Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 687 - Laporan Ujian Kehamilan

Chapter 687 - Laporan Ujian Kehamilan

Syarikat kami!

Cheng You masih belum dapat memisahkan dirinya daripada gelaran setiausaha senior Syarikat Li. Lagipun dia telah berada dalam syarikat itu selama tujuh tahun. Tidak hairanlah dia mempunyai perasaan yang amat mendalam kepada syarikat itu. Walau bagaimanapun, kata-katanya hanya membuatkan angin Rong Rui bertambah buruk. Dia berasa seolah-olah ada lelaki lain dalam hati isterinya dan itu sangat teruk.

"Dia cuma ambil berat tentang kamu dan mahu pastikan semuanya selamat, kan Rong Rui?" kata Li Sicheng tanpa kedengaran ikhlas lalu menghirup tehnya.

Rong Rui berpura-pura tersenyum dan menjawab, "Ya."

Cheng You dan Su Qianci dapat merasakan kedua-dua lelaki itu tidak benar-benar memaksudkan kata-kata mereka. Mereka memandang kedua-dua lelaki itu silih berganti sebelum memandang satu sama lain dengan hairan.

Selesai makan, Rong Rui menghantar isterinya dan Su Qianci di pintu masuk pusat membeli-belah kepunyaan Syarikat Li yang besar sebelum memandu pergi.

Cheng You dan Su Qianci masuk ke pusat membeli-belah itu sambil menolak troli bayi dan membeli banyak barang. Ketika mereka berhenti duduk di sebuah kedai pencuci mulut, Su Qianci melihat seseorang yang seperti dikenalinya.

Seorang lelaki muda yang sedikit kurus dan pucat turut berada di salah satu meja di situ dan sedang berbual dengan seorang wanita. Lelaki itu mempunyai jerawat pada pipinya dan memakai kaca mata berangka warna emas. Semakin Su Qianci memerhatikan lelaki itu, semakin dia merasakan pernah melihatnya.

Cheng You menyedari arah pandangan Su Qianci lalu bertanya, "Kamu kenal dia? Dia saudara Tang Mengying. Nama keluarga dia Liu dan dia seorang doktor. Bukankah kamu ada bekas rakan sekelas bernama Liu Anan? Itu adik dia."

Doktor? Nama keluarga Liu?

Su Qianci segera teringat sesuatu dan bertanya, "Liu Quan?"

"Ya, itulah nama dia. Kenapa?"

"Dahulu dia pernah tipu saya dengan mengatakan saya menghidap AIDS. Saya sangat takut hingga hampir bercerai dengan Li Sicheng!" Su Qianci ada berfikir untuk mencari lelaki itu kembali, tetapi kemudian terlupa setelah begitu banyak peristiwa yang berlaku. Apabila melihat lelaki ini berada di hadapannya lagi, perasaan marah yang telah lama dipendamnya kembali membara.

"Ya Tuhan, betulkah? Mana etika dia sebagai doktor?" Cheng You berasa seakan tidak percaya. "Dia berjaya bekerja di hospital dengan menggunakan nama keluarga. Saya dengar dia turut menerima kesan selepas keluarga Tang bankrap. Tapi nampaknya kesan itu tidak besar."

Liu Quan sedang berbual bersama gadis di hadapannya. Walaupun Su Qianci dan Cheng You tidak dapat mendengar perbualan itu, mereka dapat melihat gadis itu sedang amat teruja.

Su Qianci sudah tidak tahan lagi untuk melihatnya. "Tunggu di sini." Kemudian dia segera bangun untuk pergi.

"Apa kamu nak buat?"

Cheng You tidak mendapat sebarang jawapan.

20 minit kemudian, Su Qianci kembali ke tempat duduknya berhadapan Cheng You.

"Apa kamu buat?"

"Shh, tengok saja." Su Qianci menghirup minumannya dengan senyuman kecil terukir di bibirnya.

Beberapa minit selepas itu, tiba-tiba seorang gadis yang berkaca mata hitam dan memakai solekan yang cantik berjalan masuk ke kedai itu. Dia segera menghampiri meja Liu Quan sambil tercungap-cungap.

Liu Quan dan gadis di hadapannya terkejut. Gadis berkaca mata hitam itu mengeluarkan sehelai kertas lalu menghentaknya ke atas meja mereka. "Liu Quan! Kau lelaki tak guna!"

Liu Quan amat terkejut bercampur bingung. Gadis berkaca mata hitam itu mengambil minuman di hadapan gadis yang bersama Liu Quan lalu menjirus Liu Quan dengan minuman tersebut.

"Apa masalah kau!" Liu Quan amat berang lalu cuba menangkap tangan gadis berkaca mata gelap itu.

Tetapi gadis itu sudah berundur terlebih dahulu sebelum menjerit, "Liu Quan, kau gelarkan diri kau seorang doktor! Huh!"

Selepas mengatakannya, gadis itu terus menangis sebelum berlari meninggalkan kedai itu.

Gadis yang bersama Liu Quan mengambil kertas yang ditinggalkan gadis berkaca mata gelap itu di atas meja mereka. Pada kertas itu, kelihatan tulisan yang besar: Laporan Ujian Kehamilan Hospital Pertama Kingstown.