Orang ramai mula berpaling apabila mendengar kekecohan itu. Tulisan "disahkan hamil" dicetak dengan besar di atas laporan ujian kehamilan itu.
Teman wanita Liu Quan memandangnya dengan wajah tidak percaya. Mata mereka bertentangan dan Liu Quan segera tahu ada sesuatu yang tidak kena. Dia segera menafikan, "Bukan saya, saya tak kenal dia! Perempuan ini gila, sayang, kamu…"
Teman wanitanya tidak menunggu Liu Quan menghabiskan kata-katanya. Dia terus melemparkan laporan itu ke wajah Liu Quan dan menjerit, "Apa benda ini kalau bukan kamu?"
Liu Quan berasa jengkel dengan tindakan teman wanitanya itu lalu menyumpah, "Kau perempuan tak guna. Aku dah cakap bukan aku!"
Suara Liu Quan menarik lebih ramai orang termasuk yang berada di luar kedai itu. Teman wanitanya terkaku sebelum matanya mula kemerahan dan menyedari begitu banyak mata yang sedang memandangnya. Sungguh memalukan!
Teman wanita Liu Quan itu terus berdiri bersama beg tangannya dan mengambil cawan kopi di hadapan Liu Quan. "Lelaki tak guna!" Kopi panas itu dilempar kepada teman lelakinya sebelum dia terus berlalu pergi.
Liu Quan yang amat berang cuba menangkap tangan teman wanitanya. Tetapi gadis itu agak lincah. Jelas dia pernah berlatih kungfu.
Gadis itu berpaling lalu menendang Liu Quan dengan kasut tumit tingginya sebelum memukul bahagian sensitif lelaki itu sambil menjerit, "Berambus kau lelaki penipu!"
Liu Quan membongkok sambil memegang bahagian sulitnya dengan kesakitan. Matanya kemerahan dan berair.
Cheng You menyaksikan semua itu dan berbisik kepada Su Qianci, "Kamu yang lakukannya?"
Su Qianci meletakkan jari telunjuknya di bibir lalu menunjuk ke arah Liu Quan dengan wajah teruja.
Sambil memegang bahagian sulitnya, Liu Quan segera membayar di kaunter sebelum keluar dari kedai itu dengan berjalan terdengkot-dengkot. Beberapa orang di situ telah mengambil gambar dan memuat naik semuanya di Weibo. Apabila perkataan 'Liu Quan' dan 'doktor' dikaitkan bersama, ia pasti akan menjadi berita sensasi di Weibo dan Liu Quan akan malu untuk berhadapan dengan orang ramai. Namun itu semua belum cukup bagi Su Qianci.
Su Qianci mengambil telefon bimbitnya lalu menghantar mesej kepada Luo Zhan: 'Liu Quan, doktor, Jabatan Penyakit Berjangkit, ahli keluarga Liu yang mempunyai kaitan dengan keluarga Tang. Adiknya bernama Liu Anan. Bantu saya korek semua maklumat kotor tentang dia dan keluarga dia. Saya mahu dia hancur!'
Luo Zhan membalas mesej itu dengan emoji gerun dan emoji senyum sinis.
[Z]: Nampaknya mood kamu baik sejak akhir-akhir ni!
[Su Qianci]: Dah tentu
[Z]: Apa yang dia buat pada kamu?
[Su Qianci]: Dia doktor yang tak beretika. Dia tipu saya dan beritahu saya hidapi AIDS. Walaupun ia berlaku empat tahun lalu, saya masih rasa marah!
[Z]: Teruknya, kita mesti balas perbuatan dia. Biar saya uruskannya!
[Su Qianci]: Nanti saya beritahu suami saya supaya naikkan gaji kamu
[Z]: Sayang kamu. Cium!
Su Qianci tersenyum membaca mesej itu lalu membalas: Saya dah buat tangkap layar
[Z]: Aduh! Kamu tak boleh aniaya saya begini!
Su Qianci tergelak. Dia mengambil tangkap layar lalu menghantarnya kepada Li Sicheng.
Ketika menerima mesej itu, Li Sicheng berada di sebuah kafe berdekatan. Di dalam bilik persendirian yang selesa dan mewah itu, hanya ada dia dan Rong Rui. Dia menatap mesej daripada isterinya dengan pandangan lembut. Kemudian dia meletakkan telefonnya ke tepi tanpa membalas mesej itu.
Li Sicheng mengangkat wajahnya dan memandang Rong Rui. "Betulkah?"
"Dah tentu." Rong Rui kelihatan agak tidak gembira. "Tak ada apa aku dapat kalau tipu kau. Tapi kau kena hati-hati. Tang Mengying dah sakit mental dan sentiasa jumpa pakar psikologi selama bertahun-tahun, tambahan pula wajahnya dah hancur. Selagi dia masih hidup, dia pasti akan kembali. Jaga isteri dan anak-anak kamu baik-baik. Sentiasa bawa pengawal peribadi bersama."