Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 612 - Menyambut Kepulangannya dengan Penampilan Terbaik

Chapter 612 - Menyambut Kepulangannya dengan Penampilan Terbaik

L, Li

Apabila bercakap tentang Li Sicheng, Su Qianci telah menyaksikan banyak perkara yang tidak dapat dijelaskan dengan mudah. Jadi, berkemungkinan selama ini suaminya itu telah menggunakan identiti L dan menjaganya secara diam-diam? Dia tahu idea itu agak tidak masuk akal. Li Sicheng telah dikurung selama bertahun-tahun. Bagaimana dia boleh menggunakan komputer dan menghubunginya? Tetapi idea yang tidak masuk akal itu semakin mendominasi hatinya. Su Qianci tidak dapat mengawal dirinya daripada terus meyakini perkara itu.

Siapa L?

Li Sicheng, Li Sicheng, Li Sicheng...

Suara itu terus-terusan bergema dalam kepalanya. Hati Su Qianci melonjak. Dia membuka akaun Weibonya lalu menghantar satu mesej: 'Mari berjumpa. Saya tahu kamu ada di Kingstown, Encik L.'

Li Sicheng merenung baik-bait perkataan itu dan buat kali kedua dalam hidupnya, dia berada dalam dilema yang besar. Dilema pertama berlaku lebih tiga tahun lalu ketika Jing Sao mengajaknya untuk membantu mengumpul maklumat bagi menjatuhkan geng pengedar dadah itu. Dia boleh memilih sama ada untuk balik ke rumah dan bersatu kembali dengan isteri dan anak-anaknya, tetapi menanggung risikonya geng itu akan membalas dendam kepada keluarganya, atau mengumpul bukti kegiatan mereka dan menghapuskan mereka buat selama-lamanya. Ketika itu, dia berada dalam dilema yang sangat besar selama tiga hari tiga malam. Tambahan pula dia masih belum sembuh daripada kecederaannya yang teruk. Jika dia memilih untuk balik ke rumah, Jing Sao tetap akan membantunya.

Namun akhirnya Li Sicheng memilih pilihan kedua. Sekarang… dia tidak boleh memberitahu apa-apa kepada Su Qianci atau menenangkan isterinya itu dan perlu terus bersembunyi. Jika dia memberitahu sesiapa, risiko yang datang akan menjadi lebih besar. Jing Sao telah beribu-ribu kali memintanya supaya tidak balik ke rumah dan bertemu Su Qianci. 

Pilihan yang ada hanyalah untuk tidak memberitahu Su Qianci dan membiarkan orang lain menyangka isterinya itu paranoid. Dengan itu, Tang Mengying tidak akan mencurigai Su Qianci dan mengganggu keluarganya, sebaliknya akan menumpukan kepada dirinya sahaja. Orang-orang atasan Tang Mengying juga akan kurang berhati-hati. Sedikit masa lagi, dia akan dapat menjatuhkan mereka.

Tetapi apa yang perlu dilakukannya sekarang…

Li Sicheng terus berada dalam dilema. Dia memegang kepalanya dengan tertekan dan menutup mata.

——————————

Selepas menghantar mesej itu, Su Qianci berasa amat gementar dan risau.

Betulkah dia? Ya, ini ialah dia! Pasti benar, bukan? Tak mungkin ada dua orang yang terlalu banyak persamaan dalam dunia ini. Mustahil ada dua orang dengan kebijaksanaan yang sama, bukan? Jadi L pasti ialah Li Sicheng. Tidak salah lagi!

Su Qianci merenung mesej yang dihantarnya. Masa berlalu dan 10 minit kemudian barulah dia menerima mesej balas daripada L. Balasan itu seperti dijangka dan juga tidak dijangka. Su Qianci terkejut membacanya dan terus merenung mesej balas itu. 

 [L]: Malam esok, jambatan Xijiang Kingstown, 8 malam.

Jantung Su Qianci berdegup kencang membaca setiap perkataan itu. Setelah merenungnya buat sekian lama, dia membalas: Pastikan kamu datang.

 [L]: Pasti datang.

Betulkah ini dia? Adakah dia telah memutuskan untuk berterus-terang kepadanya? Esok, pasti datang. Su Qianci ketawa membaca perkataan itu. Air mata mula bergenangan di matanya.

Jahat, dah empat tahun saya menanti kamu, kamu tahu? Encik Li, dah empat tahun saya setia menunggu kamu, kamu tahu?

Su Qianci segera bangun dari katilnya lalu membuka almari dan memilih pakaian. Dia mahu menyambut kepulangan suaminya dalam penampilan yang terbaik.