Suara Rong Haiyue agak kuat lalu menarik perhatian pegawai-pegawai polis di situ. Rong Xuan segera menutup pintu bilik itu dan menguncinya. Hanya mereka berempat berada di dalam bilik itu sekarang. Rong Haiyue memandang Rong Xuan seolah melihat seorang perempuan gila. Dia menarik lengan Rong Xuan dan merenung wanita itu dengan tajam sambil bertanya perlahan, "21 tahun lalu, kamu memang benar-benar mengandung dan melahirkan anak saya, tapi kamu buang dia, bukan?"
Rong Xuan memandang suaminya dengan riak wajah bersimpati tanpa berkata apa-apa. Sikapnya itu membuktikan segala tekaan Rong Haiyue adalah benar. Rong Haiyue terdiam sebelum tiba-tiba ketawa. "Dari mana pula Anna datang? Dia bukan anak kamu atau anak saya. Mana ibu bapa kandung dia?"
"Mati." Suara Rong kedengaran agak serak dan sedikit sedih. "Saya jumpa dia di bawah jambatan. Ibu Anna dukung dia dengan tubuh yang dipenuhi darah dan minta saya selamatkan anaknya. Saya ambil Anna. Tapi ibunya tak sempat diselamatkan." Rong Xuan ketawa sinis dan memandang Rong Haiyue dengan simpati. "Ibunya beritahu saya dia mengandung setelah dirogol. Teruk kan? Entah lelaki celaka mana yang rogolnya, haha…"
Rong Haiyue merasakan hatinya berkecai seribu. Kepedihan yang sukar digambarkan menyelubungi jiwanya. Dia mengangkat tangannya yang besar itu lalu terus menampar isterinya.
Rong Xuan yang tidak menjangkakannya hilang keseimbangan setelah ditampar lalu rebah ke lantai. Pipinya yang menerima tamparan terus membengkak dan kemerahan. Dia kelihatan terkejut ketika memandang Rong Haiyue, lelaki yang telah melayannya seperti seorang permaisuri sejak lebih 20 tahun lalu.
Su Qianci terkejut dan menjerit kecil.
Rong Xuan dapat melihat kebencian dalam mata Rong Haiyue dan tiba-tiba ketawa dengan kuat. "Kamu pukul saya? Rong Haiyue, kamu betul-betul pukul saya? Hahaha… Dah tak tahan? Kamu tahu, waktu dia kecil dan kelaparan, saya beli dua biji roti ban, kemudian lemparkan kedua-duanya ke atas tanah dan suruh dia kutip. Dia benar-benar mengutipnya. Oh… Saya ketawa kuat ketika itu. Sepatutnya saya ambil gambar supaya kamu dapat lihat anak perempuan Rong Haiyue yang lebih hina daripada pengemis, sedangkan kamu sedang menyuapkan anak haram yang entah datang dari mana dan melayannya seperti puteri raja. Kamu…"
Belum sempat Rong Xuan menghabiskan kata-katanya, dia tiba-tiba tidak mampu mengeluarkan suara.
Rong Haiyue sedang mencekik lehernya dengan tangannya yang besar. Wajah Rong Xuan berubah kemerahan dan matanya mula berair, tetapi Rong Haiyue langsung tidak berasa simpati. Dia mahu membunuh wanita itu!
Li Sicheng terkejut dan segera menarik Rong Haiyue untuk melepaskan Rong Xuan, tetapi lelaki itu seakan sudah hilang akal dan kekuatannya sangat luar biasa.
Wajah Rong Xuan mula bertukar kebiruan. Dia meronta-ronta sambil mencubit tangan Rong Haiyue dan menendang-nendang kakinya.
"Tidak, jangan!" jerit Su Qianci dan dia segera membuka pintu. "Tolong! Tuan! Mana semua orang?"
Dua orang polis yang berada di luar terus berlari masuk ke dalam bilik itu. Sebaik melihat situasi yang berlaku, mereka terus menarik Rong Haiyue dengan bantuan Li Sicheng.
Leher Rong Xuan sudah menjadi lebam dan kelihatan teruk.
Rong Haiyue dengan mata yang kemerahan ditarik pergi dalam keadaan cuba menerkam Rong Xuan kembali. Dia menjerit seperti hilang akal, "Rong Xuan, apa salah aku kepada kau? Kenapa buat aku macam ni?"
Rong Xuan ketawa sinis sambil memegang lehernya yang sakit. Suaranya serak tetapi tetap dingin. "Kau layak menerimanya!"