Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 572 - Lurus

Chapter 572 - Lurus

Lu Yihan menutup menu itu dan menyerahkannya kepada pelayan sambil tersenyum. "Itu saja, terima kasih." Pelayan wanita itu terpukau dengan senyuman Lu Yihan. Pipinya kemerahan ketika dia mengambil menu itu dan segera berjalan pergi.

Su Qianci menggigit strawnya dan berasa sangat janggal. Atuk ni memang… Dulu Atuk juga yang sentiasa berusaha menyatukannya dan Li Sicheng, tetapi itu tiada masalah. Namun kenapa pula sekarang dia cuba menyatukannya dengan Lu Yihan? Bukankah ini pengkhianatan kepada cucunya? Jika Li Sicheng kembali… Jika dia kembali… Hati Su Qianci berasa pedih dan matanya kelihatan sedih. Dia melepaskan straw itu dan berkata perlahan, "Yihan…"

"Qianqian..."

Mereka bercakap serentak sebelum kedua-dua tersentak. Keadaan menjadi bertambah janggal. Su Qianci tidak tahu bagaimana untuk melihat wajah Lu Yihan. Dia berasa bingung dan berkata dengan wajah ditundukkan, "Yihan, harini…"

"Kamu ada apa-apa untuk saya?" Lu Yihan menyampuk. Matanya kelihatan lembut dan bercahaya. Walau bagaimanapun, jauh di dalamnya kelihatan kekecewaan yang tidak mampu diungkap.

Su Qianci menelan kata-katanya kembali.

Lu Yihan mengetap bibirnya lalu berkata, "Ini juga satu penipuan?"

Juga? Bila dia menipu Lu Yihan? Su Qianci merenung lelaki itu, kemudian mengeluarkan jam poket yang telah dibalut dari dalam beg tangannya lalu menghulurkannya kepada Lu Yihan.

Sepasang mata yang tidak jauh daripada mereka sedang memerhatikan segala-galanya. Susuk tubuh yang tinggi itu sedang duduk di satu sudut yang sunyi dengan diam. Dia yang memakai satu kaca mata besar dan topi hitam sedang merenung ke arah kotak hadiah yang dihulurkan oleh Su Qianci kepada Lu Yihan. Tangannya menggenggam bahagian tepi kerusi yang didudukinya. Kemudian dia bangun dan masuk ke dalam restoran itu.

Mata Lu Yihan bersinar sebaik melihat kotak hadiah itu. Dia tidak dapat menahan dirinya daripada terkejut.

"Hadiah?" Lu Yihan segera mengambilnya lalu membuka penutup kotak hadiah itu dan melihat satu jam poket di dalamnya.

Jam poket itu kelihatan sudah lama, manakala di dalamnya terdapat satu gambar lama yang tidak berwarna.

"Ini…"

"Atuk saya cakap itu kepunyaan atuk kamu. Mereka rakan sepasukan sewaktu muda dahulu. Itu satu-satunya barang yang ditinggalkan atuk kamu." Su Qianci mula meragui perkara yang diberitahu Kapten Li itu. Adakah gambar itu juga palsu? Kenapa dia tidak pernah tahu sebelum ini Lu Yihan mempunyai atuk yang terkorban sewaktu perang?

Lu Yihan merenung gambar lama di dalam jam poket itu buat beberapa ketika sebelum tersenyum kecil dan mengangguk. "Ini memang gambar nenek saya, tapi saya tak pernah jumpa atuk. Nenek beritahu atuk saya seorang hero dan terkorban dalam perang."

Su Qianci berasa sedikit malu dan mengangguk.

"Rupanya ini kejutan yang Atuk beritahu," Lu Yihan menggoyangkan jam poket itu di hadapan Su Qianci dengan senyuman yang bertambah lebar. "Ia memang satu kejutan. Tolong sampaikan ucapan terima kasih kepada Kapten Li untuk saya."

Ini bermakna cerita Atuk sememangnya benar… Su Qianci menyangka Atuk telah berbohong kepadanya.

Lu Yihan memasukkan jam poket itu kembali ke dalam kotak hadiah dengan berhati-hati dan meletakkannya ke tepi. Ketika dia baru sahaja membuka mulut untuk berkata sesuatu, seorang pelayan datang sambil membawa segelas jus di atas dulang. Tiba-tiba, pelayan itu tergelincir dan dulang itu melayang ke udara. Gelas jus itu turut terbang sebelum jatuh ke atas Lu Yihan…