Luo Zhan memimpin tangan anak-anak Su Qianci dan berjalan ke belakang sebelum menelefon polis. Li Jianyue berkeras mahu mencari arnabnya, jadi Luo Zhan terpaksa mencari arnab itu dan meletakkannya ke dalam pelukan Li Jianyue.
Mereka balik ke rumah lama dan mendapati Li Mosen sedang menunggu di muka pintu. Sebaik sahaja melihat kereta Su Qianci, Li Mosen terus berlari ke arahnya. Kanak-kanak lima tahun itu tidak mempunyai kaki yang panjang, tetapi perkembangan dan ketahanan fizikalnya amat bagus jadi dia berlari agak laju. Melihat tuan muda dan puteri kecil itu keluar dari kereta sambil berpegangan tangan, Li Mosen berasa amat gembira sehingga matanya kemerahan. "Kamu balik akhirnya."
Li Jianyue melihat Li Mosen dan terus berkata, "Budak lelaki tak boleh menangis. Mama cakap, perempuan saja boleh menangis. Abang Mosen tak boleh menangis kecuali kalau Abang nak jadi kakak saya."
Li Mosen cepat-cepat menyembunyikan kesedihannya dan melihat arnab dalam dukungan Li Jianyue.
Li Jianyue memberikan arnab itu kepada Li Mosen dan berkata, "Tengok, anak arnab, comel kan?"
"Tak secomel kamu. Puteri kecil paling comel dalam dunia," kata Li Mosen dengan jujur.
Li Jianyue tersenyum gembira lalu memegang tangan Li Mosen. "Abang Mosen terbaik. Jom cari Tok Ayah untuk bermain."
Mendengar kata-kata Li Mosen, Luo Zhan mengagumi kanak-kanak itu dalam hati. Budak bagus, kecil-kecil dah pandai memikat. Apa agaknya akan jadi bila dia besar nanti?
Li Mosen melihat tangan Li Jianyue yang memegang tangannya dan kelihatan amat terharu. Namun dia segera menepuk perlahan tangan itu dan berkata, "Kamu pergi dulu. Saya mahu bercakap dengan Puan sebentar."
Li Jianyue kelihatan kecewa mendengar kata-kata itu. "Berapa kali saya beritahu Abang? Jangan panggil Mama Puan, panggil dia Auntie!"
Luo Zhan memegang tangan Li Jianqian dan berbisik, "Jom bawa adik kamu cari Tok Ayah."
"Okey." Li Jianqian mengangguk dan menoleh ke arah Li Mosen. "Mosen, jom berlatih Taekwondo malam ni."
"Okey."
Kembar itu dibawa pergi oleh Luo Zhan. Su Qianci memandang Li Mosen, kemudian berjalan masuk ke dalam rumah. Shuang Yu yang memerhatikan dari jauh mengikut mereka masuk.
Qin Shuhua sedang panik, tetapi terus berasa lega apabila melihat kedua-dua cucunya.
Kemudian dia melihat Li Mosen berjalan masuk bersama Su Qianci lalu berkata, "Kenapa kamu tak jaga mereka? Dah tahu puteri kecil tu nakal, kamu patut ada bersama mereka sepanjang masa."
Sudah tentulah dia menyalahkan Li Mosen. Li Mosen mengetap bibir, kemudian dia mengangguk dan menundukkan kepalanya. Air matanya terus bergenangan dan dia melutut di hadapan Su Qianci lalu berkata perlahan, "Puan, saya tahu saya salah. Saya akan jaga tuan muda dan puteri kecil dengan lebih baik. Apa yang dah terjadi tak akan terjadi lagi selepas ini."
Puan Su telah menyelamatkan nyawanya. Dari awal lagi dia sudah tahu kewajipannya adalah untuk melindungi kedua beradik itu. Jika perkara sekecil itu juga tidak boleh dilakukannya dengan baik, dia tidak layak tinggal bersama keluarga Li. Lagipun, dia ialah anak haram. Malah ibu kandungnya sendiri mahu membunuhnya. Jika Puan Su dan Encik Li yang telah hilang selama hampir empat tahun tidak menyelamatkannya, dia mungkin tidak akan wujud dalam dunia ini. Li Mosen tahu segala-galanya. "Tolong jangan halau saya."