Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 72 - Kontrak Perceraian

Chapter 72 - Kontrak Perceraian

Li Sicheng sekali lagi merenung Su Qianci dengan dingin. Dia mendekati wanita itu lalu mengambil kontrak dalam tangannya dan membaca dengan teliti. Raut wajahnya sedikit berubah sewaktu membaca kontrak itu. Ia telah dicop oleh peguam terbaik di Kingstown, Sheng Ximing. Firma guamannya yang paling bagus di Kingstown. Jika keluarga Su mempunyai orang dalam yang membantu sekalipun, Su Qianci pasti perlu menunggu selama seminggu untuk mendapat sesi janji temu dengan Sheng Ximing.

Tetapi tidak mungkin keluarga Su akan membiarkan Su Qianci bercerai dengannya. Jadi ini idea Su Qianci sendiri. Tanpa sebarang pengaruh, pasti dia telah menunggu sekurang-kurangnya setengah bulan untuk mendapat cop itu. Ini bermakna Su Qianci telah merancang kontrak perceraian ini sejak sekian lama. Jika begitu, mengapa wanita itu bersetuju untuk berkahwin dengannya? Li Sicheng tertanya-tanya apa yang berada dalam fikiran Su Qianci. Dia meneliti tandatangan Su Qianci pada hujung kontrak tersebut dan berfikir sejenak sebelum kembali merenung isterinya. Su Qianci berasa cemas dan menundukkan kepalanya dengan lemah seperti seekor rusa yang ketakutan.

Walaupun Li Sicheng seorang yang panas baran, dia cukup pintar untuk tahu perkahwinan satu perkara yang tidak boleh dipaksa. Tanpa berkata apa-apa, dia terus mengambil pen di tangan Su Qianci lalu menandatangani kontrak itu dan pergi selepas menyerahkannya kembali ke tangan Su Qianci. Su Qianci terpaku melihat lelaki itu naik ke tingkat atas dan berasa seperti sedang bermimpi.

Dia telah menandatangani kontrak itu?

Su Qianci memandang kontrak yang dipegangnya dan melihat satu tandatangan yang cantik.

Li Sicheng.

Su Qianci merenung nama itu dan perasaan kosong yang aneh terdetik dalam hatinya. Sudah tentu, dia mahu lelaki itu menandatangani kontrak tersebut. Namun apabila melihat tandatangan itu, dia berasa bingung. Jelas Li Sicheng tidak peduli sama sekali. Lelaki itu melayannya dengan kasar bukan kerana sayangkan Su Qianci, tetapi hanya untuk memuaskan dirinya sendiri.

Jam 11:30 malam. Kelab Charm.

Seorang lelaki tinggi sedang berbaring di atas sofa. Dia memakai jaket berwarna merah tua yang tidak dizip, dan menampakkan kesan gincu pada kolar bajunya. Dua wanita yang berpakaian seksi duduk di sebelahnya dan sedang cuba menghiburkannya. Ou Ming menikmati layanan daripada wanita-wanita cantik tersebut sambil memegang gelas wine dengan jarinya yang panjang. Wajahnya mengukir senyuman nakal dan dia bertanya, "Betulkah?"

Li Sicheng sedang duduk berhadapan dengannya seorang diri di atas sofa yang luas. Lampu chandelier di atas mereka memantulkan cahaya yang terang pada wajah Li Sicheng dan membuatkan wajahnya yang menawan lebih menonjol. Semua wanita yang ada di situ teruja dengannya.

Sungguh kacak!

Jarang sekali mereka mendapat peluang untuk melihat wajah itu. Li Sicheng mengangguk kepada Ou Ming dan tidak mempeduli renungan dan perhatian terhadap dirinya. Lagipun, dia sudah biasa dengan renungan seperti itu.

"Apa patut kita buat? Isteri Li Sicheng yang terkenal ini meminta cerai. Ini sangat mengejutkan!" Walaupun Ou Ming berkata demikian, dia jelas kedengaran gembira.

Li Sicheng menjeling rakannya itu lalu meneguk sedikit minuman di tangannya. Dia bertanya sinis, "Isteri kau larikan diri lagi?"

Senyuman Ou Ming terus hilang. Dia mengetap giginya dan berkata, "Boleh tak kau doakan aku perkara baik-baik saja?"

"Nampaknya tekaan aku tepat."