Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 707 - Jadi Jangan Simpan…

Chapter 707 - Jadi Jangan Simpan…

Lemparan Ou Ming amat kuat sehingga beberapa bingkai gambar itu jatuh. Bunyi kaca yang pecah bergema di dalam bilik kecil itu.

Ou Ming berjalan ke arah Yu Lili dengan kakinya yang panjang. Sambil tersenyum sinis, dia menghembuskan asap rokoknya ke muka wanita itu. Kemudian dia menolak Yu Lili dengan kuat tanpa belas kasihan sebelum berlalu pergi. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya.

Mata Yu Lili kemerahan dan sedikit sakit. Parutnya yang telah sakit sejak empat tahun lalu seakan berdarah kembali dan membawa kesakitan yang lebih teruk daripada apa yang telah dirasakannya selama empat tahun ini.

Yu Lili memijak kaca di lantai untuk mengambil buku notanya. Di atas buku itu terdapat serpihan kaca dan melukai jarinya. Dia membuka buku itu dan melihat salah satu mukasurat yang bertanda. Pada mukasurat itu terdapat satu lukisan seorang wanita yang memegang pisau dan menikam perutnya. Di bawah wanita itu kelihatan darah yang banyak.

Di bawah gambar itu tertulis: [Aku mengandungkan anak Ou Ming, tapi aku tak mahu melahirkannya. Apa patut aku buat? Aku menggugurkannya… Aku beli ubat dan doktor beritahu aku perlu ambilnya selama tiga hari. Pada hari kedua, aku beritahu Ou Ming aku mahu putuskan hubungan kami. Aku tak mahu bersama dia. Dia bukan seorang lelaki yang mampu aku tangani. Dia terlalu miang, terlalu menindas, semuanya keterlaluan. Mari kita pergi, Yu Lili.]

Keesokan harinya, Ou Ming menolak permintaan Yu Lili untuk memutuskan hubungan. Yu Lili memarahinya dan mereka bergaduh. Pada awalnya Ou Ming hanya memberi amaran dengan wajah dingin, tetapi selepas itu… Ou Ming menahan Yu Lili pada katil secara paksa sehingga perut Yu Lili terkena bucu katil. Ketika itu Ou Ming menahan Yu Lili menggunakan lututnya yang diletakkan pada perut Yu Lili sambil memberinya amaran. Kemudian dia menyedari Yu Lili berkelakuan pelik sebelum melihat darah yang sangat banyak… Ou Ming terkejut dan terkaku seketika.

Ketika itu Yu Lili memegang perutnya dengan wajah yang pucat kebiruan, tetapi sebaik melihat reaksi Ou Ming, Yu Lili merasakan satu perasaan gembira yang aneh seakan dendamnya terbalas. Tiga tahun, selama tiga tahun dia 'disimpan' oleh Ou Ming. Selama tiga tahun itu ramai mengenalinya sebagai teman wanita Ou Ming. Pada masa yang sama, ramai juga yang mengetahui dia ialah 'perempuan simpanan'. Simpanan. Perkataan yang amat jijik. Disebabkan perkataan itu, dia sentiasa dipandang hina. Akhirnya dia berjaya membuang gelaran itu…

Yu Lili berdarah dengan sangat banyak dan tubuhnya juga dibasahi peluh. Namun dengan wajah yang pucat itu, dia ketawa dengan kejam. Ketawa itu bukan sahaja kedengaran kejam kepada Ou Ming, malah Yu Lili sendiri tidak tahu dia mampu ketawa sekejam itu.

[Ou Ming, kau tahu, aku mengandung…]

Ou Ming masih terkaku melihat darah yang sangat banyak dari bawah Yu Lili dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

[Anak kau dah dibunuh oleh kau sendiri. Kau gembira?]

Gembira, gembira? Dia tidak tahu sama ada Ou Ming gembira atau tidak, tetapi entah kenapa dia sendiri tidak merasai kegembiraan yang dijangkakannya. Sebaliknya dia merasai kesedihan yang tidak mampu digambarkannya. Anaknya… anak pertamanya. Ia menakjubkan… ada nyawa kecil di dalam rahimnya. Tetapi sekarang dia telah menghapuskan nyawa kecil itu demi apa yang difikir sebagai kebebasannya. Yu Lili menangis dalam tawanya sebelum pengsan. Apabila sedar, dia sedang berada dalam wad pembedahan. Doktor memberitahunya terdapat dua janin. Kandungannya ialah kembar yang dimahukan Ou Ming selama ini.