Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 712 - Dia Bunuh Kembar Itu

Chapter 712 - Dia Bunuh Kembar Itu

Li Jianqian segera berlari ke ruang tamu dan hampir terjatuh ketika melanggar sofa. Li Sicheng terkejut dan berasa geli hati pada masa yang sama. Dia berkata, "Hati-hati." Li Jianqian membelakangi ayahnya dengan muka yang bertambah merah. Dia tunduk lalu berlari ke biliknya.

Ou Ming ketawa dan mengejek, "Dia tak tumpah macam kau waktu kecil. Ini kali pertamakah dia panggil kau Papa?"

"Ya." Li Sicheng tersenyum dan pandangannya semakin lembut. "Ini kali pertama dan ia membahagiakan." Budak itu… sangat comel. Adakah dia sengaja tidak memanggilnya Papa bagi membuat kejutan pada hari lahirnya? Mata Li Sicheng penuh dengan perasaan sayang. Sebaik menoleh ke arah Ou Ming, dia menyedari sahabatnya itu semakin cemburu. Walaupun tersenyum, mata Ou Ming kelihatan sedih. Mungkin orang lain tidak dapat melihatnya, tetapi Li Sicheng sudah mengenali Ou Ming selama lebih 20 tahun dan sangat kenal sahabatnya itu. Dahi Li Sicheng berkerut sebaik melihat riak wajah sahabatnya itu. Dia mendekati Ou Ming dan berkata, "Jom."

Tasik kecil tidak jauh dari rumah lama itu telah berada di situ sejak dahulu lagi. Sewaktu kecil, Ou Ming dan Li Sicheng gemar duduk di atas rumput di tepi tasik itu dan berbual-bual. Pada waktu siang, mereka akan duduk sambil memancing manakala pada waktu malam, mereka akan berbaring sambil merenung bintang. Aktiviti itu berterusan sehingga mereka menamatkan pengajian di kolej. Selepas bergraduasi, Ou Ming menyambung pengajiannya di Eropah manakala Li Sicheng memulakan perniagaannya. Mereka semakin jarang duduk di situ bersama-sama. Apabila kini mereka berbaring di atas rumput itu, kedua-dua mereka teringat kenangan lama.

"Sicheng."

"Ya." Li Sicheng meletakkan kepada di atas tangannya dan merenung langit.

Hari ini Kingstown telah menjadi antara ibu kota yang sibuk. Bintang sudah sukar untuk dilihat, tidak seperti ketika mereka masih kecil. Langit malam itu kelihatan suram dengan hanya beberapa bintang yang kelihatan. Mereka berdua hanya diam tanpa berkata apa-apa selama beberapa ketika. Sekali-sekala bunyi cengkerik akan kedengaran. Angin yang bertiup lembut membuatkan keadaan di situ terasa tenang dan selesa.

Li Sicheng merenung langit malam itu dan bertanya perlahan, "Siapa yang kau jumpa di ibu kota kali ni?"

Ou Ming terpinga-pinga lalu menoleh ke arah Li Sicheng, sebelum ketawa kecil. "Kau intip aku atau apa?"

Li Sicheng mencebik dan bertanya, "Yu Lili?"

Mendengar nama itu, pandangan mata Ou Ming kelihatan sayu. "Ya." Dia merenung kembali ke arah langit. Di tengah-tengah kegelapan itu, seolah-olah ada satu wajah yang sedang tersenyum kepadanya dengan senyuman yang cantik. "Memang dia."

"Hidup dia mesti kacau-bilau sekarang."

Ou Ming tersenyum. "Macam mana kau tahu?"

"Tanpa kau, dia tak boleh hidup dengan baik."

"Oh, kau lebih teruk daripada aku. Aku tak pernah fikir untuk buat hidup dia kacau-bilau." Ou Ming menggelengkan kepalanya. Suaranya kedengaran sunyi. "Ingat kenapa kita jumpa kali terakhir haritu?"

"Kandungan perempuan tu gugur."

"Ya. Selama empat tahun, aku sentiasa sangka ia salah aku. Aku yang bunuh anak aku sendiri." Suara Ou Ming kelihatan sebak. Di hadapan sahabatnya yang paling karib itu, dia tidak perlu berpura-pura tabah. Dia berpaling ke tepi dan menyambung, "Tapi sebenarnya… dia ambil pil. Dia dah berniat untuk gugurkan anak kami. Kandungan itu pasangan kembar…"

Li Sicheng merasakan hatinya seakan dipukul. Jauh di sudut hatinya, kemarahan mula membuak-buak. Kembar! Dua bayi! Li Sicheng mula faham perasaan cemburu yang dirasai Ou Ming.

Related Books

Popular novel hashtag