Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 578 - Menguji Tang Qing

Chapter 578 - Menguji Tang Qing

TL telah berkembang dengan sangat cepat sejak beberapa tahun lalu, bukan sahaja kerana mempunyai sokongan yang kuat di belakang tabir, malah juga disebabkan reka bentuk seni bina mereka yang terkenal. Berita LS mahu bekerjasama dengan TL mengejutkan seluruh Kingstown. Malah Tang Qing turut terkejut dengan berita itu.

Tetapi perniagaan tetap perniagaan, Tang Qing tiada sebab untuk menolaknya. Walau bagaimanapun, Tang Qing bertambah terkejut apabila Su Qianci sendiri mahu berbincang dengannya secara berhadapan. Su Qianci mengajak Tang Qing bertemu di Star City dan pergi ke sana ditemani Shuang Yu dan seorang pengawal peribadi terkuat yang paling dipercayai Li Jinnan.

Setiausaha Bai turut bersama Su Qianci sambil membawa beberapa dokumen. Su Qianci masih berasa gerun sebaik melihat wajah Tang Qing. Ia jelas wajah yang telah melalui pembedahan plastik. Walaupun memakai solekan tebal, ketegangan wajah itu tidak dapat diselindungkan.

Walau bagaimanapun, selepas bertahun-tahun berlatih, Su Qianci kini pandai berpura-pura. Perbincangannya bersama Tang Qing berlangsung dari jam dua hingga lima petang. Selepas lama berbincang, Su Qianci tiba-tiba bertanya, "Kamu tahu main baccarat?"

Tang Qing kelihatan agak terkejut sebelum mengangguk. "Bolehlah. Saya tak sangka pula kamu ajak berjumpa di sini untuk ajak saya main baccarat."

"Ya, dah lama saya tak bermain baccarat. Saya teringin nak bermain kembali."

"Kamu pandai main?" Tang Qing memandang Su Qianci dengan senyuman yang seakan sinis.

Mata Su Qianci berubah tajam. Dia memandang Tang Qing dan bertanya, "Mana kamu tahu saya tak pandai?"

Tang Qing kelihatan jujur ketika dia terus menjawab, "Saya tak pernah dengan Presiden Su datang ke kasino. Ia cuma tak disangka."

"Oh…" Su Qianci tersenyum kecil dan berkata, "Saya ingat kamu dah kenal saya sebelum ni. Nampaknya saya salah sangka."

Tang Qing ketawa. "Dulu saya pekerja di sebuah syarikat kecil. Tapi saya dipecat kerana isteri bos takut saya akan goda suami dia," kata Tang Qing sambil memandang Su Qianci, kemudian menyentuh wajahnya. "Jangan lihat wajah yang sekarang. Dulu saya cantik."

Jantung Su Qianci berdegup semakin kencang. Tangannya yang berada di bawah meja menggeletar di atas pahanya. Adakah Tang Qing sedang cuba mengingatkannya kepada sesuatu? Su Qianci semakin yakin wanita ini ialah Tang Mengying. Tetapi di mana buktinya!

Su Qianci hampir bertanya: Kau Tang Mengying kan? Mana kau sembunyikan suami aku? Shuang Yu yang berada di belakangnya meletakkan kedua-dua tangan di atas bahu Su Qianci. Su Qianci cuba bertenang kembali.

Su Qianci memandang Tang Qing lalu tersenyum. "Sekarang pun kamu cantik, tapi nampaknya kamu tak begitu yakin dengan wajah kamu dan pakai solekan terlalu banyak. Kalau kamu kurangkan sedikit, mungkin kamu akan nampak lebih cantik. Saya agak pakar dalam perkara ini. Apa kata saya betulkan sedikit solekan kamu?"

Tang Qing menyentuh wajahnya dan tersenyum ceria, "Baiknya kamu, tapi tak perlu. Kamu nak main baccarat kan? Jom."

Su Qianci tidak membantah lalu bangun dan mengekori Tang Qing. Dia membuat isyarat kepada Shuang Yu tanpa disedari Tang Qing: 'Perhatikan dia!' Shuang Yu tidak memberi apa-apa reaksi tetapi telah faham apa yang perlu dilakukannya.

Tang Qing hanya membawa seorang setiausaha dan seorang pengawal peribadi bersamanya. Su Qianci mempunyai lebih ramai orang bersamanya. Namun entah kenapa, Su Qianci mendapat firasat buruk.

Tang Qing membiarkan setiausahanya mendapatkan cip. Kemudian dia memandang Su Qianci dan bertanya, "Pemain atau bank?"