Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 511 - Serahkan Kau kepada Tang Mengying

Chapter 511 - Serahkan Kau kepada Tang Mengying

Shuang Yu hampir menangis. Dia terus berlari ke pintu rumah lalu menekan loceng berkali-kali sambil memukul pintu.

Li Jinnan sedang memegang kunci keretanya dan baru sahaja hendak keluar. Sebaik membuka pintu, dia melihat keadaan Shuang Yu dan mengangkat keningnya. "Kenapa?"

Shuang Yu yang bisu mengisyaratkan dengan tangannya dan menunjuk ke arah kereta Tang Zhenghao berada sebentar tadi.

Li Jinnan berasa geli hati melihatnya. Dia berpeluk tubuh dan hanya senyum kerana tidak memahami apa-apa.

Shuang Yu bertambah cemas dan menunjuk ke arah telefon bimbit Li Jinnan.

Li Jinnan menghulurkan telefonnya dan Shuang You terus menaip : Puan diculik.

Li Jinnan terkejut dan riak wajahnya terus berubah.

Kemudian Shuang Yu menaip lagi : Suruh Tuan Li Sicheng pergi ke gudang terbiar di subbandar timur seorang diri, kalau tak perkara buruk akan berlaku.

"Tak guna!" Li Jinnan mengambil kembali telefonnya dan berlari ke keretanya. Shuang Yu mengejarnya dan mengisyaratkan yang dia boleh membantu. Li Jinnan membiarkan pengawal wanita itu masuk dan terus memandu Porsche kuningnya ke arah yang ditunjukkan Shuang Yu.

Su Qianci dipegang oleh Tang Zhenghao di dalam kereta. Dia berasa gementar dengan pisau yang diacukan pada lehernya. Namun dia cuba bertenang di sebalik ketakutannya itu.

Tang Zhenghao akhirnya melepaskannya. Su Qianci memandang lelaki itu lalu bergerak ke hujung dengan tangan yang diikat. Dia memaksa dirinya untuk bertenang sebelum bertanya, "Apa yang kau nak?"

Tang Zhenghao memandangnya sekilas dan ketawa sinis. "Tenang, aku tak akan apa-apakan kau. Nanti aku akan serahkan kau kepada Tang Mengying untuk dia lakukan apa yang dia nak… Puas hati?"

Hati Su Qianci runtun. Dia bersandar pada pintu kereta dan berasa amat takut ketika teringat betapa gilanya Tang Mengying sewaktu di hospital.

Perempuan itu sememangnya telah hilang kewarasan. Malah dia pernah cuba membunuh anaknya sendiri. Selepas dijatuhkan hukuman penjara selama beberapa tempoh tertentu, dia dipindahkan pula ke hospital sakit jiwa. Sekarang… bagaimana agaknya Tang Mengying akan 'berurusan' dengannya? Su Qianci berasa amat gementar.

Tang Zhenghao dapat melihat Su Qianci berusaha keras untuk berlagak tenang walaupun sedang ketakutan dan berasa kagum. Kereta itu terus meluncur laju ke subbandar timur, tetapi tiba-tiba, Tang Zhenghao melihat sebuah kereta Porsche kuning semakin menghampiri mereka. Di tempat duduk pemandu, kelihatan anak ketiga keluarga Li iaitu Li Jinnan.

"Hei, budak-budak keluarga Li ni hebat-hebat, tapi kenapa mereka semua selalu bertindak terburu-buru?" keluh Tang Zhenghao. "Aku dah cakap, aku hanya benarkan Li Sicheng datang seorang diri. Mereka nak aku bunuh budak perempuan ni?"

Ketika mengatakannya, Tang Zhenghao mengacu-acukan pisau tajam itu di hadapan Su Qianci dan membuatkannya bergerak serapat mungkin pada pintu. Jantung Su Qianci berdegup amat kencang sehingga dia berasa seolah-olah tidak dapat merasai jantungnya lagi. Su Qianci mengetap bibirnya dan berpaut pada pintu kereta itu dengan mata yang kemerahan.

"Hahahaha…." Tang Zhenghao ketawa kuat dan menarik kembali pisaunya. "Aku cuma nak takutkan kau. Aku perlu bantuan Li Sicheng untuk uruskan sesuatu. Kalau aku bunuh kau, dia pasti akan cuba bunuh aku."

Tang Zhenghao bermain-main dengan pisaunya dan memberi arahan secara bersahaja, "Hapuskan budak lelaki itu, tapi hati-hati. Kita ada wanita hamil di sini."