Cheng You terasa seolah tersekat di kerongkongnya. Ia berdegup dengan sangat pantas.
Ketika itu, seorang lelaki yang memakai kot biru gelap menghampirinya. Lelaki itu berjalan perlahan dan tenang. Dia tidak lain tidak bukan ialah Rong Rui. Cheng You merasakan nasibnya malang sebaik melihat lelaki itu. Dia terus berpaling ke belakang dan menaiki tangga. Walau bagaimanapun, dia terkejut melihat pintu rumahnya telah terkunci sedangkan dia tidak menutup pintu itu sewaktu turun. Telefon bimbitnya berdering dan ia adalah panggilan dari telefon rumahnya. Cheng You menjawab panggilan itu dengan nafas tercungap-cungap.
"Youyou, harini Ibu nak nikmati masa bersama Ayah kamu. Kamu mesti tak selesa untuk ada dalam rumah. Carilah tempat lain sementara. Itu saja. Mak sayang kamu. Muah!" Selepas itu talian terus dimatikan.
Cheng You terkedu. Apa jadi dengan terjatuh dan cedera? Apa pula maksud mahu nikmati masa berdua? Dan sejak bila ibunya itu pandai ber'muah'? Apabila mendengar bunyi tapak kaki yang tenang dan perlahan di belakangnya, Cheng You akhirnya faham dia telah 'dijual'!
"Tak guna…" Dia menendang pintu rumahnya dengan kuat. "Cheng Zhanxiong, Wang Chunhua, buka pintu ni! Kamu tak boleh jual anak kamu macam ni! Ini sikap yang tak baik dan khianat!"
Jiran mereka, Pak Cik Wang membuka pintu dan melihat Cheng You lalu bertanya dengan nada bergurau, "Youyou, kamu bergaduh dengan Mak Ayah kamu?"
Cheng You terkejut kerana sedang terlalu berang. Mendengar sapaan Pak Cik Wang, dia menenangkan dirinya dan menggeleng. "Tak adalah. Selamat malam Pak Cik Wang."
"Hei, tu teman lelaki kamu?" Pak Cik Wang menunjuk ke arah Rong Rui di belakang Cheng You.
Belum sempat dia menjawab, Rong Rui terus mengangguk dan berkata, "Ya betul."
"Wah, dia nampak hebat dan sepadan dengan kamu. Rehatlah, selamat malam."
Cheng You cuba menjelaskan, "Pak Cik salah faham…"
"Selamat malam Pak Cik Wang," Rong Rui segera memintas kata-katanya.
Cheng You berasa amat marah lalu terus menendang Rong Rui berkali-kali. Namun disebabkan dia memakai kasut yang lembut, Rong Rui langsung tidak berasa sakit.
Rong Rui tidak mengendahkan kemarahan Cheng You dan berkata tenang, "Ibu kamu minta saya tolong jaga kamu, jadi saya datang."
"Jaga apa kejadah!"
"Okey, jom balik ke ibu kota dengan saya. Saya beri kamu peluang."
"Berambus! Saya tak nak tengok kamu. Rong Rui, kenapa kamu sangat menjengkelkan?"
"Tapi saya sangat nak jumpa kamu. Kan saya dah cakap saya milik kamu, sekarang dan selamanya."
"Tut! Saya tak nak kamu!"
"Mana boleh. Kamu cuba nak tinggalkan saya selepas ambil kesempatan? Ia tak semudah itu. Macam mana kalau kamu cuba bertanggungjawab sedikit?"
"Saya cakap, saya tak perlu kamu bertanggungjawab untuk apa-apa pun!"
"Tapi saya nak kamu bertanggungjawab kepada saya," kata Rong Rui sambil memandangnya dengan tidak puas hati. "Dulu saya teruna, sekarang kamu nak tinggalkan saya lepas ambil teruna saya? Kalau sesiapa tahu tentang ini, macam mana saya nak hadapi orang ramai?"
"Berambus!" Cheng You tidak pernah membenci seseorang seteruk itu. Jika dia tahu lelaki itu penyangak, dia tidak akan tidur dengannya. Sekarang dia sangat menyesalinya!
Rong Rui terdiam seketika. Kemudian dia merenung baju Cheng You dan bertanya, "Kamu tak sejuk?"
"Apa kaitan dengan kamu? Pergilah!"
Rong Rui menanggalkan kotnya dan mahu menyarung kot itu kepada Cheng You. Tetapi dia berhenti apabila melihat Cheng You berundur daripadanya. Dia melemparkan kot itu kepada Cheng You dan berkata, "Kalau macam tu, saya akan pergi. Tapi ibu kamu memang tak akan buka pintu itu."