Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 451 - Cheng You Butakah?

Chapter 451 - Cheng You Butakah?

"Cheng You?" Li Sicheng mengangkat sebelah keningnya ketika fikirannya mula mengagak sesuatu.

Luo Zhan berdehem sekali lagi. Pipinya kemerahan dan matanya melilau ke kiri dan kanan. "Ya, lagipun itu parti hari jadi. Lagi ramai lagi meriah. Pembantu kau itu bijak dan cantik. Dia pasti akan dapat buat parti itu lebih seronok. Kau tak rasa begitu?"

"Putus asa sajalah. Kau tak akan dapat dia."

Luo Zhan adalah sejenis lelaki yang boleh menjadi kawan untuk perempuan, tetapi untuk menjadi kekasih… dia tidak akan dapat menandingi Rong Rui. Dia memang tiada peluang.

Tetapi Luo Zhan tidak bersetuju dan bertanya, "Kenapa? Susah sangatkah nak pikat dia? Aku bukannya tiada rupa. Walaupun aku banyak duduk di rumah, tapi aku boleh tahan tinggi dan kacak. Kenapa aku tak boleh dapat dia?"

"Sebab ada seseorang dah mendahului kau."

"Siapa?"

"Rong Rui."

Rong Rui. Rong Rui lagi! Luo Zhan menghentak meja dan berkata dengan marah, "Lelaki itu mesti sengaja nak cabar aku. Dia tak berjaya menang waktu dua pusingan awal dulu. Sekarang dia cuba nak rampas perempuan aku! Tak guna!"

Selepas diam seketika, Li Sicheng mengusik Luo Zhan, "Kau dah lama bekerja bersama Cheng You. Dia tak ada tunjuk apa-apa perasaankah?"

Luo Zhan terdiam dan bertambah geram. "Itu sebab aku tak cuba! Kalau aku dah cuba pikat dia awal-awal, dia pasti dah jatuh hati dengan aku!" Selepas mengatakannya, Luo Zhan mendengar Li Sicheng ketawa kecil. "Hei, helo, kau kawan baik aku atau bukan? Kenapa kau sokong orang luar? Aku tak kira, kau kena bawa Cheng You kepada aku, kalau tak… Aku tak akan tolong kau lagi. Aku nak tengok saja apa kau boleh buat."

Li Sicheng mengangkat keningnya. Dia langsung tidak berasa marah dan bertanya, "Kau ugut aku?"

Luo Zhan berasa agak malu. Sejujurnya, jika dia tidak bekerja untuk Li Sicheng, dia yang akan lebih rugi.

Walau bagaimanapun, dalam situasi ini, mustahil untuknya menyerah kalah. Dia memberanikan dirinya dan berkata, "Ya, aku ugut kau. Apapun, bawa saja Cheng You kepada aku!"

"Okey tak apa, aku cuba," jawab Li Sicheng yang anginnya sedang baik.

Ketika Luo Zhan baru sahaja mahu menghembus nafas lega, Li Sicheng berkata, "Kau tak akan dibayar untuk kerja ini. Bantuan dibalas bantuan. Pergi cari maklumat Rong Xuan sekarang."

"Tak guna!" Luo Zhan menjerit. "Kau pengaut untung yang tak tahu malu! Kau…" Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Li Sicheng telah memutuskan talian. Tak guna si kapitalis kejam!

Luo Zhan mencapai tetikusnya dan mula mencari maklumat yang diminta Li Sicheng. Tetapi semakin dia berfikir, dia menjadi semakin berang. "Kenapa Rong Rui selalu nak bertanding dengan aku. Cheng You butakah?"

"Achoo!" Cheng You yang memakai baju tidur sedang duduk di sofa sambil menonton rancangan realiti. Dia mengupas buah limau sambil ketawa terbahak--bahak sebelum tiba-tiba terbersin. Sambil menggosok hidungnya, dia berkata, "Siapa sebut nama saya pada Tahun Baru ni?" Kemudian dia terdengar telefon bimbitnya berdering dan "Mak" terpapar pada skrin.

"Hei Youyou, Mak ada di bawah. Mak terjatuh semasa berjalan. Sakit sangat ni!"

Cheng You terkejut. Dia terus bangun dari sofa lalu menyarung seliparnya dan berlari ke bawah. "Mak, tunggu kejap. Saya datang!"

Rumah Cheng You berada di tingkat dua. Tetapi sebaik sahaja dia turun ke bawah dan mencari-cari di sekitar, ibunya langsung tidak kelihatan. Cheng You mengeluarkan telefon bimbit dan mendail nombor ibunya, tetapi telefon ibunya telah dimatikan.

Related Books

Popular novel hashtag