Cheng You tidak menyedari perubahan pada riak wajah suaminya. Sebaik mendengar cadangan Li Sicheng, dia kelihatan sedikit terkejut. Tetapi dia yang sedang memegang anaknya tidak berfikir panjang sebelum bersetuju, "Dah tentu, di mana?"
"Restoran yang biasa saya pergi," kata Li Sicheng yang sengaja mengerutkan dahinya lalu menjeling sekilas ke arah Rong Rui. "Apa ya namanya?"
"Shen Ha Hui?" Cheng You segera menjawab.
Mendengar jawapan itu, wajah Rong Rui semakin tidak gembira.
Li Sicheng tersenyum kecil dan mengangguk. "Ya betul. Jom ke sana. Kamu boleh telefon mereka dan tempah bilik?"
"Baik. Jom. Susu, tolong pegang anak saya. Saya nak ambil telefon."
Su Qianci mengambil bayi itu dan Cheng You segera berlalu ke bilik tanpa menyedari wajah suaminya yang sudah seakan hampir meletup.
Sebaik sahaja Cheng You berlalu ke biliknya, Li Sicheng tiba-tiba tertawa kecil. Dia bersandar pada sofa lalu berkata perlahan. "Dia bekerja dengan saya selama tiga tahun lamanya dulu. Pasti kamu perlu berusaha keras untuk dapatkan dia, bukan?"
Wajah Rong Rui amat muram dan dia tidak berkata apa-apa.
Su Qianci memandang kedua-dua lelaki itu silih berganti dan dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena antara mereka. Dia dapat menekanya daripada aura di sekeliling mereka tetapi tidak tahu perkara yang sebenarnya berlaku.
Li Sicheng menyedari renungan Su Qianci tetapi tetap bertenang. Dia berdiri lalu membetulkan bajunya dan berkata, "Mari pergi. Cheng You dah buat tempahan."
"Okey." Su Qianci juga tahu betapa cekapnya Cheng You. Tetapi kata-kata Li Sicheng membuatkan Rong Rui amat tidak selesa. Rong Rui amat tahu bahawa Cheng You pernah menyukai Li Sicheng. Malah Cheng You tidak pernah menyembunyikan kekaguman dan perasaan hormatnya kepada bosnya itu. Rong Rui yakin jika Li Sicheng menggesa, hanya menunggu masa sahaja untuk Cheng You pergi kepada Li Sicheng. Sungguh menyakitkan hati!
Seperti dijangka, hanya selepas beberapa saat Li Sicheng mengatakannya, Cheng You sudah berjalan keluar bersama beg tangan dan beg barangan anaknya. Selepas melemparkan beg barangan anak mereka kepada Rong Rui, dia mengambil kereta sorong bayi dari bilik barangan. Selepas meletakkan anaknya di dalam kereta sorong itu, dia berkata, "Jom. Saya sudah buat tempahan."
Cheng You berpaling ke arah suaminya dan menyedari riak wajah Rong Rui yang tidak gembira. Dia berasa hairan dan bertanya, "Kenapa?"
"Tak ada apa-apa." Riak wajah Rong Rui kembali normal walaupun masih kelihatan sedikit tidak selesa. Dia menggeleng dan menyambung, "Jom."
Kereta yang dipandu Li Sicheng ialah supercar yang telah diubahsuai dan tidak dapat memuatkan kereta sorong tersebut.
Cheng You mengeluarkan keretanya dari garaj lalu mereka bertolak ke restoran yang telah ditempah oleh Cheng You. Su Qianci dan Cheng You tidak dapat makan begitu banyak dan berbual tentang topik berkaitan ibu dan anak.
Li Sicheng makan dengan tenang, sebaliknya Rong Rui kelihatan agak tertekan.
"Cheng You," tiba-tiba Li Sicheng memanggil.
Cheng You yang sedang memegang bayinya menoleh. "Ya?"
"Kamu tahu keluarga Rong Rui…"
"Li Sicheng," Rong Rui segera mencelah dengan wajah yang amat tidak senang. "Apa kata kita pergi ke syarikat kamu untuk lihat-lihat dulu?"
Li Sicheng mengangkat keningnya dan tersenyum kecil. "Dah tentu."
"Kenapa kamu mahu pergi ke syarikat kami?" Cheng You menoleh ke arah suaminya dan kelihatan tidak gembira. "Kamu mahu siasat keadaan? Macamlah kamu tak pernah ke sana sebelum ni!"