Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 611 - Saya Tahu Kamu Ada di Kingstown, Encik L

Chapter 611 - Saya Tahu Kamu Ada di Kingstown, Encik L

Di satu jalan paling sibuk di bandar Kingstown, Li Sicheng memasuki satu kedai makan yang dihias cantik. Dia memesan semangkuk mi. Ketika sedang menikmati mi itu, seorang gadis di meja belakangnya tiba-tiba menjerit, "Su Qianci buat hantaran di Weibo!"

Li Sicheng berhenti makan. Tangannya yang memegang penyepit terkaku.

"Oh, kasihannya." Seorang gadis lain bersuara penuh simpati. "Suaminya dah lama mati, tapi dia fikir suaminya masih hidup."

"Saya dengar dia ada masalah mental disebabkan terlalu merindui suaminya. Sindrom Delusi. Saya dengar juga dia selalu berhalusinasi, dia ingat suaminya ada bersamanya…"

"Tapi dia uruskan syarikat yang sebesar itu dengan sangat hebat. Maksud saya, orang yang ada penyakit mental juga boleh lakukannya, kenapa kita masih tak berjaya?"

Gadis seorang lagi itu ketawa sinis sambil menikmati makanannya. "Kamu perlu ada syarikat besar dulu dari awal. Saya dengar bukan Su Qianci seorang yang uruskan syarikat itu, adik iparnya Naib Presiden di situ."

"Jadi kenapa? Dia masih janda. Seorang wanita yang muda, cantik dan ada dua orang anak perlu uruskan sebuah syarikat besar… Kalau saya jadi dia, saya akan berkahwin lagi. Dia masih muda dan boleh buat apa sahaja yang dia suka. Kenapa dia masih menunggu lelaki yang sudah meninggal?"

"Kamu bukan dia, mana kamu tahu apa yang dia fikir? Mungkin cintanya terhadap Li apa tu terlalu kuat?"

"Li Sicheng! Dulu dia idola kamu. Sekarang baru berapa tahun dia meninggal dunia, kamu dah pun lupa nama dia. Dunia ini memang kejam!"

...

Li Sicheng mendengar perbualan mereka, kemudian menghabiskan mi lalu bangun dan keluar. Kemudian dia terjumpa sebuah kafe internet di satu jalan yang agak sunyi. Pemilik kafe itu bertanya sambil menghisap rokok, "Berapa lama kamu mahu guna?"

"Boleh saya guna komputer tanpa kad pengenalan?"

Pemilik kafe itu memandang Li Sicheng dari atas ke bawah, kemudian mengeluarkan rokok dari mulutnya dan berkata, "Boleh. Lima dolar per jam untuk yang lain, 20 dolar per jam untuk kamu. Komputer paling hujung, di belakang bahagian yang terpisah. Itu bilik peribadi VIP. Tiada sesiapa akan masuk."

Li Sicheng mengeluarkan wang seratus dolar dan membayar kepada pemilik kafe itu sebelum masuk ke dalam. Pemilik kafe itu memeriksa wang yang diterimanya. Selepas memastikan wang itu tidak palsu, dia membuka komputer untuk Li Sicheng.

Bilik VIP itu ialah bahagian kecil yang gelap dan mempunyai satu komputer dengan sistem Windows XP yang lama. Seorang kanak-kanak sedang duduk di situ tanpa memakai seluar. Kanak-kanak itu terus mendongak sebaik melihat Li Sicheng masuk.

Pemilik kafe masuk dan mendukung kanak-kanak itu lalu berkata, "Ini anak saya. Buatlah apa yang kamu suka, tapi saya tak akan kembalikan wang kamu."

Li Sicheng tidak menjawab. Dia terus duduk lalu membuka akaun Weibo Su Qianci. Sebaik melihat hantaran terbaru isterinya, hatinya terasa sayu. Wajah isterinya pada gambar itu tampak lebih matang tetapi lebih kurus daripada sebelum ini. Isterinya, Puan Li kelihatan berbeza.

Li Sicheng menggunakan akaun lain dan meninggalkan komen di bawah hantaran itu. 'Dia akan kembali.'

Walau bagaimanapun, komen itu dengan cepat tenggelam di sebalik ribuan komen lain dan tidak dapat dilihat lagi.

Kemudian dia memasuki akaun L dan terus melihat satu gambar profil wanita cantik yang datang bersama mesej.

Gambar itu ialah gambar Su Qianci yang diambil dengan spontan, tetapi tetap cantik. Mesej itu menulis: 'Mari berjumpa. Saya tahu kamu ada di Kingstown, Encik L.' 

Masa mesej itu dihantar ialah 10 minit lepas. Li Sicheng berasa agak gementar: Adakah Su Qianci sudah tahu dia adalah L?