Tubuh Tang Mengying jatuh ke belakang. Gelas di tangannya jatuh ke atas karpet dan menumpahkan wain di dalamnya. Li Sicheng memandang sekilas perempuan itu dengan pandangan dingin, kemudian melihat sekeliling dan pergi membuka tingkap. Angin bertiup kuat pada petang itu. Sebaik sahaja tingkap itu dibuka, langsir terus beterbangan ke atas.
Li Sicheng memandang ke bawah dan mendapati bangunan itu sangat tinggi. Dia kini berada pada tingkat teratas dan bangunan itu mempunyai sekurang-kurangnya 40 tingkat. Mustahil baginya untuk terjun. Li Sicheng berfikir seketika sambil memandang sekeliling. Kemudian dia masuk ke dalam bilik air, membuka butang seluarnya dan mengeluarkan sesuatu. Kelihatan satu ruang kecil pada butang seluar itu.
Di dalam ruang itu terdapat satu poket kecil yang ditutup rapi. Satu subang berlian berada di dalamnya.
"Jing Sao, perancangan berubah. Bantuan diperlukan."
*****
Setengah jam kemudian, Jing Sao masuk ke bangunan Oriental Antarabangsa itu bersama seorang pengawal peribadi yang tinggi. Pengawal peribadi itu memakai pakaian kulit yang serba hitam. Penampilannya yang kurus dan tinggi serta memakai kaca mata hitam membuatkan pengawal peribadi itu kelihatan agak mengagumkan.
Pengawal yang berjaga di pintu mengenali Jing Sao. Selepas menganggukkan kepala, Jing Sao berjalan ke arah suite di mana Tang Mengying berada lalu mengetuk pintu dan berkata, "Cik Tang, ini saya."
Mereka menunggu beberapa ketika sebelum pintu itu akhirnya dibuka. Jing Sao masuk bersama pengawal peribadi yang tinggi itu. Selepas 20 minit, Jing Sao keluar sambil tersenyum sinis.
Pengawal peribadi yang berjaga di luar pintu berasa curiga dengan riak wajahnya dan menghampiri suite itu.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi bising seperti barang-barang jatuh dari bilik air di dalam suite itu.
Pengawal-pengawal di situ bertambah curiga dan bertanya, "Apa yang berlaku?"
"Dengan bunyi seperti itu dari bilik yang ada seorang lelaki dan seorang wanita, apa kau fikir mereka sedang lakukan?" Jing Sao memandang pengawal yang bertanya dengan pandangan seolah berkata 'kau memang tak tahu apa-apa'. "Jangan menyibuk. Masuk ke dalam hanya apabila perlu. Jangan ganggu mereka jika tiada hal penting!"
Pengawal-pengawal itu kelihatan baru memahami sesuatu dan terus ketawa serentak. Jing Sao bersama pengawal peribadi yang dibawanya menaiki lif dan turun ke tingkat bawah. Suite itu agak kalis bunyi, jadi pengawal-pengawal peribadi itu langsung tidak masuk ke dalam sehinggalah hari keesokannya.
Ketua pengawal peribadi di situ menerima panggilan daripada pihak pengurusan. Selepas mengangkat panggilan itu, dia terus mendengar teriakan marah. "Mana Tang Qing?! Mana perempuan jahanam itu?"
"Dia ada di dalam suite bersama Li…"
"Beri dia telefon ini! Tak kira apa pun yang sedang dia lakukan! Dia perlu beri aku penjelasan sekarang! Semalam lima atau enam bahagian yang dipertanggungjawabkan kepada dia semuanya telah ditangkap polis. Kau tahu berapa banyak kerugian yang kita tanggung? Bukan itu saja, penyangak-penyangak itu juga dah jumpa ibu pejabat daripada semua klu yang mereka jumpa. Macam mana Tang Qing nak selesaikan perkara ini?!"
Ketua pengawal itu menggeletar kerana tahu betapa buruknya situasi yang sedang berlaku. Dia tidak lagi mengendahkan privasi orang atasannya dan terus mengimbas kad lalu membuka pintu suite itu. Apabila masuk ke dalam, dia mendapati tiada sesiapa di dalam bilik itu! Mustahil! Tak mungkin mereka masih melakukan perkara itu, bukan?
Pengawal peribadi itu segera pergi ke bilik air dan membuka pintu.
Di dalam bilik air itu, dia melihat Tang Mengying dan seorang lelaki yang hanya berseluar dalam telah diikat. Mulut kedua-dua mereka telah ditutup dengan beberapa lapisan pelekat. Sebaik melihat pengawal itu, kedua-dua mereka terus bergelut meminta bantuan.
Ketua pengawal peribadi itu terkejut dan wajahnya berubah pucat. "Tak guna. Kita dalam masalah!"