"Ya dan ya," jawab Ou Ming dan memandang Yu Lili tanpa segan-silu. Yu Lili meneguk air dari gelasnya dengan wajah yang sukar ditafsir. Ou Ming mengalihkan pandangannya dan memutar botol kaca itu. Kali ini ia terarah kepada Rong Rui yang masih agak tidak rapat dengan sesiapa pun di situ.
Rong Rui mengambil kad kebenaran dan melemparkannya kepada Luo Zhan. Luo Zhan kebingungan. Sejak bila pula dia menjadi jurucakap? "Apa perkara paling memalukan pernah berlaku dalam hidup kamu?"
Rong Rui tidak menjangkakan soalan itu dan kelihatan kecewa. Selepas berfikir seketika, dia menjawab, "Mungkin ketika saya cuba ambil hati seorang wanita, tetapi wanita itu buang saya seperti sampah." Kemudian dia menjeling sekilas ke arah Cheng You.
Cheng You berpura-pura tidak faham dan berkata sinis, "Kamu layak terima itu kerana sukakan seseorang seperti Tang Mengying." Dia menyebut tentang Tang Mengying sekali lagi.
Rong Rui agak kecewa dan berkata tenang, "Cheng You, kamu tahu siapa yang saya maksudkan."
Sesuatu yang mencurigakan sedang berlaku! Luo Zhan mendengar kata-kata mereka dengan teliti sambil memandang Rong Rui dan berasa tidak selesa. Lelaki ini, adakah dia telah berjaya memenangi hati Cheng You? Tak mungkin. Cheng You sangat sukar untuk didapatkan dan sangat memilih. Dia sendiri belum berjaya. Tak mungkin Rong Rui yang mempunyai sejarah seburuk itu berjaya?
Cheng You tidak menghiraukan kata-kata itu. Rong Rui terus memutarkan botol kaca dan muncungnya berhenti di hadapan Li Sicheng.
Luo Zhan melambaikan tangannya dan berkata, "Jangan pilih kebenaran. Bosanlah. Pilih cabaran!"
Li Sicheng mendengarnya lalu terus meletakkan tangannya di atas kad cabaran, tetapi kemudian mengambil kad kebenaran.
Luo Zhan mengeluh. "Tak guna… Apa perkara paling menyentuh hati pasangan kamu pernah lakukan kepada kamu?"
Li Sicheng memandang Su Qianci di sebelahnya. Su Qianci menundukkan kepalanya sedikit. Seingatnya dia tidak pernah melakukan sesuatu yang benar-benar romantik… Tiba-tiba Li Sicheng menarik Su Qianci ke dalam pelukannya. Dia berkata dengan suara yang dalam dan lembut, "Dia masih hidup." Mendengar empat perkataan itu, Su Qianci terus diselubungi dengan pelbagai perasaan yang bercampur-baur. Satu degupan yang sukar digambarkan seakan meledak di dalam ruang hatinya yang paling dalam. Dia mendongak dan merenung mata Li Sicheng. Mata itu kelihatan seolah-olah satu galaksi di langit malam Antartika dan sedang turut merenungnya.
"Itu saja?" Luo Zhan sedikit terkejut.
"Ya," jawab Li Sicheng perlahan. Mata Su Qianci mula basah ketika dia memeluk Li Sicheng kembali.
"Hei, janganlah buat drama cinta. Kami yang bujang masih ada di sini!" kata Luo Zhan sambil menutup matanya.
Li Sicheng tersenyum kecil lalu memutarkan botol kaca itu. Kali ini muncungnya terarah kepada Luo Zhan.
Luo Zhan kelihatan teruja sambil menggosok-gosok tangannya. Dia memilih cabaran. Jika dia bernasib baik, dia mungkin akan menerima arahan untuk bercium atau membuat tekan tubi dengan lawan jantina. Jadi dia pasti akan meminta Cheng You… Hei! Memikirkannya sahaja sudah cukup membuatkannya gembira.
Walau bagaimanapun, sebaik mengambil sekeping kad, Luo Zhan terus terkaku.
Lu Yihan yang melihat reaksinya terus merampas kad itu lalu ketawa. "Buat persembahan seks menggunakan suara selama lima minit, hahaha…"
Semua orang terus ketawa sebaik mendengarnya.
Luo Zhan bangun dengan marah. "Mana adil. Kenapa aku tak disuruh pilih sesiapa untuk lakukan cabaran ni? Aku hanya boleh mengerang seorang diri. Lagipun aku tak pernah buat seks, jadi bagaimana aku nak tahu cara untuk lakukannya!"
"Wah!" Yu Lili mula membuat kecoh. "Jadi kamu masih teruna! Hahaha!"
Wajah Luo Zhan bertukar merah padam. "Apa… masalahnya? Itu maknanya aku tak pernah mempermainkan sesiapa! Aku lelaki yang sangat baik!"