Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 711 - Selamat Hari Jadi Papa

Chapter 711 - Selamat Hari Jadi Papa

Jika anak-anaknya masih hidup, agaknya berapa umur mereka sekarang? Adakah mereka dua lelaki atau dua perempuan? Atau mungkin seperti anak-anak Li Sicheng, seorang lelaki dan seorang perempuan? Perasaan Ou Ming tidak pernah jelas, tetapi kali ini Li Sicheng dapat melihat dengan jelas perasaan cemburunya. Mata Li Sicheng menjadi dalam ketika dia menepuk bahu Ou Ming dengan lembut. "Kejap."

Kemudian dia berpaling kepada anak-anaknya dan berkata, "Datang." Dia pergi ke hadapan kek dan berpura-pura membuat hajat lalu meniup 31 lilin di atas kek itu. Dia mengambil sedikit masa untuk memadamkan kesemua lilin itu sebelum memotong kek sambil diperhatikan anak-anaknya dengan teruja. Kemudian mereka bertiga bersorak dan menjerit serentak, "Selamat hari jadi!"

Su Qianci membantu Li Sicheng dan mengagihkan kek itu kepada anak-anak mereka. Kemudian dia mendongak ke arah Ou Ming. "Mari makan kek." Ou Ming tersenyum lalu mendekati mereka dan duduk di sofa. 

Ahli keluarga Li yang lain berada di belakang. Kapten Li memandang Ou Ming lalu mengeluh dan berkata, "Ming, kamu masih belum berkahwin? Kamu ada teman wanita?"

Ou Ming tersenyum dan menggeleng perlahan. "Tak ada Atuk."

"Kamu sedang cari?"

"Buat masa sekarang tidak," jawab Ou Ming lalu ketawa, kemudian mengambil kek dari Li Sicheng dan menghulurkannya kepada Kapten Li. "Atuk, makanlah kek."

Kapten Li mengambil kek itu sambil tersenyum. "Ayah kamu tak risau?"

"Saya dah beritahu dia saya nak utamakan kerjaya dulu."

"Kamu dah cukup berjaya. Kamu lihat sendiri ekonomi keluarga Ou meningkat mendadak sejak beberapa tahun lalu. Itu masih belum cukup? Seorang lelaki perlu ada keluarga sendiri, ia akan bantu kerjaya kamu juga."

"Atuk, kenapa Atuk berminat dengan hubungan orang lain?" Li Sicheng menjeling atuknya dan menghulurkan sepotong lagi kek kepada Ou Ming. "Kalau Atuk tak ada kerja, tolong tengokkan anak-anak saya. Saya mahu bercakap dengan Ou Ming."

Kapten Li merenung Li Sicheng dengan tajam dan membentak, "Kamu budak jahat. Sekarang kamu malu dengan atuk kamu? Huh! Lupakan saja. Aku tak boleh tanya apa-apa pun. Pergilah!"

Ou Ming meletakkan kek itu ke atas meja. Selepas meminta izin daripada Kapten Li, dia mengekori Li Sicheng ke luar rumah. Walau bagaimanapun, selepas Li Sicheng pergi, Li Jianqian tiba-tiba meletakkan keknya ke atas meja lalu berlari dan memanggil, "Papa, tunggu!" Li Sicheng terkejut dan berhenti lalu berpaling ke arah anaknya itu. Walaupun masih kecil, Li Jianqian mempunyai fizikal yang bagus. Rambut hitamnya beterbangan ditiup angin dan dia memandang Li Sicheng dengan pipi yang kemerahan.

Li Sicheng tunduk memandang anaknya dengan mata yang dipenuhi perasaan yang tidak difahami Li Jianqian. "Apa kamu sebut tadi?"

Wajah Li Jianqian bertambah merah dan dia memanggil perlahan, "Papa…"

Pandangan Li Sicheng bertambah lembut. Dia memandang Li Jianqian dengan senyuman. "Ya."

"Saya nak bagi Papa hadiah hari jadi."

"Hadiah apa?" Li Sicheng membongkok dengan wajah terkejut.

Walaupun Li Jianqian belum sepenuhnya faham perasaan ayahnya, tetapi saat ini dia tahu Papa sedang gembira. "Papa tinggi sangat, cuba mencangkung." Li Sicheng menurut sahaja. Li Jianqian mendekati Li Sicheng dan membuat perkara yang selalu dilakukan Li Jianyue. Dia memegang kepala Li Sicheng dengan kedua-dua tangannya lalu mencium pipi ayahnya itu. Kemudian dia terus berlari ke belakang sambil menjerit, "Selamat hari jadi Papa!"

Related Books

Popular novel hashtag