Li Sicheng tidak mahu melayan polis wanita itu. Dia pergi ke tempat duduk pemandu sambil memegang kunci keretanya.
Polis wanita itu memegang lengan bajunya dengan marah. "Encik Li."
Riak wajah Li Sicheng langsung tidak berubah. Dia hanya memandang tangan polis wanita itu dengan dingin dan berkata, "Puan Li ada di dalam kereta ini. Kamu cuba nak buat gangguan seksual kepada saya di depan isteri saya. Saya rasa ia tidak sopan."
Polis wanita itu tidak menyangka Li Sicheng akan berkata begitu. Dia segera melepaskan lengan lelaki itu dengan riak wajah yang berubah. "Tunggu!" Kemudian dia berjalan ke hadapan dan menjerit, "Bawa mereka ke sini!" Dia meletakkan tangannya pada atap kereta Li Sicheng bagi menghalangnya pergi. Polis-polis lain segera membawa dua suspek itu kepadanya. Polis wanita itu berkata kepada Su Qianci, "Disebabkan kamu jadi tebusan tempoh hari, kamu mesti dapat cam suara dan bentuk tubuh suspek. Tengok dua orang ini. Salah seorang daripada mereka suspek itukah?"
Su Qianci tidak keluar dari kereta. Selepas memandang kedua-dua lelaki itu seketika, dia menggelengkan kepalanya. "Bukan."
"Kenapa?"
"Lelaki yang jadikan saya tebusan berketinggian lebih enam kaki dan sangat sasa. Ototnya menunjukkan yang dia selalu bersenam. Dua orang ini dalam dua inci lebih rendah dari dia. Satu lagi, lelaki itu sangat tenang."
Mendengar kata-kata Su Qianci, polis wanita itu memandang kedua-dua lelaki di hadapannya. Mereka jelas belum berfikiran matang. Mereka menggeletar kerana sedang berhadapan dengan polis yang sangat ramai bersama pistol.
"Paling penting, yang jemput dia dengan kereta adalah seorang wanita."
Dua lelaki muda yang sedang ditahan itu memandang Su Qianci dengan pandangan berterima kasih. Salah seorang daripada mereka berkata dengan kuat, "Kan kami dah beritahu kami sedang minum ketika itu, dan bila kami keluar, kereta itu dah tiada!"
"Kenapa kamu tinggalkan kunci?" Polis wanita itu bertanya dengan marah.
"Kami terlupa. Mana ada orang yang boleh ingat semua benda?"
"Habis kenapa kamu tutup nombor pendaftaran kereta? Kalau kamu tak lakukannya, kenapa tutup?"
"Siapa yang tutup? Nombor pendaftaran saya sangat hebat dan saya tak sabar nak menunjuk-nunjuk! Lagipun kalau saya nak lakukan jenayah, logikkah saya hanya tutup nombor pendaftaran? Kereta ini sangat unik, sebab itulah kamu dapat jumpanya di tengah jalan kemudian kejar kami sehingga sejauh ini! Kami ini dituduh tanpa bukti atau apa? Kamu semua gagal tangkap penjenayah dan kamu salahkan kami kerana pandu kereta yang hebat?"
"Diam!" marah polis wanita itu. "Bawa mereka ke balai untuk siasatan!"
Li Sicheng telahpun berada di dalam keretanya dan berkata dengan dingin, "Kalau tak ada apa-apa, boleh kamu alihkan tangan? Kami masih ada beberapa urusan lain."
"Tak boleh, tempoh hari kami dah biarkan kamu pergi. Hari ini kamu kena ikut kami ke balai dan buat laporan. Puan Li, harap Puan dapat beri kerjasama kepada kami."
Su Qianci melihat jam dan berkata, "Esok boleh? Lagipun perkara tu dah beberapa hari berlalu dan kami ada urusan sekarang."
Polis wanita itu mahu membantah apabila seorang polis lain datang dan berbisik, "Jangan lawan Li Sicheng. Dia sukar untuk dihadapi. Setuju saja!"
Polis wanita itu teragak-agak, tetapi akhirnya berundur selepas menjeling sekilas Li Sicheng di dalam kereta. "Pagi esok tolong datang ke pejabat polis, Puan Li!" Tiada jawapan yang kedengaran, tetapi mereka membiarkan Li Sicheng memandu keretanya pergi.
Su Qianci melihat dua lelaki itu melalui cermin pandang sisi, tetapi tetap merasakan ada sesuatu yang tidak kena.