"Oh… baik." Luo Zhan tidak dapat mencari topik untuk meneruskan perbualan. Perasaan bersalah, janggal dan gementar menyelubungi dirinya. Adakah Lu Yihan tahu tentang ciuman itu?
Lu Yihan menyedari kegelisahan Luo Zhan lalu duduk dan memeluk bantalnya sebelum bertanya, "Ada apa-apa yang kau nak beritahu aku?"
"Tak…"
"Sudahlah. Kau selalu berkelakuan begini kalau ada apa-apa yang kau mahu cakap. Kenapa kau menipu?" kata Lu Yihan lalu menendang Luo Zhan. "Beritahu saja!"
Luo Zhan masih diam.
Lu Yihan menanti seketika kemudian menyedari Luo Zhan masih tidak mahu bercakap. Dia kembali berbaring dan menutup mukanya dengan bantal. "Kalau kau tak ada apa-apa untuk cakap, keluar! Aku penat!"
Luo Zhan merendahkan matanya dan berkata, "Mama aku nak aku ada teman wanita, jadi dia kenalkan aku kepada seorang gadis yang sangat cantik."
Lu Yihan mengalihkan bantal di atas mukanya ke tepi dengan perasaan pelik. Luo Zhan akan ada teman wanita? Jika ini beberapa hari lalu, pasti dia akan mengetawakan Luo Zhan dan berkata dengan nada mengejek: Kau pun boleh ada teman wanita?
Atau mungkin: Perempuan mana yang sangat buta sehingga tertarik kepada kau?
Tetapi sekarang…
Selepas seketika, Lu Yihan berkata, "Baguslah. Kau sukakan dia?"
"Suka," jawab Luo Zhan tanpa teragak-agak. "Jadi aku perlu berpindah. Balik ke China nanti, aku akan pindah ke rumah perempuan itu."
"Huh?" Lu Yihan terkejut. "Dah berapa lama kau kenal dia? Kau nak pindah ke rumah dia secepat ini?"
"Tak, aku cuma tinggal di rumah dia buat sementara. Dia tahu aku berkongsi rumah dengan seorang lelaki dan rasa tak selesa, jadi…"
"Oh…" Lu Yihan terkedu dan perasaannya bercampur-baur.
Teman wanita? Tak selesai seorang lelaki berkongsi rumah dengan lelaki lain? Siapa yang kau mahu tipu Luo Zhan?
Luo Zhan bukan seseorang yang akan segera tinggal bersama seorang wanita yang baru dikenali.
Namun Lu Yihan membiarkan sahaja kata-kata Luo Zhan. Dia diam seketika sebelum berkata, "Tahniah."
Luo Zhan berasa tidak selesa dan memandang Lu Yihan.
Lu Yihan kelihatan agak letih. Tangannya berada di belakangnya dengan santai.
"Lu Yihan, aku rasa…"
Aku rasa aku suka kau. Aku rasa… aku sukakan lelaki.
Lu Yihan memandang Luo Zhan dengan tanda tanya bercampur sedikit curiga.
Luo Zhan ketawa kecil. Dia berbarin g di atas katil yang didudukinya dan memandang siling lalu berkata, "Aku rasa keberatan untuk tinggalkan rumah itu. Lagipun dah lama kita tinggal bersama-sama." Satu perasaan sedih yang tidak dapat dijelaskan dapat dirasakannya.
Lu Yihan berasa agak jengkel. Dia berdiri dan mengambil rokok di meja sisi lalu menyalakan rokok itu.
Rokok itu ialah rokok yang terkenal di Ireland. Lu Yihan amat menyukai rasanya, tetapi hari ini dia tidak dapat menikmatinya kerana berasa terlalu jengkel.
Luo Zhan menyedari kelakuan Lu Yihan lalu bangun dan membetulkan bajunya sebelum berkata, "Aku pergi dulu."
Luo Zhan berjalan perlahan ke arah pintu. Lu Yihan mengikutinya dan menghantarnya keluar tanpa berkata apa-apa.
Sebaik tiba di hadapan pintu, tiba-tiba Luo Zhan berpaling dan memandang Lu Yihan.
Lu Yihan baru sahaja menghisap rokoknya dan tangannya baru sahaja meninggalkan bibirnya. Belum sempat tangan itu berada di bawah, dia melihat Luo Zhan tiba-tiba berjalan ke arahnya.
Lu Yihan merasakan sesuatu yang lembut pada bibirnya. Matanya terbeliak memandang satu wajah yang berada tepat di hadapan matanya. Hatinya bergetar seketika dan dia berasa panik.
Luo Zhan menyedut asap dari mulut Lu Yihan sebelum berundur ke belakang.
Ketika Lu Yihan sedang terkaku dengan mata terbeliak, Luo Zhan menghembuskan asap yang disedutnya perlahan-lahan. Dia cuba menenangkan dirinya dan berkata, "Rokok ini bagus, tetapi mulut itu tidak begitu bagus. Aku pergi dulu."
Kemudian Luo Zhan membuka pintu lalu keluar dan menutup kembali pintu. Luo Zhan tidak menunggu lama dan terus melarikan diri.