Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 709 - Hadiah Hari Jadi Terbaik

Chapter 709 - Hadiah Hari Jadi Terbaik

"Yay!" Li Jianyue memeluk kaki Su Qianci dan mendongak sambil tersenyum kepada ibunya itu. Mata hitamnya bersinar-sinar. "Ada kek untuk hari jadi Papa?"

Su Qianci tersenyum lalu mengangkat anaknya. "Mama dah suruh Papa bawa pulang kek untuk kamu."

Kata-kata Su Qianci membuatkan ketiga-tiga kanak-kanak itu teruja. Li Jianyue menjerit gembira, "Saya nak kek strawberi!"

"Alamak macam mana ni? Papa dah beli kek coklat." Kedengaran satu suara dari arah pintu. Li Sicheng berjalan masuk dari luar. Dibandingkan dengan lebih dua minggu lalu, dia kelihatan jauh lebih baik. Ketika baru sahaja kembali, dia terlalu kurus.

Mata Li Jianyue bercahaya sebaik mendengar suara papanya. "Papa!" Dia terus berlari ke arah Li Sicheng lalu memeluk kaki ayahnya itu. "Peluk Papa!"

Li Sicheng sedang membawa kek yang besar di sebelah tangannya. Dia mengangkat lalu mendukung Li Jianyue dengan sebelah tangan lagi. "Kamu ikut cakap cikgu tak hari ni?"

"Ikut!"

"Cium Papa."

Li Jianyue mencium pipi Li Sicheng lalu memeluk kepalanya. Ciuman itu membuatkan Li Sicheng tersenyum. "Selamat hari jadi Papa!" kata Li Jianyue dengan senyuman sambil memeluk ayahnya. Dia tidak dapat menahan dirinya daripada menjeling kek di tangan Li Sicheng. "Papa, boleh Papa tunjuk kek tu?"

Li Sicheng ketawa kecil lalu mengetuk lembut dahi anaknya menggunakan dahinya. "Kamu boleh makan kek ni selepas makan malam."

"Bagus!" sorak Li Jianyue dengan gembira. "Jom makan malam cepat!"

Li Mosen turut mendekati Li Sicheng dan berkata perlahan, "Pak Cik, selamat hari jadi."

Liu Sao keluar dari dapur dan berkata, "Dah boleh makan malam sekarang. Pergi panggil Atuk dan Nenek kamu."

"Selamat hari jadi!" kata Li Jianqian dengan pipi yang kemerahan lalu berlari ke dapur untuk membasuh tangan.

Su Qianci mendekati Li Mosen lalu mengusap kepalanya dan berkata, "Pak Cik? Panggil je Papa." Li Mosen terkejut mendengar kata-kata Su Qianci. Dia memandang Su Qianci dan menyangka telah tersilap dengar. Su Qianci membelai rambut hitam keperangan Li Mosen dan berkata, "Lepas ni panggil saya Mama. Jangan panggil Auntie."

Mendengar kata-kata itu, pipi Li Mosen terus bertukar kemerahan sebelum dia mengangguk dengan laju. Li Mosen menyebut dengan penuh teruja, "Mama, Papa!"

"Pergi ucap selamat hari jadi kepada Papa." Su Qianci menolak Li Mosen ke arah Li Sicheng.

Li Mosen berpaling lalu memandang Li Sicheng dengan teruja. Suaranya kuat dan jelas ketika berkata, "Papa, selamat hari jadi!"

Pandangan Li Sicheng menjadi lembut. Dia menghulurkan kek di tangannya kepada Su Qianci lalu memeluk Li Mosen. "Terima kasih anak. Ini hadiah hari jadi terbaik pernah Papa terima."

Anak, anak! Li Mosen berasa bagai bermimpi lalu memeluk Li Sicheng kembali sambil ketawa dengan gembira. "Papa, selamat hari jadi!"

Senyuman Li Sicheng bertambah lebar. Dia mendukung Li Mosen dan membawanya ke meja makan. "Jom makan!"

Li Jianqian memerhatikan mereka dari jauh dengan perasaan sedikit tidak selesa. Itu ayahnya, bukan ayah Li Mosen yang bukan ahli keluarga Li. Kenapa Li Mosen panggil ayahnya Papa sebelum dia sendiri memanggilnya dengan panggilan itu? Dia sendiri belum menyebut Papa…

[Terima kasih anak. Ini hadiah hari jadi terbaik pernah Papa terima.]

Li Jianqian tunduk lalu makan tanpa berkata apa-apa.

Related Books

Popular novel hashtag