Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 510 - Datang Dekat dan Aku akan Bunuh Dia

Chapter 510 - Datang Dekat dan Aku akan Bunuh Dia

"Aku dah cakap perempuan tu tak tahu berterima kasih! Dah berapa kali aku beritahu kau supaya jangan jatuh cinta dengan dia, tapi kau…" Li Sicheng memalingkan mukanya dengan marah. "Jadi di mana dia sekarang?"

"Di hospital. Dia tak nak jumpa aku. Dia bencikan aku. Apa patut aku buat? Dari awal lagi dia mahu putuskan hubungan dengan aku. Lepas ni aku dah tak boleh miliki dia lagi, Sicheng."

Li Sicheng diam seketika sebelum berkata, "Sekarang tukar baju kau dan pergi ke hospital untuk temankan dia."

"Dia tak nak jumpa aku…"

"Dia perlu jumpa juga. Kau ayah kepada kandungan dia. Kau ada hak dan keperluan untuk jaga dia. Terpulang pada dia untuk benci kau, tapi kau tetap perlu bertanggungjawab. Bangun, Ou Ming!" Li Sicheng mengangkat sahabatnya yang setinggi 6 kaki itu dengan kasar.

Ou Ming menoleh ke arah darah di atas katil dan diam seketika sebelum bangun dan menukar pakaian baru. Betul cakap Li Sicheng. Terpulang kepada Yu Lili untuk membencinya, tetapi dia mesti melakukan apa yang harus dilakukannya. Ou Ming mengelap mukanya dengan tisu basah lalu memandang cermin dan tiba-tiba tersengih. Setiap kali dia berasa sedih, Li Sicheng sentiasa berjaya menaikkan semangatnya kembali. Dia berasa seakan tidak layak memiliki sahabat baik dan saudara seperti Li Sicheng. Tidak kira apa pun yang akan berlaku di masa hadapan, dia akan memastikan persahabatan mereka sentiasa utuh selama-lamanya. Ou Ming memikirkan perkara itu sambil membutang bajunya. 

Walau bagaimanapun, ketika dia masih belum selesai menukar pakaian, telefon bimbit Li Sicheng berdering. Li Sicheng menjawab panggilan itu dan mendengar suara Li Jinnan. Suara adiknya itu kedengaran tercungap-cungap dan kerisauan. Pada masa yang sama, Li Sicheng turut mendengar bunyi enjin kereta sport. "Abang, Su Qianci diculik. Cepat balik!"

Li Sicheng amat terkejut dan terus berlari keluar.

Ou Ming turut terkejut melihat Li Sicheng tiba-tiba bergegas pergi. "Kau nak ke mana?"

Tiada jawapan.

*****

Su Qianci melihat kereta suaminya pergi sebelum masuk ke dalam rumah bersama Shuang Yu.

Walau bagaimanapun, wajah Shuang Yu tiba-tiba berkerut sebelum dia berpaling ke tepi dan terus memberi tumbukan ke arah Su Qianci. Su Qianci terkejut dan mendengar bunyi seseorang ditumbuk. Seorang lelaki pendek telah ditumbuk sehingga rebah ke tanah oleh Shuang Yu.

Shuang Yu menahan lelaki itu di atas tanah, tetapi wajahnya berubah ketika dia mendongak dan terus menjerit marah. Dua pengawal peribadi yang berkawal di pintu masuk mendengar bunyi bising itu dan bergegas datang.

Su Qianci yang terkejut terus berpaling ke belakang untuk masuk ke rumah, tetapi tangannya tiba-tiba ditangkap seseorang. Satu lengan yang kuat memaut lehernya sebelum Su Qianci merasakan sesuatu yang sejuk diletakkan pada lehernya itu.

"Kalau kau semua datang dekat, aku akan bunuh dia." Suara dingin itu kedengaran kasar dan seperti pernah didengarinya.

Tang Zhenghao!

Su Qianci tidak berani bergerak. Walau bagaimanapun, tubuhnya tidak berhenti menggeletar. Nafasnya menderu kencang dan dia berasa amat takut.

Shuang Yu dan kedua-dua pengawal itu berhenti bergerak. Lima lelaki di belakang Tang Zhenghao berjalan ke hadapan. Setiap seorang daripada mereka memegang satu paip besi di tangan.

Ketika itu, Su Qianci telah berjaya bertenang dan berkata, "Kau tak boleh bertindak terburu-buru. Kalau apa-apa berlaku, suami aku tak akan lepaskan kau."

Tang Zhenghao mendengus dengan sinis dan tidak mengendahkan kata-kata Su Qianci. Dia memandang pengawal-pengawal peribadi Li Sicheng itu dan berkata, "Hei anjing-anjing taat. Suruh Li Sicheng pergi ke gudang terbiar di subbandar timur seorang diri. Kalau dia bawa sesiapa, dia akan menanggung akibatnya!"

Kemudian Tang Zhenghao berundur sambil membawa Su Qianci. Dia menolak Su Qianci ke dalam sebuah kereta dan kereta itu terus meluncur pergi.

Related Books

Popular novel hashtag