Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 699 - Perubahan Mengejutkan

Chapter 699 - Perubahan Mengejutkan

"Maafkan saya, tapi siapa Cik Yu Lili?"

"Saya," jawab Yu Lili.

"Saya pemilik kedai ini. Nama keluarga saya Wu. Tadi seorang lelaki hantar laptop ini ke kedai kami untuk diperiksa. Saya dah semak nombor siri serta model ini dan dapati ia laptop terpakai yang kami jual dua minggu lalu. Harganya 48,888. Saya dengar kamu minta bayaran sebanyak 120,000 daripada encik itu sebagai ganti rugi laptop ini. Encik itu merasakan ia tidak masuk akal, jadi dia minta saya untuk buat semakan dan berbincang dengan kamu tentang perkara ini."

"Terpakai? Hanya 40,000 lebih?" Yu Lili terkejut lalu memandang Xu Jing. "Kamu beritahu saya laptop itu berharga 120,000? Jadi kamu tipu saya?"

Riak wajah Xu Jing berubah, kemudian dia menjerit, "Mengarut! Saya belinya dengan harga 120,000! Sekarang ia dah dirosakkan oleh perempuan ini."

Lelaki yang membawa laptop itu mengerutkan dahinya. "Kamu pemilik sebenar laptop ini?"

Ekspresi Xu Jing berubah, tetapi dia segera menenangkan dirinya lalu mengangguk. "Ya."

Lelaki itu mengeluarkan sehelai kertas yang berlipat dari poketnya dan bertanya, "Puan Xu Jing, betul?" Xu Jing terdiam. Riak wajahnya semakin jelas berubah ketika melihat lelaki itu membuka lipatan kertas di tangannya. "Ini rekod yang menunjukkan Puan beli laptop ini dari kedai kami dua minggu yang lalu. Ada nombor kad pengenalan dan tandatangan Puan di sini. Harganya 48,888. Disebabkan waktu itu model ini tiada di cawangan kami di sini, jadi ia diimport dari Amerika menggunakan pos."

Mata Yu Lili terbeliak lalu dia mengambil bil tersebut. Nama Xu Jing jelas tertulis di ruang 'pembeli'. Malah tandatangan Xu Jing yang amat dikenalinya turut berada di situ. Dalam kata lain, laptop ini memang dibeli dengan harga 48,888 sahaja oleh Xu Jing dan Xu Jing telah menipu. Xu Jing mahu mengambil wangnya! Yu Lili mendengus marah lalu menunjuk pada tandatangan di bil tersebut. "Xu Jing, macam mana kamu nak jelaskan tentang ini!"

Perubahan pada wajah Xu Jing amat ketara dan dia terkedu. Semua orang terkejut dan memandang Xu Jing dengan pandangan tidak percaya. Memang benar Yu Lili telah merosakkan laptop Xu Jing dan kemalangan itu juga benar. Melihat Xu Jing amat berang, semua orang menyangka laptop itu barang original.

Perubahan mendadak yang sedang berlaku tidak dijangka oleh sesiapa. Apa yang sedang berlaku? Baru sahaja tadi Xu Jing mengugut untuk menyumbat Yu Lili ke penjara. Sekarang semuanya sudah terbalik dan rupa-rupanya Yu Lili ialah mangsa sebenar.

"Apa? Maknanya Puan Xu mahu menipu wang Yu Lili. Bukankah Puan Xu amat kaya? Kenapa Puan mahu dapatkan duit dengan cara ini?"

"Oh, kalau tekaan saya benar ini bukan hanya kes menipu wang. Dia mahu menuduh Lili mencuri laptopnya untuk menyumbat Lili ke dalam penjara."

"Ha, apa yang berlaku ni? Bukankah ini bermakna Puan Xu Jing seorang penipu dengan bukti yang jelas!"

Pekerja-pekerja itu mempunyai hubungan yang baik dengan Yu Lili dan mereka juga sentiasa ditindas oleh Xu Jing. Mereka kelihatan amat berang dan membuatkan wajah Xu Jing semakin pucat.