamu sangat banyak. Tunggu sekejap." Selepas mengatakannya, Yu Lili berlari masuk ke dalam bilik.

Dia membuka meja sisi dan mengeluarkan sebuah buku nota. Walau bagaimanapun, belum sempat dia berdiri, dia mendengar pintu bilik itu ditutup dan dikunci.

Yu Lili mengambil buku nota itu dan berdiri dengan tubuh yang kaku. Dia tidak berani mengangkat mukanya dan berkata, "Ini semua yang saya hutang dengan kamu. Saya dah catat semuanya…"

Related Books

Popular novel hashtag