Yu Lili menolak lelaki itu dan menjerit, "Tolong hormat sedikit!" Ketika itu juga, Yu Lili sudah membuka pintu dan segera keluar dalam ketakutan. Walau bagaimanapun, Li sempat menariknya masuk kembali dan menutup pintu. Kemudian dia terus menindih tubuh wanita itu.
Yu Lili menjerit sambil menolak lelaki itu dengan kedua-dua belah tangannya. "Syaitan!! Pergi kau!!"
"Kenapa cakap begitu kepada bos kamu?" Walaupun berkata begitu, suara Li kedengaran penuh teruja. Kenapa kamu berpura-pura suci? Kamu tak lebih daripada hanya seorang perempuan simpanan. Malah saya dah naikkan jawatan kamu. Itu masih tak cukup? Bagaimana kalau saya naikkan gaji kamu?" Ketika bercakap, mulut Tuan Li mengeluarkan bau arak yang kuat.
Yu Lili merasakan dirinya hampir muntah. Ketika itu juga, dia terbayangkan wajah kacak dan mata cantik yang memandangnya dengan senyuman kecil. "Bodoh! Berambus!" Mata Yu Lili menjadi merah. Dia menggunakan seluruh kekuatannya untuk menolak Li dan menendang lelaki itu.
Tiba-tiba kereta itu bergerak lalu terus melanggar sesuatu dengan bunyi yang kuat.
Boom!
Yu Lili dan Tuan Li tercampak ke hadapan pada masa yang sama. Ketika itu juga, kedengaran bunyi kaca yang pecah dan bercampur dengan bunyi penggera kereta.
Serpihan kaca pecah yang tajam bertaburan dari hadapan. Mata Yu Lili terbeliak sebaik melihat salah satu serpihan tertusuk ke dahi Li. Darah merah mengalir dari dahi lelaki itu dan mengalir ke matanya yang tertutup. Li tidak bergerak. Adakah lelaki ini sudah mati?
Fikiran Yu Lili buntu. Dia mendengar bunyi ambulan, siren polis dan riuh-rendah di sekelilingnya tetapi semuanya seakan sebuah mimpi. Apabila dia membuka matanya, dia sedang terbaring di atas katil hospital.
Seorang polis, doktor dan jururawat berada di tepi katilnya. Sebaik melihat Yu Lili membuka mata, doktor itu segera memeriksanya dan mengesahkan tiada kecederaan serius. Polis itu segera bertanya beberapa soalan.
"Cik Yu Lili, bukan?"
Yu Lili berasa agak takut. Jantungnya berdegup kencang ketika dia mengangguk.
Polis itu memandangnya kemudian melihat buku rekod yang dipegangnya lalu bertanya, "Kamu ada keluarga?"
"Tak ada, saya anak yatim piatu."
"Kenapa kamu berdendam dengan Li De? Tentang kemalangan ini, isteri Li De buat tuduhan yang kamu mahu membunuh suaminya. Apa situasi sebelum kemalangan itu berlaku? Tolong jelaskan."
"Bunuh?" Yu Lili memandang polis itu dengan mata terbeliak dan memastikan perkara yang didengarnya bukan gurauan. Dia merasakan tuduhan itu sangat merepek. "Dia yang cuba cabul saya! Dia berpura-pura mahu tumpangkan saya dan cakap dia tak boleh memandu kerana mabuk. Selepas itu dia cuba rogol saya di dalam kereta. Saya tertekan minyak ketika cuba melepaskan diri dan kereta itu bergerak!"
"Tapi kamu tak ada lesen kereta. Kamu tahu kan kamu dah langgar peraturan?"
"Dia paksa saya memandu. Kalau saya bantah, dia cakap saya tak hormati dia!" Yu Lili memandang pegawai polis itu dan menyambung, "Saya baru dinaikkan pangkat dan belum secara rasmi duduki jawatan itu lagi. Kenapa pula saya nak bunuh dia?"
Pegawai polis itu memandang Yu Lili sekilas dan mencatat sesuatu. "Saya dengar hubungan kamu dengan sepupu isteri Li De tidak begitu baik."
"Ya!" Mata Yu Lili bersinar dengan harapan. "Xu Jing namanya, Li De pecat dia dan berikan saya jawatannya. Pasti disebabkan itu isteri Li De tuduh saya melulu. Mereka kan sepupu."
"Tapi kenapa Li De beri jawatan itu kepada kamu? Ramai lagi di syarikat itu yang ada kelayakan yang lebih bagus daripada kamu. Kenapa dia tak naikkan jawatan orang lain, tetapi kamu? Apa hubungan kamu dengan Li De?"