Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 693 - Saya Tak Percayakan Kamu, Cik Yu

Chapter 693 - Saya Tak Percayakan Kamu, Cik Yu

Wajah Ou Ming berubah dan dia segera menarik Yu Lili duduk kembali secara paksa. Kemudian dia menutup pintu lalu terus memandu sebelum sempat Yu Lili memakai tali pinggang. Tubuh Yu Lili terluru ke hadapan lalu dia menjerit ketika tangannya menahan beg udara yang terbuka di hadapannya.

Yu Lili menoleh ke arah Ou Ming lalu menjerit marah dengan mata yang kemerahan, "Ou Ming!" Mata Ou Ming yang cantik kelihatan bersinar dengan luar biasa. Hatinya yang telah kosong selama empat tahun tiba-tiba terasa terisi kembali dan perasaan itu amat menyenangkan setelah lama Ou Ming tidak merasainya. Pada masa yang sama, dia turut teringin untuk membalas dendam.

Penampilan Yu Lili amat berbeza berbanding dahulu. Wajahnya tidak memakai solekan, rambut panjangnya tidak kelihatan rapi dan kulitnya juga kelihatan agak kusam. Malah lingkaran gelap dapat dilihat di bawah matanya. Fabrik pakaiannya amat teruk, ia kelihatan seperti fesyen lama dan dijahit dengan tidak kemas. Seluruh pakaian termasuk kasutnya mungkin bernilai kurang daripada 500 dolar atau lebih murah. Sedangkan dahulu, laptop yang berharga 120,000 itu juga tidak semahal beg tangan yang selalu dibelikan oleh Ou Ming untuknya.

Ou Ming berasa agak gembira apabila melihat wajah gementar dan ketakutan Yu Lili. Dia lega melihat keadaan wanita itu! Lihatlah, tanpa Yu Lili dia masih mempunyai kehidupan yang sama dan dikelilingi ramai wanita cantik. Yu Lili langsung tidak diperlukan. Sebaliknya Yu Lili kembali menjadi dirinya yang dahulu apabila dia tidak lagi menjadi kekasih hati Ou Ming. Yu Lili layak menerimanya.

Ou Ming ketawa kecil dan memandu lebih laju. Yu Lili berasa seram sejuk dan semakin gementar lalu mengetatkan tali pinggang keledarnya. Dia amat mengenali Ou Ming. Dia tidak boleh sekali-kali jatuh ke tangan lelaki itu.

Jantung Yu Lili berdegup kencang dan dia mengetap giginya. Sebaik sahaja kereta itu berhenti di pintu masuk hospital, dia terus membuka pintu lalu melompat keluar sebelum berlari ke belakang. Ketika itu, Yu Lili ternampak sebuah teksi sedang menuju ke arahnya lalu segera melambaikan tangan seakan telah bertemu penyelamatnya. Namun apabila teksi itu berhenti, Yu Lili ditarik oleh satu tangan yang besar.

Ou Ming tidak berkata apa-apa, tetapi perlakuannya amat kasar tanpa sebarang sayang atau simpati. "Tidak, Ou Ming…" Yu Lili ketakutan. Dia amat kenal dengan lelaki ini! Ou Ming sedang teramat berang. Tetapi perlakuan Ou Ming lebih kasar dan tegas berbanding dahulu dan mengejutkan Yu Lili.

Yu Lili membongkok untuk cuba memperlahankan langkah Ou Ming dengan beratnya sambil bergelut. Ou Ming menyedari niat Yu Lili lalu tersenyum dingin sebelum terus mengangkat wanita itu. "Pemandu saya yang langgar kamu, jadi saya patut bayar kos perubatan kamu. Sila diam, Cik Yu."

Cik Yu… Panggilan yang formal itu membuatkan Yu Lili berasa hatinya pedih. Sejak mereka mula bertemu pada tujuh tahun lalu, Ou Ming tidak pernah memanggilnya selain 'Yu Lili' atau 'Lili'.

Panggilan tidak mesra itu membuatkan hatinya lebih sakit berbanding menerima kata-kata sumpahan. Dia tahu dia bersalah. Dia telah bersalah sejak empat tahun lalu. Tetapi semuanya sudah terlambat. Dia tahu Ou Ming membencinya kerana membunuh anaknya dan telah mencalarkan hatinya.

Luka Yu Lili tergesel pada kulit Ou Ming dan menambahkan kepedihannya. "Kamu beri saya wang, saya akan pergi sendiri."

"Tak boleh," kata Ou Ming sambil ketawa kecil. "Macam mana kalau kamu tipu saya, apa yang patut saya lakukan? Jangan lupa yang kamu ada sejarah melakukannya, Cik Yu."

Related Books

Popular novel hashtag