Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 467 - Terang-Terang Kamu Yang Beri

Chapter 467 - Terang-Terang Kamu Yang Beri

Rong Rui masuk ke bilik Cheng You dan melihat sekeliling. Di tengah-tengah siling bilik itu terdapat satu lampu chandelier yang berjuntai. Sebuah laptop, satu pasu berisi pokok kaktus yang comel dan satu rak buku kecil yang dipenuhi buku berada di atas meja. Sebuah almari saiz sederhana berada di sebelah katil gaya Eropah yang kelihatan elegan dan bersih.

Susun atur dan hiasan di ruang tamu juga agak menarik dan menunjukkan gaya seorang wanita yang matang dan bijak.

Rong Rui melihat sekeliling sambil mengangguk. "Boleh tahan, cuma katil ini saja terlalu kecil."

Cheng You bergegas masuk ke biliknya lalu menolak Rong Rui sambil menjerit, "Rong Rui!!"

"Saya dengarlah. Tak perlu jerit sekuat itu." Rong Rui memegang tangan Cheng You dengan senyuman yang licik. "Ada bilik tetamu?"

Kemudian dia keluar dari bilik Cheng You dan masuk ke bilik lain. Bilik itu adalah bilik stor di sebelah bilik Cheng You yang menempatkan semua barang yang jarang digunakannya. Tetapi bilik itu sama besar dengan bilik Cheng You manakala barang-barang itu pula hanya diletakkan di satu sudut. Rong Rui meletakkan beg pakaiannya sebelum pergi ke tingkap dan membuka langsir. Debu-debu dari tingkap itu terus berterbangan ke udara.

Cheng You tidak menghiraukannya. Dia memuat turun aplikasi perbankan dan segera memindahkan wang Rong Rui kembali.

Rong Rui berjalan ke bilik air pula dan terus terhidu bau wangian lemon. Sebaik masuk ke dalam, dia melihat satu cermin dan beberapa barang penjagaan kulit di hadapannya. Kelihatan tandas dan pancuran mandi di sudut lebih dalam yang dipisahkan dengan dinding kaca. Sangat bagus, sangat bersih.

Rong Rui mengeluarkan telefonnya apabila mendengar bunyi mesej masuk. [BANK KINGSTOWN: Cheng You telah memindahkan 1000,000.00$ ke akaun anda. Baki akaun anda sekarang…] Rong rui ketawa kecil dan menaip sesuatu pada telefonnya.

Selepas selesai memindahkan wang itu, Cheng You bersedia untuk pergi menghalau Rong Rui. Tetapi tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan mesej masuk. Kali ini Rong Rui memindahkan dua juta kepadanya. Cheng You memindahkan wang itu kembali dengan marah. Selepas seketika, akhirnya Rong Rui memindahkan lima juta kepadanya.

Apakah…? Cheng You berasa amat berang dan pergi mencari lelaki itu. Rong Rui keluar dari bilik air sambil memegang telefon bimbitnya dan kelihatan puas hati. "Cantik rumah kamu. Minta tunjuk ajar ya, Cik Tuan Rumah."

"Disebabkan kamu suka sangat rumah ni, saya akan jualnya kepada kamu. Nilai rumah ni lebih satu juta. Kamu dah beri saya lima juta jadi kamu boleh terus tinggal di sini. Saya akan segera berpindah."

"Kamu tak akan pindah," kata Rong Rui sambil memandang Cheng You. "Kamu tak akan berpindah sebab rumah ni Li Sicheng yang berikan kepada kamu. Ia masih hak milik syarikat. Kamu tak ada hak untuk jualnya."

Cheng You merenung Rong Rui dengan terkedu.

"Sekarang kamu dah ambil lima juta daripada saya. Kalau kamu masih nak halau saya, saya akan hubungi polis dan tuduh kamu menipu."

"Ahhhh!!!" Cheng You menjerit dan merasakan dirinya hampir menjadi gila. "Macam mana kamu boleh sangat tak tahu malu dan kurang ajar macam ni? Terang-terang kamu yang beri wang tu! Tipu kepala hotak kamu!"

"…Seorang wanita tak patut cakap begitu." Rong Rui memandang Cheng You dengan tenang.

"Berambus!" Tangan Cheng You menggeletar. Dia mengeluarkan telefonnya untuk memindahkan wang itu kembali kepada Rong Rui lagi.

Rong Rui hanya menjeling sekilas dan berkata, "Kalau kamu pindahkannya kepada saya, saya akan bagi kamu 10 juta. Lepas itu saya akan bagi 20 juta. Ia akan berganda setiap kali. Nak cuba?"

Cheng You berasa seakan tidak percaya. "Akaun kamu tak ada had hariankah untuk pemindahan?" Satu lagi, jika ia memang tiada had sekalipun, bagaimana Rong Rui boleh ada wang sebanyak itu? Dari mana ia datang?

Related Books

Popular novel hashtag