Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 694 - Dia Sudah Pergi

Chapter 694 - Dia Sudah Pergi

Yu Lili berasa lebih terhina lalu memandang Ou Ming dengan tajam dan berkata, "Beri saya beberapa ribu dolar saja. Kamu ada syarikat yang besar. Takkan jumlah sekecil itu pun kamu takut hilang?"

"Maaf," kata Ou Ming sambil mendukung Yu Lili masuk ke dalam hospital. Matanya merenung jauh ke hadapan dan dia berkata dingin, "Tak mudah untuk buat duit. Saya tak boleh percayakan kamu."

Yu Lili merasakan dadanya sesak dan tidak berkata apa-apa. Seorang staf hospital mengenali Ou Ming dan segera menjemputnya masuk. Mereka dibawa ke bilik kecemasan dan Ou Ming meletakkan Yu Lili di atas katil. Pergerakannya langsung tidak lembut atau dipenuhi kasih sayang. Yu Lili seakan dihempas sahaja ke katil. Lukanya tergesel lalu dia mengaduh kesakitan dengan mata yang berair.

Ou Ming melihat perkara itu tanpa sebarang ekspresi dan berkata kepada doktor di situ dengan acuh tidak acuh, "Dia dilanggar kereta, periksa dia."

"Baik, Encik Ou." Tanpa menghiraukan riak wajah Yu Lili yang terkejut, Ou Ming pergi ke pintu dan menyilangkan tangannya. Darah Yu Lili masih berbekas pada tangannya. Ou Ming merenung darah itu buat seketika dan tiba-tiba merasakan dirinya tidak bijak. Kenapa dia perlu datang ke sini? Malah dia membawa wanita itu ke hospital. Ou Ming melihat jam tangannya dan menyedari sudah 40 minit berlalu sejak kemalangan tadi. Penerbangannya sudahpun berlepas. Demi membalas dendam kepada wanita ini, dia terlupa untuk pulang melawat sahabat baiknya.

Ou Ming, sejak bila kau jadi pendendam sebegini?

Ou Ming bersandar pada kerusi di laluan itu dengan mata yang separuh tertutup dan fikiran yang buntu. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang dilakukannya. Bodoh… Apa bezanya Ou Ming baru ini dengan Ou Ming empat tahun lalu?

Selepas lukanya diubati dan pemeriksaan selesai, Yu Lili dibenarkan keluar setelah doktor mengesahkan tiada apa-apa yang serius. Ketika Yu Lili keluar dari bilik itu, Ou Ming sudah tiada di situ.

Dia bertanya kepada jururawat dan mereka memberitahunya Ou Ming sudah pergi. Sebelum pergi lelaki itu telah meninggalkan sejumlah wang yang banyak. Setelah ditolak kos perubatannya, wang selebihnya yang berjumlah lebih 20,000 diberikan kepada Yu Lili. Yu Lili merenung wang tunai di tangannya dengan bingung. Pada masa yang sama, dia turut berasa amat kecewa.

Pergi… Lelaki itu pergi begitu sahaja? Yu Lili menundukkan kepalanya. Matanya berubah suram. Dia berjalan terdengkot-dengkot keluar dari hospital itu lalu menahan teksi dan pergi. 

Tanpa disedarinya, sebuah kereta hitam diparkir tidak jauh daripada pagar hospital itu. Ou Ming memegang rokok di celah jarinya. Asap rokok itu menyelubungi seluruh keretanya. Dia bersandar pada tempat duduk pemandu dengan kelihatan malas dan bersahaja. Sebaik melihat Yu Lili pergi menaiki teksi, dia menghidupkan keretanya dan memandu pergi.

Disebabkan Ou Ming tidak muncul, pembantunya terkandas sendirian di lapangan terbang. Selepas menanti lebih dua jam di situ, dia menerima panggilan daripada bosnya. "Ada kerja lain yang belum selesai, saya tak akan pulang ke Kingstown."

Pembantu itu berasa bingung mendengar kata-kata bosnya. Kerja lain? Jika ada kerja lain sekalipun, adakah ia lebih penting daripada pertemuan bersama Li Sicheng? Tidak mungkin, bukan?

"Encik…"

Pembantu itu mahu berkata sesuatu, tetapi belum sempat mengatakannya, Ou Ming memintas, "Bantu saya siasat tentang seseorang. Jika tak salah dia bekerja di Taman Empayar Ibu Kota."

"Baiklah. Apa nama dia?"

Nama dia…

Ou Ming terdiam seketika sebelum menjawab, "Yu Lili."