Sikap Rong Xuan bukan hanya menjengkelkan Rong Haiyue. Malah Li Sicheng turut merasakan seperti mahu menghumban perempuan itu ke dalam laut untuk dijadikan makanan ikan! Su Qianci berdiri agak jauh sambil memandang wanita dingin itu yang merupakan ibu kandungnya. Semua perkara yang pernah dibayangkannya tentang ibunya terus hilang.
Kenapa wanita itu lakukan semua ini? Lelaki yang sebaik Rong Haiyue… Malah melalui perbualan mereka, Su Qianci dapat melihat Rong Haiyue sangat menyayangi Rong Xuan dan Rong Anna. Tetapi bagaimana wanita seperti Rong Xuan mampu menerima cinta sebegitu? Su Qianci tidak faham perkara itu, tetapi yang lebih mengelirukan lagi adalah mengapa Rong Xuan sanggup meninggalkannya. Ketika itu dia masih bayi. Dia diletakkan di hadapan rumah anak yatim ketika cuti Hari Kebangsaan. Bagaimana jika tiada sesiapa yang menjumpainya? Mungkin dia telah mati sekarang.
Rong Xuan menyedari renungan Su Qianci. Dia bangun dari lantai dengan agak terhuyung-hayang, tetapi keanggunan dan ketenangannya terus pulih serta-merta. Setelah membetulkan rambut dan pakaiannya, dia mengambil beg tangannya lalu keluar dari bilik itu. Langkahannya tegak dan tenang. Keanggunannya tidak ubah seperti wanita yang keluar dari majalah. Gayanya seakan dia bukan wanita yang baru sahaja bergaduh dengan Rong Haiyue.
Seorang pegawai polis menghalang laluannya. "Puan, Puan perlu buat kenyataan dulu dengan kami. Luka di leher Puan juga perlu diubati."
Rong Haiyue sedang dikawal oleh polis. Lelaki itu memandang belakang tubuh Rong Xuan lalu menarik nafas dalam. Dia mendongak ke siling sambil cuba menahan air matanya daripada tumpah.
Rong Xuan menolak polis itu dengan dingin dan berkata, "Tidak, sila berurusan dengan lelaki itu saja. Lagi bagus kalau kamu humban dia ke dalam penjara selama 10 tahun, haha…"
"Rong Xuan!" Su Qianci sudah tidak mampu menahan sabar. Dia berjalan pantas ke arah Rong Xuan. Li Sicheng terkejut dan menjerit, "Hati-hati!"
Su Qianci tidak mengendahkannya dan terus berhadapan dengan Rong Xuan. Dia berkata dengan marah, "Kamu perempuan gila dan tak reti menghargai! Rong Haiyue tak layan kamu dengan baikkah? Dia sangat mencintai kamu. Kenapa kamu lakukan ini kepadanya!"
Rong Xuan memandang Su Qianci dengan dingin, kemudian ketawa sinis dan berkata dengan suara yang serak, "Kamu tak tahu apa-apa." Selepas itu dia terus menolak Su Qianci dari laluannya dan berjalan keluar dengan penuh elegan.
Su Qianci merasakan seperti dia telah menumbuk kapas. Kemarahannya tidak reda malah semakin membuak. Dia menghentakkan kakinya dan berpaling ke belakang, tetapi segera berpaling kembali ke arah Rong Xuan. Dia baru sahaja hendak berkata sesuatu ketika melihat air mata jatuh ke pipi Rong Xuan. Dalam mata yang amat sama seperti matanya itu, kelihatan ada perasaan yang tersimpan jauh di dalamnya. Penyesalan, keinsafan dan kesakitan jelas terlihat di hadapan Su Qianci. Walau bagaimanapun, Rong Xuan segera menyapu air matanya lalu berjalan pergi.
Su Qianci terkedu sambil melihat dua orang polis sedang bersedia untuk membawa Rong Haiyue pergi. Rong Xuan kelihatan terseksa. Tetapi kenapa? Rong Haiyue tidak melakukan apa-apa.
*****
Rong Anna sedang bermain permainan komputer di rumahnya. Tiba-tiba pintu terbuka dan diikuti bunyi kasut tumit tinggi.
Rong Anna tahu siapa yang pulang tanpa perlu melihat. Dia langsung tidak menoleh ketika bertanya, "Mama dah balik? Mana Papa?"
Tiada jawapan. Sebaik sahaja terbunuh di dalam permainan itu, Rong Anna bangun dengan marah dan menoleh ke arah Rong Xuan.