Yu Lili terkejut dan segera menolak wang itu dan berkata, "Kak Hao, kamu tak perlu lakukan ini. Saya ada wang yang cukup sekarang."
"Kamu rasa ia terlalu sedikit?"
"Bukan itu maksud saya…"
"Jadi ambil saja. Ini bukan percuma, kamu boleh bayar kembali bila kamu dah ada wang." Hao Yu tersenyum seperti bunga peony yang cantik dan mekar. Dia mengeluarkan kad bisnes daripada beg berjemananya dan menghulurkan kad itu kepada Yu Lili. "Ini kad bisnes saya. Harap kita akan terus berhubung."
Yu Lili mengambil kad bisnes itu. Hao Yu, Pengurus Tingkat Night Jungle.
Yu Lili tidak menyedari kereta Porsche mewah yang dinaiki Hao Yu sehingga dia mengikut wanita itu keluar dari restoran. Kereta itu ialah keluaran terkini. Malah nombor pendaftarannya sahaja boleh menyebabkan iri hati. Jelas Hao Yu amat kaya. Yu Lili merenung dengan penuh kagum ketika kereta itu meluncur laju. Kemudian dia berjalan ke arah stesen komuter berdekatan.
"Kitar semula telefon bimbit, komputer, mesin basuh…" Iklan yang biasa didengarinya itu kedengaran dari arah jalan dan menghentikan Yu Lili. Ketika bunyi itu semakin jauh, dia mendapat satu idea dan tunduk memandang beg tangannya.
Beg yang digunakannya itu ialah beg jenama Milan edisi antarabangsa yang terhad yang dibelikan oleh Ou Ming sewaktu hari jadinya yang ke 20. Yu Lili telah membawa lima hingga enam beg tangan bersamanya ketika dia berpindah keluar dari Vila Xishan. Setiap beg tangannya bernilai lebih 100 000 hingga beberapa ratus ribu yuan. Walaupun telah digunakan selama beberapa tahun, semua beg itu pasti masih boleh dijual.
Tanpa berlengah lagi, Yu Lili mengumpul beg tangannya dan membawa semuanya ke pasar barangan berjenama pada keesokan hari. Dia berjaya menjual lima beg tangannya dan mendapat 318 000.
Disebabkan dia telah lama menggunakan beg-beg tangan itu, hatinya terasa kosong selepas menjual kesemuanya. Ketika berjalan keluar dari pasar itu, satu-satunya beg tangan yang ada padanya adalah beg tangannya yang termurah.
Yu Lili menelefon Li De tetapi panggilannya tidak dijawab. Tanpa memikirkan perkara itu, dia menaiki komuter untuk pulang ke rumah. Namun sebaik tiba, dia melihat ramai orang berkumpul di kawasan rumahnya.
Jantung Yu Lili berdegup kencang. Dia mendekati orang ramai itu dan bertanya, "Apa yang berlaku?" Sebaik sahaja tiba di pintu rumahnya, dia melihat keadaan dalam rumahnya yang kacau-bilau.
Sofanya telah dicalarkan dengan semua spring dan span sofa itu terkeluar di sana sini. Meja kopi di hadapan sofa itu telah dipecahkan sehingga hancur lebur. Meja komputer dan komputernya telah terbelah dua sehingga mendedahkan bahagian dalam komputer. Serpihan kaca memenuhi segenap ruang lantai rumah itu dan kelihatan amat menggerunkan.
Yu Lili seakan tidak percaya apabila melihat keadaan rumahnya yang seteruk itu. Pada dinding ruang tamu, kelihatan tulisan yang telah dibuat dengan semburan graffti: PEREMPUAN JALANG BURUK! GODA SUAMI ORANG! MUKA TAK MALU!
Yu Lili bergegas ke arah bilik tidurnya. Seperti dijangka, pintu biliknya sudah sedia terbuka. Sebaik masuk ke dalam bilik itu, dia melihat katil, selimut dan bantalnya sudah basah kuyup.
Bingkai-bingkai gambar yang digantungnya pada dinding telah pecah bersepai di lantai. Yu Lili terkaku di pintu dan tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Dia berjalan masuk perlahan-lahan sambil merenung gambar-gambar di lantai. Tanpa sedar, matanya menjadi kabur. Semua bingkai gambar telah pecah, manakala gambar-gambar itu… telah basah di dalam air malah setiap gambar turut disembur dengan cat. Tiada apa lagi yang dapat dilihat pada gambar-gambar itu.
Tiada langsung petunjuk yang dapat dijumpai…