Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 708 - Ou Ming yang Dahulu Sudah Mati

Chapter 708 - Ou Ming yang Dahulu Sudah Mati

Asap rokok bersama sedikit bau tembakau memenuhi kereta itu dengan kesuraman. Ou Ming duduk di tempat pemandu bersama bekas abu rokok di hadapannya. Empat hingga lima puntung rokok telahpun berada di dalam bekas itu. Ou Ming merenung langit mendung di hadapannya dengan fikiran yang kosong. Ketika dia mula-mula melihat gambar-gambar pada dinding itu, dia terfikir… Namun ia hanya tekaannya. 

Terkejut, marah dan sedih. Rupa-rupanya… bukan dia yang membunuh anaknya. Namun kenyataan itu lebih menyakitkan daripada kata-kata Yu Lili kepadanya dahulu. Sejauh mana kebencian Yu Lili sehingga sanggup menggugurkan anaknya sendiri, anak pertama malah kembar? Sejauh mana kebencian Yu Lili kepadanya sehingga tidak mahukan anaknya sendiri?

Mereka pernah bersama selama tiga tahun. Jika dia menjaga seekor anjing sekalipun selama tiga tahun, pasti akan ada perasaan sayang, apatah lagi manusia? Ou Ming merenung langit yang tinggi di atas itu dan matanya hanya dipenuhi perasaan tidak peduli. Dia memadamkan rokoknya lalu menghidupkan kereta dan memandu ke arah jalan. Mulai sekarang, Ou Ming yang dahulu sudah mati.

*****

Selepas Li Sicheng kembali mengambil alih urusan syarikat, prestasi syarikat menjadi bertambah baik berbanding sebelumnya. Ia jauh lebih baik sehingga Su Qianci berasa tidak puas hati dan bangga pada masa yang sama. Dia menyangka dia sudah melakukan yang terbaik, tetapi sebaik melihat laporan tahunan, Su Qianci berasa tertewas.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu sedang berlari-lari di ruang tamu sambil mengejar satu sama lain. Su Qianci meletakkan dokumen ke atas meja dan melihat jam. Sudah hampir jam enam petang. Dia berkata, "Okey kamu semua, rehat dulu, mari duduk sini selama 10 minit!"

Li Jianyue masih ketawa sambil mengejar Li Mosen, kemudian berhenti dan menjerit, "1,2,3, lampu merah, jangan bercakap, jangan bergerak!" Li Mosen dan Li Jianqian serentak berhenti. Kedua-dua mereka tercungap-cungap tetapi tidak bergerak. Li Jianqian berada di posisi berlari manakala Li Mosen kelihatan baru hendak mengatakan sesuatu.

Melihat keadaan yang pelik itu, Su Qianci tidak dapat menahan dirinya lalu menjerit, "Arahan itu tak sah!" Li Mosen dan Li Jianqian menarik nafas lega lalu berlari ke arah sofa yang sedang diduduki Su Qianci dan duduk. Li Jianyue menjelirkan lidah kepada mereka dan berlari ke arah Su Qianci lalu bertanya, "Mama, kenapa Papa belum balik?" Su Qianci mengetuk lembut hidung anaknya itu dan berkata, "Perempuan tak boleh jelir lidah begitu. Cakap baik-baik."

"Lelaki boleh buat?" tanya Li Jianqian.

"Tak boleh. Kamu perlu cakap baik-baik macam Mama dan Papa. Faham?"

"Tapi waktu Pak Cik Luo Zhan bercakap dengan Papa, dia jelir lidah!" kata Li Mosen yang kelihatan bingung. "Kenapa orang dewasa boleh buat tapi budak-budak tak boleh?" Su Qianci terdiam seketika sebelum cepat-cepat berkata, "Pak Cik Luo bukan budak lelaki atau budak perempuan. Dia lelaki dewasa, jadi dia boleh bergurau begitu. Kamu semua tak boleh ikut contoh yang tak baik. Faham?"

"Oh!" Mereka kelihatan tidak begitu faham sepenuhnya. Namun ia berakhir dengan anggapan yang Pak Cik Luo Zhan ialah contoh tidak baik. Li Jianyue termenung dengan mata yang terbeliak sebelum bertanya lagi, "Mama, bila Papa balik?"

 "Sekejap lagi. Nanti Papa balik, pergi peluk Papa. Hari ni hari jadi Papa, jadi kamu perlu ucap kepada dia Selamat hari jadi. Okey?"