Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 570 - Dia Sangat Sibuk dengan Kerja

Chapter 570 - Dia Sangat Sibuk dengan Kerja

Su Qianci terdiam mendengar kata-kata itu. Seseorang yang masih hidup. Adakah Atuk bercakap tentang Lu Yihan? Dia tahu, sejak bertahun-tahun mengenali Lu Yihan, lelaki itu sentiasa melayannya dengan sangat baik. Dia tidak menyedarinya sebelum ini, tetapi selepas Li Sicheng hilang, perasaan sebenar Lu Yihan mula kelihatan. Lelaki itu sentiasa cuba mengajaknya keluar dan dia pula akan mencipta pelbagai alasan untuk mengelak.

Lu Yihan juga selalu mengambil anak-anaknya dari tadika, membantunya memasak di rumah, malah mengajar anak-anak itu bermain, menggunakan komputer dan membaca. Walau bagaimanapun, semakin banyak Lu Yihan membantunya, semakin sukar bagi Su Qianci untuk berhadapan dengan lelaki itu. Sekarang sudah hampir dua bulan sejak mereka berjumpa. Dia tahu dia amat banyak berhutang budi kepada Lu Yihan, sangat banyak…

Kapten Li memandang Su Qianci lalu mengeluh dan berkata, "Lupakan saja. Kamu fikirlah sendiri. Atuk tak akan campur urusan kamu."

"Atuk…" panggil Su Qianci perlahan sambil tunduk. Dia mahu berkata sesuatu, tetapi disampuk oleh Kapten Li.

"Tapi Qianqian, Atuk ada sesuatu untuk susahkan kamu." Kapten Li mengambil tongkatnya lalu berdiri.

Su Qianci segera membantunya bangun. "Tak ada apa-apa yang menyusahkan daripada Atuk. Saya akan cuba yang terbaik untuk bantu."

"Mari, tolong bawa Atuk ke bilik." Lelaki tua itu berjalan perlahan dengan tongkatnya.

Selepas membantu Kapten Li kembali ke biliknya, Su Qianci melihat lelaki tua itu mengeluarkan satu jam poket lama dari meja sisi dan menghulurkannya kepadanya. Kemudian Kapten Li berkata dengan berat hati, "Tolong serahkan jam poket ini kepada cucu bekas rakan sepasukan Atuk. Atuk tak mampu lepaskan benda ini selama berpuluh-puluh tahun lamanya. Dia berdiri di hadapan Atuk bagi menyelamatkan Atuk. Waktu itu usia kami baru 20-an. Li Xiao masih bayi dan anaknya pula baru berusia dua atau tiga tahun. Dia terbunuh tetapi Atuk gagal jumpa mayatnya disebabkan perang. Beberapa hari lepas Atuk berjaya jumpa ahli keluarganya!"

Su Qianci mengambil jam poket itu dan membukanya. Dia melihat satu gambar hitam putih yang telah kekuningan. Seorang pegawai tentera muda yang berpakaian segak dan kemas sedang duduk di sebelah seorang wanita. Disebabkan gambar itu telah berubah warna, sukar untuk melihat dengan jelas wajah lelaki dan wanita itu.

"Ini peninggalan rakan Atuk itu. Kamu tolong berikan kepada cucunya bagi pihak Atuk. Atuk minta dia datang ke tingkat tiga Pusat Konvensyen dan Pameran Kingstown."

Su Qianci menutup jam poket itu dan merasakan sesuatu yang tidak kena. "Atuk, benda sepenting ini, saya rasa lebih baik kalau Atuk yang serahkan kepada dia sendiri. Disebabkan dia cucu rakan Atuk, dia mesti agak muda, hanya sedikit tua daripada Sicheng… mungkin dalam umur 30 tahun? Apa kata kita jemput dia makan malam di rumah?"

"Tak boleh, dia cakap dia sangat sibuk dengan kerja dan tak sempat untuk datang ke sini. Sebab itulah kami bersetuju dengan tempat itu. Atuk diselamatkan oleh keluarga dia, jadi Atuk tak boleh menyusahkan dia pula…" kata Kapten Li sambil menjeling sekilas dan melihat Su Qianci yang teragak-agak. Kemudian dia mengambil jam poket itu kembali. "Tak apalah kalau kamu tak mahu pergi. Atuk masih kena buat perkara begini dalam usia setua ini. Sungguh menyedihkan…"

Su Qianci tidak berdaya mendengar keluhan sedih Kapten Li. Dia segera mengambil kembali jam poket itu dan berkata, "Atuk, saya akan pergi. Pukul berapa saya perlu jumpa dia?"