Ou Ming memegang gelas wainnya dan matanya yang cantik kelihatan penuh berminat. Dia tersenyum kecil dan bertanya, "Apa nama kamu?"
Yu Lili yang melihat lelaki itu semakin dekat ke arahnya meneguk air liur dengan kepala yang direndahkan. "Yu."
"Nama penuh."
"Saya… Li Yu."
"Li Yu?" Selepas mendengar nama itu, Ou Ming tersenyum kecil. "Nama yang aneh." Selepas itu dia menarik lengan Yu Lili tanpa bertanya dahulu. "Mari sini."
Lengan Yu Lili dipegang oleh tangan kuat lelaki itu. Yu Lili agak terkejut dan gementar pada masa yang sama.
Tangan itu sangat berbeza daripada tangan Lu Yihan. Tangan Lu Yihan kasar dan besat serta membuatkannya berasa selamat. Tangan lelaki ini juga besar, tetapi ia berbeza daripada tangan Lu Yihan. Tangan itu jelas telah menikmati kekayaan dan nama, jelas berbeza dari segi status Lu Yihan, Su Qianci dan dirinya.
Yu Lili dibawa duduk di sofa. Dia berasa amat takut lalu menjarakkan dirinya dari lelaki itu. Ou Ming tidak peduli. Dia duduk bersilang kaki. Pergerakan lelaki itu jelas menunjukkan status sosialnya.
Yu Lili tiba-tiba berasa dirinya amat kecil.
Lelaki ini sungguh hebat.
Bukan kerana rupanya, tetapi dia seakan sudah dilahirkan begitu. Pergerakan elegannya dan gerak-gerinya jelas menunjukkan dia seorang pewaris kekayaan. Semua itu membuatkan Yu Lili semakin berasa rendah diri.
"Berapa umur kamu?"
"17…"
"Jujur."
"17."
"Betul?"
"Emm…" jawab Yu Lili dengan kepala yang ditundukkan dan tangan yang diletakkan di atas kedua-dua pahanya. Dia merenung skirtnya dengan perasaan gementar.
Ou Ming menuangkan jus ke dalam gelas di hadapan Yu Lili dan bertanya, "Kamu kerja di sini untuk bayar yuran?"
Yu Lili terkejut dan mengangkat mukanya. "Macam mana kamu tahu?"
Tetapi selepas itu dia teringat Hao Yu baru sahaja menyebut perkara itu tadi.
Ou Ming tersenyum dan berkata, "Kamu masih terlalu muda untuk lakukan kerja begini. Kamu belajar di kolej?"
"Emm, saya ditawarkan ke Universiti Bahasa Asing Kangcheng."
"Kamu belajar bahasa?"
"Komputer…"
"Kamu tak cukup duit untuk bayar yuran?"
"Tak…" Yu Lili menundukkan kepalanya. "Saya anak yatim piatu, jadi saya perlu kumpul wang sendiri kalau mahu belajar di universiti."
Ou Ming hanya tersenyum dan tidak berkata apa-apa. Selepas itu mereka hanya duduk di sofa yang berasingan itu tanpa bersuara. Yu Lili diam terkaku manakala Ou Ming bermain di mesin permainan. Yu Lili tidak pasti berapa lama mereka duduk di situ. Akhirnya setelah selesai bermain, Ou Ming bangun dan berkata, "Jom pergi makan. Saya lapar."
"Ah?" Yu Lili terkejut dan terpaku. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan Ou Ming. Dia hanya mengikut lelaki itu pergi makan dalam kebingungan. Tetapi dia tidak pernah menikmati makanan sesedap itu selama ini.
Dia juga tidak pernah masuk ke restoran semewah itu. Ketika makan, Ou Ming tersengih dan bertanya, "Macam mana?"
Yu Lili tersengih kembali semasa sedang makan dan mengangguk. "Sedap!"
"Kalau begitu saya akan selalu bawa kamu ke sini," kata Ou Ming sambil tersenyum. Semua perkara ini membuatkan Yu Lili tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Selepas hari itu, Ou Ming menyelesaikan kontrak Yu Lili di pusat hiburan itu, memberikan Yu Lili tinggal di rumahnya, membayar yuran pengajiannya, membelikannya banyak pakaian dan beg yang cantik, serta membawanya makan makanan-makanan yang sedap. Pada awalnya, Yu Lili menyangka dia bertuah kerana terjumpa seorang lelaki yang baik dan amat berterima kasih kepada Ou Ming.
Ou Ming tersenyum penuh makna dan berkata, "Baguslah kamu tahu berterima kasih."
"Percayalah. Saya akan bayar balik semua wang kamu apabila saya dah besar dan bekerja."
Walau bagaimanapun, beberapa lama selepas itu barulah dia tahu -- dia telah disimpan seperti seorang perempuan simpanan.