Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 776 - Sepatutnya Bukan Begini

Chapter 776 - Sepatutnya Bukan Begini

Yu Lili duduk dan mengambil gambar-gambar itu. Air mata yang telah bertakung di matanya terus mengalir tanpa dapat ditahan.

Apa patut saya lakukan…

Bingkai-bingkai gambar itu boleh ditukar ganti, tetapi dia sudah kehilangan saat-saat gembira yang sering ditatapnya…

Apa patut saya lakukan…

Tiba-tiba dia teringat akan sesuatu yang sepatutnya berada di atas meja di dalam bilik itu. Ia sebuah diari tebal yang mencatatkan segala perasaannya.

Yu Lili menoleh ke arah meja itu dan hanya melihat meja yang telah hampir hancur di atas lantai. Diari itu sudah tiada. Dia segera mencari di bawah katil dan di dalam almari, tetapi tidak menemuinya.

Yu Lili membuka almari dan melihat semua pakaiannya telah disembur dengan cat. Almari itu dipenuhi dengan beberapa pakaian jenama terkenal dan juga beberapa pakaian yang agak memuaskan yang dibelinya selama tinggal bersendirian. Semua pakaian yang telah dijaganya dengan baik selama beberapa tahun telah dirosakkan di rumahnya sendiri dan di dalam almarinya. Semuanya telah rosak tanpa ada satu pun yang ditinggalkan. Yu Lili terkaku melihat almari yang penuh dengan cat berwarna-warni itu. 

Beberapa orang yang berkumpul di hadapan rumahnya telah masuk. Sebaik melihat segala kemusnahan yang berlaku, jirannya iaitu Mak Cik Zhao cuba menenangkannya dengan wajah yang simpati. "Lili, baik kamu telefon polis. Orang jahat yang lakukan ini pasti akan ditangkap, kawasan rumah kita ini banyak CCTV."

"Ya, ini dah melampau."

"Kenapa mereka sanggup buli kamu sehingga begini? Saya hairan bagaimana mereka boleh masuk ke kawasan ini. Pengawal keselamatan tak bekerja kah?"

Suara-suara orang ramai bertindihan antara satu sama lain di dalam rumah yang kecil itu dan membuatkan keadaan riuh-rendah. Yu Lili mengeluarkan telefon bimbitnya dari beg. Dia tidak menghubungi polis, sebaliknya menekan nombor 1 dengan agak lama. Kemudian skrin telefonnya memaparkan nama Ou Ming.

Kesedihan dan kepedihan yang menyelubungi hati Yu Lili semakin bertambah sebaik melihat nama itu. Mengapa semuanya jadi begini? Situasi sekarang bukanlah sesuatu yang pernah dijangkanya. Dia tidak patut jadi begini…

Sepatutnya dia hidup seperti merak yang bangga untuk membuatkan Ou Ming sedar yang haiwan peliharaannya tidak akan mati tanpanya. Satu hari nanti, dia akan menjadi seseorang yang berjaya dan berada di sisi Ou Ming.

Ketika itu, orang ramai tidak akan berkata: Yu Lili hanya perempuan simpanan Ou Ming.

Sebaliknya mereka akan berkata: Yu Lili hebat dan layak berada di samping Ou Ming.

Ya, begitulah yang sepatutnya berlaku. Tetapi… mengapa semuanya jadi begini… Sebalik melihat nama Ou Ming, air mata Yu Lili terus mengalir laju. Kemudian, telefonnya bergetar sedikit dan menunjukkan panggilan itu telah dijawab…

*****

Ou Ming sedang terlibat dengan aktiviti sosial pada jam 7 petang ketika telefonnya berdering. Terpapar satu nombor aneh dari Beijing. Ou Ming tidak mengendahkan panggilan itu. Tetapi entah kenapa, tiba-tiba dia teringat perkara yang diberitahu oleh setiausahanya hari ini tentang Yu Lili.

Yu Lili, Beijing.

Suara setiausahanya itu kedengaran dalam kepalanya dan semakin menjauh. Tanpa disangka-sangka, dia menjawab panggilan itu. Tetapi apa yang didengarinya hanyalah bunyi suara orang ramai yang riuh-rendah. Ou Ming hanya diam dan meneliti bunyi bising itu. Tiba-tiba, kedengaran bunyi tangisan bercampur esakan dan bukannya suara orang yang menelefonnya bercakap.

Jantung Ou Ming seakan direntap dan tangannya menggenggam telefon bimbitnya dengan kuat…

Related Books

Popular novel hashtag