Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 571 - Diperangkap Sekali Lagi oleh Atuk!

Chapter 571 - Diperangkap Sekali Lagi oleh Atuk!

Dari sudut pandang yang tidak dapat dilihat Su Qianci, mata Kapten Li seakan bersinar-sinar. Lelaki tua itu berpura-pura mengeluh dan berkata, "Atuk minta dia datang tengah hari esok, di tempat ini." Kapten Li mengeluarkan sekeping nota kecil dari bawah bantal.

Su Qianci mengambilnya dan mendapati ia ialah alamat sebuah restoran makanan barat. Nombor meja dan waktu untuk bertemu telah ditulis di atas nota itu. 12.30 tengah hari. Selepas berjanji akan pergi, Su Qianci berjalan ke biliknya dan menetapkan penggera di telefonnya pada jam 12 tengah hari sebagai peringatan. Walau bagaimanapun, ketika sedang mandi, dia mula berasa keliru. Perkara ini seperti pernah dilaluinya. Tetapi bila? Seakan ada bayangan situasi yang sama bermain di fikiran Su Qianci, tetapi dia gagal memastikan apakah ia.

Selesai mandi, Su Qianci mengeringkan rambutnya dan terus tertidur. Keesokan harinya, dia amat sibuk sejak awal pagi di pejabat dan hanya teringat janji temu itu apabila penggeranya berbunyi. Su Qianci menggeliat lalu meminta setiausahanya membalut jam poket itu dengan baik. Sementara itu dia pergi ke bilik air untuk menampal bedak bagi menutupi kesan di lehernya dan membuka ikatan rambutnya. Kemudian dia terus pergi ke tempat yang dijanjikan bersama jam poket itu untuk bertemu cucu rakan lama Atuk.

Jarak tempat itu lebih dekat daripada jangkaannya dan Su Qianci tiba 10 minit lebih awal. Dia duduk di meja yang telah ditempah itu dan memesan segelas jus. Kira-kira lapan minit kemudian, ketika dia sedang kebosanan dan meminum jusnya, dia melihat satu susuk tubuh berpakaian biru datang ke arah restoran itu. Susuk tubuh itu kelihatan tinggi dan agak kurus. Kulitnya cerah dan dia memakai kaca mata tanpa bingkai bersama sut berwarna biru. Lelaki yang kelihatan kacak itu bertanya sesuatu kepada pelayan restoran.

Sebaik menyedari lelaki itu, Su Qianci terus terkejut. Lu Yihan? Kenapa dia ada di sini? Lu Yihan seakan menyedari renungan Su Qianci. Sebaik lelaki itu berpaling, Su Qianci terus menutup mukanya dengan menu dan berasa tidak senang.

Aduh… malang betul nasibnya. Bagaimana pula dia boleh bertemu Lu Yihan di sini? Lebih memeranjatkan lagi, pelayan itu membawa Lu Yihan ke arahnya.

"Ini meja A2, silakan duduk Tuan."

"Terima kasih." Lu Yihan duduk dan tersenyum sopan kepada pelayan itu.

Su Qianci meletakkan menu itu ke atas meja dengan perasaan jengkel. Dia bertanya, "Kenapa kamu ada di sini?"

Lu Yihan kelihatan agak terkejut dan berkata, "Atuk cakap kamu ada sesuatu untuk diberikan kepada saya, jadi saya perlu datang ke sini. Saya ingat kamu yang aturkannya?"

Su Qianci merenung Lu Yihan tanpa berkata apa-apa. Aduh, dia telah diperangkap oleh Atuk lagi! Su Qianci bersandar lemah pada kerusinya lalu meletakkan menu itu dan memegang dahinya.

Lu Yihan sudah dapat meneka daripada reaksi Su Qianci. Dia tersenyum kecil lalu mengambil menu itu dan bertanya, "Nak saya pesan untuk kamu?"

Su Qianci menarik nafas panjang dan berkata, "Yihan…"

"Kami nak pesan dua salad, dua stik daging dan dua sup cendawan trufel hitam. Oh dan satu aiskrim strawberi."

"Baik, Tuan."

"Ada apa-apa nak tambah?" Lu Yihan memandang Su Qianci dan bertanya.

Su Qianci menyedut jusnya dan menggeleng.

Related Books

Popular novel hashtag