Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 600 - Baru Sebut

Chapter 600 - Baru Sebut

Semua wanita suka dianggap muda dan Su Qianci juga tidak terkecuali. Dia ketawa dan menghirup buburnya lalu berkata, "Terima kasih Liu Sao."

Kapten Li yang sedang membaca surat khabar berasa senang hati dengan penampilan Su Qianci. Dia berkata sambil tersenyum, "Kamu mesti jaga anak kamu di taman tema itu. Kamu nampak sangat muda, jangan terpedaya dengan orang tidak dikenali."

"Tak mungkinlah," kata Su Qianci sambil memakan sarapannya. "Kalau saya mudah diperdaya, macam mana saya boleh uruskan syarikat?"

Ia satu fakta, tetapi fakta itu tidak berkesan untuk Kapten Li. "Banyak perkara tak dapat dijangka. Kamu akan bawa tiga orang kanak-kanak tanpa lelaki dewasa. Nasib baiklah Atuk dah jumpa seorang penyelamat untuk kamu." Sebaik Kapten Li habis berkata-kata, kedengaran loceng rumah dibunyikan. Lelaki tua itu meletakkan surat khabar ke atas meja dan berkata dengan wajah gembira, "Baru sebut."

Su Qianci dapat merasakan sesuatu yang buruk. Dia menelan suapan terakhir buburnya dan menoleh ke arah pintu.

Liu Sao membuka pintu dan satu susuk tubuh yang kurus dan tinggi berada di situ. Lu Yihan tidak memakai kaca mata hari ini. Matanya yang bersinar tampak indah pada wajahnya yang sempurna. Dia memakai baju T-shirt berbelang hitam putih yang ringkas bersama sepasang seluar jean dan kelihatan sangat kacak.

Ketiga-tiga orang kanak-kanak itu mendongak ke arah Lu Yihan yang melangkah masuk dan menyapa serentak, "Hai Pak Cik Lu."

Lu Yihan datang ke arah mereka dan menggosok kepala ketiga-tiga budak kecil itu. "Hai, kamu semua dah siap?"

"Ya!" Li Jianyue kelihatan paling teruja. "Pak Cik tengok ni, saya tak pakai skirt harini, saya pakai sama macam Pak Cik!"

Li Jianyue memakai sepasang baju berbelang hitam putih bersama pita ambin.

Bukan sahaja Li Jianyue, malah Li Jianqian dan Li Mosen turut memakai pakaian yang serupa.

Su Qianci melihat baju yang dipakainya dan berasa amat janggal.

Dia juga sedang memakai pakaian yang serupa seperti pakaian Lu Yihan…

Dia sendiri yang membeli pakaian sama bagi dirinya dan tiga kanak-kanak itu, tetapi kebetulan ia sama seperti pakaian Lu Yihan. Ia kelihatan seperti… keluarga lima ahli?

Su Qianci berasa sangat malu dan menoleh ke arah Kapten Li.

Lelaki tua itu menyembunyikan wajahnya di sebalik surat khabar dan membuat nada terkejut. "Hei, kamu tahu? Sekarang di tempat awam juga ada orang yang merompak dan membunuh. Teruknya. Lu, hari ini Atuk amanahkan Qianqian dan cucu-cucu Atuk kepada kamu. Jaga mereka baik-baik."

"Baik Atuk." Lu Yihan melutut dan mendukung Li Jianyue. "Saya berbesar hati untuk jalankan amanah ini!"

Su Qianci berasa tidak selesa. Dia sepatutnya sudah menjangkakan perkara itu dari awal. Taman tema ini pasti idea Atuk!

Su Qianci memegang dahinya dan tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan Lu Yihan. "Saya baru teringat saya ada sesuatu yang perlu diuruskan hari ini. Boleh kita pergi lain kali?"

"Ah, Mama sibuk lagi?" Li Jianyue merenung Su Qianci dengan mata bergenang dan bibir yang dimuncungkan. "Tapi… tapi saya nak sangat pergi ke taman tema. Mama, boleh Mama bawa kami ke sana?"

"Qianqian, dah lama mereka tunggu kamu bawa mereka keluar. Bila kali terakhir? Kamu hanya bekerja sepanjang masa. Kamu perlu luangkan lebih banyak masa dengan mereka," kata Kapten Li yang masih bersembunyi di sebalik surat khabar kerana gerun untuk melihat riak wajah Su Qianci.

"Atuk!" Su Qianci berasa agak marah. Walaupun dia tahu Kapten Li melakukan semua ini untuk kebaikannya, dia masih tidak dapat menahan dirinya daripada naik darah. Dia sangat tahu betapa baiknya layanan Lu Yihan terhadapnya. Tetapi disebabkan itulah dia tidak mahu terlalu terhutang budi kepada lelaki itu.

Related Books

Popular novel hashtag