Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 631 - Menggodanya ke Katil

Chapter 631 - Menggodanya ke Katil

Li Sicheng berjaya meleraikan tali yang mengikat tangannya. Dia melihat kesan merah pada lengannya dan menggeliat.

Tang Mengying melihat riak wajah selesa Li Sicheng, lalu meminum sedikit wainnya dan tersenyum.

Li Sicheng melihat kesan gincu pada gelas itu. Reaksi Tang Mengying tidak seperti yang dijangkanya. "Kau tak takut aku akan lari sekarang?"

"Kau tak boleh lari," kata Tang Mengying dengan tenang. "Di luar ramai pengawal. Kau tak boleh lari melainkan kau boleh lompat keluar tingkap itu." Kemudian dia memandang Li Sicheng dan ketawa sinis. "Tapi kalau kau nak turun, aku boleh bawa kau turun dengan mudah. Asalkan kau beritahu aku siapa rakan subahat kau, atau… kau boleh pilih untuk lakukan seks dengan aku sekali, aku akan lepaskan kau juga. Kau boleh pulang ke rumah selepas empat tahun. Tak mahu?"

"Kau memang terdesak mahu lakukan seks dengan aku?" Li Sicheng memandang Tang Mengying dengan dingin sambil tersenyum sinis.

"Dah tentu," Tang Mengying ketawa. "Malah aku bermimpi tentangnya."

"Malangnya, aku langsung tak ada nafsu untuk kau." Kata-kata yang amat berterus-terang itu merupakan satu hinaan kepada mana-mana wanita.

Lebih-lebih lagi kepada Tang Mengying yang kecantikannya pernah membuatkan semua orang mahukannya. Senyuman pada wajah Tangmengying hilang, kemudian dia ketawa sinis. "Kalau kau dah tak boleh lakukannya, cakap saja. Kau cedera di 'tempat itu'kah waktu dipukul empat tahun lalu?"

Li Sicheng tidak mengendahkannya dan melihat sekeliling suite itu. Rekaannya amat cantik dan mempunyai gaya seakan hotel. Walau bagaimanapun, Tang Mengying telah tinggal di sini agak lama, jadi ia juga kelihatan seperti sebuah rumah. Melihat Li Sicheng tidak menghiraukannya, Tang Mengying mengetap gigi dan berkata, "Ada satu lagi cara. Kau dah lupa?"

"Kau nak aku beritahu siapa rakan subahat aku?"

"Jadi kau mengaku ada rakan subahat?"

Li Sicheng bertanya kembali, "Ada aku nafikan?"

Tang Mengying tersenyum kecil, kemudian bangun lalu menghulurkan wain kepada Li Sicheng. "Minum?"

Li Sicheng mengambilnya dan menggoyangkan gelas berisi wain itu. "Aku nasihatkan kau untuk buat perkara bijak. Pengurusan Syarikat Bo dah sangat marah. Pada mulanya mereka mahu terus bunuh kau. Aku yang minta supaya mereka jangan lakukannya. Jika bukan kerana aku, kau dah dibunuh waktu kau dalam perjalanan ke sini." Tang Mengying merenung Li Sicheng dengan matanya yang besar. Senyuman pada wajah pembedahan plastiknya itu kelihatan sangat hodoh.

Li Sicheng tidak berkata apa-apa dan memandang satu serombong yang besar di hadapannya. Pandangannya kelihatan dalam.

"Kau tak percayakan aku?" Tang Mengying mengangkat sebelah kening. "Kau memang nak dibunuh?"

"Aku percayakan kau," kata Li Sicheng lalu menoleh ke arahnya. "Tapi kenapa kau tak sanggup biarkan aku mati? Kau masih sukakan aku?"

"Haha… Kenapa selama ini aku tak tahu yang kau kelakar orangnya?" Tang Mengying duduk dan mendekati Li Sicheng dengan berhati-hati.

Kali ini Li Sicheng hanya membiarkannya. Tang Mengying terkejut, tetapi segera bergerak lebih rapat dan meletakkan tangannya di atas bahu lelaki itu.

Li Sicheng memandangnya dan tersenyum. Tang Mengying merasakan sesuatu tiba-tiba mekar dalam hatinya. Li Sicheng… senyum kepadanya? Tang Mengying sedikit bingung, tetapi segera membalas senyuman itu kembali.

Tidak!

Tang Mengying mahu mengelak, tetapi sudah terlambat. Pukulan Li Sicheng ke lehernya terlalu pantas. Tang Mengying dipukul tanpa sebarang amaran. Seluruh tubuhnya terasa sakit dan dia terus pengsan.