Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 556 - Kamu Dah Bekerja Keras Selama Beberapa Tahun Ini

Chapter 556 - Kamu Dah Bekerja Keras Selama Beberapa Tahun Ini

Qin Shuhua kelihatan tidak peduli dengan tangisan Li Mosen. Dia memandang budak lelaki itu dengan pandangan menyalahkan.

Li Jianyue ternampak situasi itu dan berasa kecewa. Dia bertanya, "Kenapa Abang Mosen melutut? Tok Ayah cakap, bawah lutut kita ada emas, kalau melutut kamu akan kehilangan emas itu."

Su Qianci mencangkung dan memandang Li Mosen. Dia mengangkat wajah budak lelaki itu dan berkata dengan tegas, "Kan saya dah cakap saya tak mahu kamu salahkan diri sendiri untuk segala yang berlaku?" Li Mosen kembali tunduk dan tidak berkata apa-apa. "Dulu waktu Ersu jatuh ke dalam lubang, itu salah dia sendiri. Kali ini juga salah dia sendiri mereka diculik. Jangan salahkan diri kamu untuk semuanya. Kamu tak ada apa-apa hutang dengan kamu. Kamu ahli keluarga ini juga. Jangan melutut lagi lepas ni dan jangan panggil saya Puan. Kalau tak, saya akan hantar kamu balik ke rumah anak yatim itu dan biarkan mereka buli kamu."

Sebelum berusia tiga tahun, Li Mosen tinggal di rumah anak-anak yatim. Disebabkan dia lahir secara pra-matang, kesihatannya amat teruk dan dia selalu dibuli oleh kanak-kanak lain di rumah anak yatim itu. Kanak-kanak yang lebih tua daripadanya selalu mengetawakan mata, rambut dan warna kulitnya yang berbeza daripada orang lain.

Sehinggalah dua tahun lalu, Su Qianci mengambilnya dan membawanya masuk ke dalam keluarga Li. Ketika itu barulah dia menyedari wujudnya syurga dunia. Cantik, hangat... rumah. Mendengar kata-kata Su Qianci, air mata Li Mosen hampir gugur. Dia memandang Su Qianci dan mengangguk. "Saya faham."

"Apa kamu perlu panggil saya?"

"Auntie..."

Su Qianci mencubit hidung Li Mosen. "Pergi basuh tangan dan ajar adik-adik kamu basuh tangan, kemudian makan."

"Okey," jawab Li Mosen sambil berdiri.

Li Jianyue bergelut dalam pelukan Qin Shuhua dan menjerit, "Nenek, lepaskan saya. Saya nak pergi basuh tangan!"

"Okey!" Qin Shuhua amat menyayangi cucunya itu. Baginya Li Jianyue sangat baik dan comel. Qin Shuhua tersenyum dengan wajahnya yang sedikit berkedut dan berkata dengan penuh kasih sayang, "Basuh tangan bersih-bersih sebelum makan."

"Okey!" Li Jianyue melepaskan diri dan menarik tangan Li Mosen. Dia tersenyum dan berkata, "Abang Mosen, jom basuh tangan."

Ketika Li Jianyue menarik Li Mosen ke bilik air, Li Jianqian mengikuti mereka dan meletakkan tangannya pada bahu Li Mosen.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu pergi membasuh tangan. Su Qianci menceritakan kepada Qin Shuhua tentang kejadian yang baru berlaku dan membuatkan Qin Shuhua gementar. Mata Qin Shuhua kelihatan kesal apabila dia mendengar 10 juta dolar telah dirampas. Tetapi dia berkata, "Asalkan budak-budak itu selamat. Tapi Ibu rasa mereka tak boleh ke tadika lagi. Perkara ini boleh berulang. Semua orang tahu mereka boleh ugut kita untuk dapatkan wang, jadi mereka pasti akan perhatikan anak-anak kamu. Ibu rasa lebih baik kalau kita upah guru persendirian untuk mereka belajar di rumah. Di rumah ramai pengawal peribadi dan lebih mudah untuk awasi mereka. Bila dah besar sedikit, mereka boleh ke sekolah untuk berkawan. Apa pendapat kamu?"

Su Qianci mengangguk. "Saya pun fikir macam tu. Saya akan suruh seseorang uruskannya."

"Bagus." Qin Shuhua berasa amat gembira apabila Su Qianci bersetuju dengan cadangannya. Tetapi tiba-tiba dia memegang tangan menantunya itu. "Kamu dah bekerja keras selama beberapa tahun ini."

Su Qianci senyum dan berdiri. "Tak ada apa-apalah. Jom makan Ibu. Ayah mana?"

"Ayah kamu makan malam di rumah kawan dia dan tak akan balik malam ni. Kita makan sajalah. Luo Zhan, pergi basuh tangan dan makan bersama kami."