Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 609 - Mama Paranoid

Chapter 609 - Mama Paranoid

Setiap soalan itu ibarat pedang yang menusuk hati Li Sicheng. 

Jangan menangis. Jangan menangis.

Dia memandang ke arah Su Qianci dan anak-anaknya itu dengan mata yang dikecilkan. Tangannya diangkat dan dia membayangkan seolaholah tangannya menyentuh wajah isterinya itu dan menyapu air matanya. Perasaan sentuhan yang berada dalam ingatannya masih jelas. Setiap inci kulit isterinya itu membuatkannya bahagia.

Maaf…

Li Sicheng memandang buat kali terakhir, kemudian memanjat dinding tinggi di taman tema itu dan melompat. Dia masih ada urusan untuk diselesaikan.

"Mama…" Li Jianyue menyapu air mata pada wajah ibunya. Dia berkata dengan air mata yang masih berlinangan, "Mama, Mama cakap dengan siapa?"

"Dengan Papa kamu, orang yang bawa kamu turun tadi ialah Papa kamu."

"Itu bukan dia," Li Jianqian tiba-tiba mencelah. "Mama, Mama cuma berkhayal. Tadi bukan Papa."

Su Qianci memandang Dasu dengan wajah tidak percaya dan bertegas, "Dia Papa kamu. Tadi memang Papa!"

"Tak, Papa dah mati. Semua orang tahu Mama paranoid. Apa yang Mama nampak tadi cuma khayalan!" Li Jianqian memandang Su Qianci. "Mari balik, Mama."

"Kamu juga tak percayakan Mama?" Su Qianci melihat pandangan Lu Yihan dan Shuang Yu dan merasakan dirinya seakan membuat lawak, tetapi dia langsung tidak mampu ketawa. Air matanya semakin laju mengalir. Dia berjalan ke tempat yang lebih teduh sambil mendukung Li Jianyue. "Dia ada di sini. Sini tiada jalan keluar. Saya tak percaya dia boleh lari. Saya akan berada di sini menunggu dia." 

Lu Yihan memandang Su Qianci dan merasakan hatinya dipenuhi bisikan jahat. Keadaan Su Qianci amat menjengkelkan dan membuatkannya berasa hampir gila. Dia mahu menyedarkan wanita itu dan memberitahunya yang Li Sicheng sudah mati! Dalam letupan sebesar itu, tiada peluang untuk hidup! Tak mungkin ada sesiapa yang boleh terselamat daripada letupan besar dan api semarak itu.

Hanya Su Qianci yang masih mencari Li Sicheng di merata tempat sejak empat tahun lalu. Walaupun langsung tiada berita, Su Qianci masih tidak berputus asa. Selama itu juga, Lu Yihan telah membawa Su Qianci ke ramai pakar psikiatri. Malah dia juga sentiasa berada di sini wanita itu dalam apa jua keadaan. Tetapi Su Qianci sentiasa percaya yang Li Sicheng masih hidup, yang suaminya belum mati… Mana mungkin? Semua orang tahu betapa Li Sicheng mencintai isterinya. Jika lelaki itu masih hidup, kenapa dia tidak kembali?

Lu Yihan merasakan dirinya hampir marah, tetapi kemudian menarik nafas dalam dan bertenang. Dia berkata, "Kita tunggu sekejap. Kalau 15 minit kemudian dia masih tak muncul, kita balik, okey?"

Su Qianci mengetap bibirnya dan tidak menjawab. Matahari semakin terik memancar di atas mereka. Lebih 20 minit berlalu dan Li Sicheng masih tidak muncul.

"Mama, saya lapar," kata Li Jianqian sambil memandang ibunya dengan mata yang gelap dan jernih seperti Li Sicheng.

Li Jianyue memuncungkan bibir dan berkata, "Mama, saya pun lapar."

Perut Li Mosen berkeroncong tetapi dia tidak berkata apa-apa.

Lu Yihan mendekati Su Qianci dan menghulurkan tangan ke arah Li Jianyue. "Mari Pak Cik ambil kamu."

Li Jianyue pergi ke dukungan Lu Yihan dan bertanya, "Boleh kita makan piza? Dah lama saya tak makan piza."

"Tanya Mama kamu," kata Lu Yihan.

Air mata di wajah Su Qianci telah kering. Kekecewaan menyelubungi dirinya dan dia berkata dengan suara yang lemah, "Mari pergi."

Related Books

Popular novel hashtag